Monday, June 18, 2012

Blues buat Aminah di Nako Kaca



Single terbaru Meor Yusof Aziddin dengan lirik aku: "Blues buat Aminah di Nako Kaca". Dibikin di Studio Pocket, Puchong milik Hakim Ramlee.  Gitar akustik & vokal oleh Meor, bes oleh Yan (Lefthanded), gitar karan oleh Safi.
Penafian: Video ini tiada kena mengena dengan Kak Ijat.

Sunday, May 6, 2012

“Pilih saja karya sasterawan negara”

Wawancara berjudul “Pilih saja karya sasterawan negara” dalam buku Reformasi pendidikan II: Meninjau peranan komponen kesusasteraan bahasa Melayu dalam pembangunan pemikiran pelajar (2011) oleh Al-Mustaqeem M. Radhi, Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.

Muat turun versi PDF atau beli di Gerak Budaya.

Saturday, May 5, 2012

Kelopak Bersisik Hujan

tika kau berdoa
(kalau kau berdoa)
kasar suara meresap
ke sisik hujan
ke tanah
    terbenam

kalau kau berdoa
tak ada keburu berdenting
    ke langit
kecuali mata-mata pisau
yang resah gelisah
seperti selalu
kalau kau percaya
kalau kau mengasahnya di keningmu
    seperti belati satu

Jimadie Shah Othman

Thursday, January 26, 2012

Lilin Mengerang Panjang

Versi suntingan 2012

(Pernah dipentaskan pada 2003 -- dua kali di Taman Budaya Perlis dan sekali di Universiti Malaya. Versi ini terdapat beberapa perubahan dan penyesuaian kecil.)



SINOPSIS

Di negeri Antah Berantah, terdapat kepercayaan bahawa “Godot” akan turun di menara Utopia. Bagaimanapun, sebatang lilin yang menerangi Utopia padam tiba-tiba. Keadaan panik dan huru hara berlaku. Dunia tiada lain: anarkisme.

Godot yang diharapkan turun menyelamatkan keadaan tidak muncul-muncul. Dia dikatakan murka dan merajuk. Oleh kerana berlaku pelbagai spekulasi, pemerintah Kaisar menggubal undang-undang baru, iaitu dilarang berkata-kata. Jika sesiapa berani melanggarnya, mulutnya akan dibaham hidup-hidup.

Kaisar selama ini dianggap sebagai wakil Godot di bumi. Dia mendapat nasihat daripada Nujum dan khidmat setia Anjing. Mewakili masyarakat mereka yang tertindas dengan dasar penjajahan kuasa baru ini, Satu dan Sembilan bangun memperjuangkan kebebasan – dalam drama ini dengan menyalakan lilin yang terpadam supaya Godot yang ditunggu-tunggu turun semula dari kayangan.

Satu, hidupnya berakhir di penjara. Manakala sahabat seperjuangannya Sembilan meneruskan perjuangan secara gerila. Bagaimanapun mereka menemui jalan buntu sehinggalah rakyat bangkit menumbangkan pemimpin yang zalim itu.

SETTING

Ruang Utopia – bangunan bertingkat, terdapat lilin-lilin di puncaknya.
Penjara
Taman bunga
Ruang istana – antaranya mempunyai banyak buku-buku.
Dewan orang ramai

Masa boleh pada bila-bila.

WATAK DAN PERWATAKAN

Satu – anak muda pemberontak, banduan Kaisar
Sembilan – anak muda pemberontak
Kaisar – Pemerintah negeri Antah Berantah
Nujum – Penasihat Kaisar, pengamal sihir
Anjing – Budak suruhan Kaisar
Cermin sakti – suruhan setia Kaisar, dianggap serba tahu dan akan menjawab segala persoalan Kaisar.
Beberapa orang rakyat

BABAK 1

Di dalam penjara. Bunyi kipas.
ANJING: (Tegas) Satu tambah satu sama dengan tiga.

SATU: (Kesakitan) Dua.

Aksi dan dialog diulang beberapa kali.

BABAK 2

Di taman bunga. Kaisar sedang bersiar dengan Anjing. Selepas beberapa ketika, Anjing berhenti.

KAISAR: Anjing, kenapa kau tak mahu berlari hari ini? Apakah kau kematian bini? Apa kau mahu menderhakai aku? Kau sudah lupa siapa aku? Kenyangkah engkau dengan juadah semalam? Saban hari aku memberikan kau mulut-mulut latah, mulut-mulut badut, membuat kenyataan dengan penuh kelucuan. Terlalu slapstik, bukan? Tidakkah kau membaham mulut-mulut mereka? Enak, bukan? Tulang-tulang itu perlu diganyang. Tulang-tulang itu tidak pernah mendirikan Utopia. (Membaling wang untuk dikejar anjing) Nah!

Anjing masih diam dan tidak mempedulikan Kaisar.

Apa, semalam mereka buat perarakan lilin? Mengikat lengan di tiang-tiang Utopia? Sudahlah, katakan kepada mereka, Godot takkan turun. Tempat Godot bukan di sini. Godot milik syurga, milik kayangan. Bukan milik bumi.

Kau pulang nanti, hidulah mereka, biar ke mana pun mereka pergi, jangan kau tinggalkan jejak mereka. Jangan sampai sekali lagi mereka menyusup masuk ke Utopia. Nanti Godot marah. Ini kawasan larangan. Ingatkan mereka.

Demi langit dan bumi, jangan kau menyalak lagi! Kau akan selamat bersama aku. Aku ialah Kaisar. Aku yang menjual surat pengampunan dosa. Aku ialah wakil Godot di bumi.

Demi langit dan bumi sesungguhnya, kali ini ingat, apabila mereka merusuh perangi saja mereka! Ya, aku melihat anak-anak haram itu sebagai raksasa Yunani yang berkepala dua. Satu dan Sembilan. Tak apa, kau dengar kataku ini dan aku kirimkan kau ke syurga. Begini, nanti kau awasi mereka betul-betul. Ingat, kau hanya awasi. Apabila saat genting sekali pun jangan kau bertindak kecuali aku bunyikan loceng atau siren. Waktu itu kau boleh lakukan apa saja terhadap raksasa Yunani itu. Kau kulepaskan.

Gigitlah mereka sepuas-puasnya. Sampai umur pencen nanti, kau duduk diam-diam di rumah. Makan tahi yang aku bekalkan, lahirkan anak banyak-banyak dan suruh mereka mengaji rajin-rajin. Sambil itu, kau baca akhbar di rumahmu, makan wang pencen.

Katakan kepada mereka: “Jangan jadi macam bapa, ya. Dulu masa muda-muda malas belajar. Mengaji fail, akhirnya jadi Anjing. Berkhidmat dengan Kaisar. Petang-petang bawa dia joging. Kalau ada orang hendak serang dia, kau kena gigit. Dia suruh buat apa, kau buat. Kalau dia terajang kau, kau kena tahan dan tak boleh melawan. Tak boleh ada anak dan seks masa kerja. Tak boleh ada saudara dan rakan. Kau kena tandakan wilayah untuk tuan kau. Di mana kau pergi kau kena kencing. Tanda itu sebagai tempat yang kau pilih untuk tuan kau. Malam-malam kau jaga rumah lagi. Rumah kau tepi pagar, siapa lalu kau kena salak, buat-buat geram. Kemudian salak dua tiga kali dan buat-buat nak hambat, kerkah dan tokak. Dia akan bagi kau tulang, walaupun dia makan isi. Sebab kau Anjing. Mengaji dulu pun bodoh.”

Ingat bodoh, katakan kepada mereka – anak-anakmu itu – sambil hisap sebatang rokok Amerika dan tengok Phua Chu Kang di TV: “Jangan jadi macam papa.” Dan pastikan mereka kata: “Auk, auk, auk!”

Kemudian bolehlah kau mati dengan aman. Bangkit dari kubur nanti, tunggu giliran masuk syurga.

SEMBILAN: Cis, bercita-cita nak masuk syurga konon! Kalau orang macam ini masuk syurga, aku ptotes pada Tuhan. Aku kumpul orang ramai-ramai buat demonstrasi di padang Mahsyar nanti!

KAISAR: Hei, Anjing-anjing, jangan kaulari! Kau kena selamatkan aku dari raksasa Yunani ini! Hei, Hercules! Hei, Zeus! Kemari engkau ke sini!

Anjing berlari keluar daripada pentas. Sembilan mengejarnya.

SEMBILAN: Kalau aku ini raksasa Yunani berkepala dua, nyata kau ini sang Kolossos. Hei, Kolossos, jangan kau letakkan dunia ini di bawah kelangkanganmu!

Anjing masuk kembali ke pentas dan menghidu-hidu mencari sesuatu. Gelap.

BABAK 3

Di dalam istana. Nujum asyik menulis di cermin sakti di istana. Di ruang lain Sembilan mengelilingi lilin. Manakala Satu dan Kaisar pula berebut menyalakan dan memadamkan lilin. Semua aksi ini diulang secara berterusan.

SATU: Godot. Berikan aku ilhammu, kalaupun tidak wahyu.

Kaisar masuk dengan bakul besar berisi surat. Sembilan cuma merebutnya. Apabila dapat, Kaisar terjatuh. Gelap.
BABAK 4

Satu, dari dalam penjara membaca surat daripada Sembilan. Sembilan, di tempat yang lain membaca surat daripada Satu.


SEMBILAN: (
Membaca surat daripada Satu) Kehadapan kekasihku. Apa khabar adinda di sana? Kakanda di sini celaka mengundang, malam memanjang. Entah apalah nasib kanda. Tetapi adinda janganlah pula patah hati dan lemah semangat. Walaupun kanda barangkali hilang. Dan hilang itu pastinya untuk selama-lamanya, ingatlah bahawa dalam dunia ini saban hari ribuan manusia hilang tanpa diketahui mana perginya.

Kalaupun kanda bisa lolos dari cengkaman Kaisar ini, apalah lagi yang tinggal buat kanda. Kanda tidak punya mulut lagi. Yang satu-satunya ini telah dibaham oleh Kaisar dan dikendurikan bersama anjing-anjingnya yang seramai 750,000 kesemuanya itu. Yang satu-satunya ini.

Kanda tak punya tubuh. Kanda tak punya busuk dan juga tak sekali-kali punya wangi. Tubuh kanda adalah kata-kata Kaisar. Segala mulut telah dibaham. Kita hanya melalak, menjerit dari dalam kolon dan perut busuk Kaisar semata-mata. Atau sesekali kita menjerit, cuma ia lolos sebagai kentut kecil semata-mata.

SATU:(Membaca surat daripada Sembilan, ketawa) Kentut itu memang selalu aku terkenang-kenang. Adinda rindu kanda bercerita-cerita dengan mulutmu yang pekat. Tapi kini bagaimana lagi aku bisa berkata-kata lagi tanpa mulutmu? Ke manakah kakanda pergi? Adinda sesungguhnya merindukan. Terlalu merindukan kanda. Kehadapan kekasihku....

SEMBILAN: (Membaca surat daripada Satu) Kehadapan kekasihku, kerana sebatang lilin itu kanda terbelenggu di sini. Dan kerana dia, sakti keramat itu jangan kaulupakan sebagai sakti cinta kita bersama. Jangan engkau terlalu ghairah ingin berperang. Aku tahu kita berjiwa merdeka, penuh semangat seperti orang Malaya, tetapi perang yang sebenar bukan yang ini.

Perang yang sebenar dalam dirimu. Perang yang sebenar dalam dirimu. Perang diperisaikan oleh nafsu. Janganlah kerana aku seorang engkau memberontak melulu. Perang ini ialah dusta semata-mata. Pembunuhan dengan senjata adalah lakonan yang sia-sia. Ya, sebiji atom meletus di Horoshima memusnahkan sebuah dunia. Ya, mama bomb berteriak di Baghdad, juta-juta manusia mati, hatta seorang anak yang belum sempat nafas pertama. Perang membunuh sekelip mata. Beginilah... Kehadapan kekasihku....

SATU: (Membaca surat daripada Sembilan) Kehadapan kekasihku, kau usahlah bimbang semua itu. Nescaya perang ini tidak akan kupedulikan. Perang ini dusta,m seperti dustanya Saddam, seperti dustanya Bush, seperti dustanya Amerika, seperti dustanya Kurdish. Perang yang sebenar adalah kelaparan, wahai kekasihku. Perut tak pernah membohongi manusia. Marilah kita berjuang untuk bumi dan tidak untuk syurga. Kenapa diendahkan manusia yang mati menjadi hamba peperangan, sedangkan saban hari jutaan manusia mati kerana kelaparan. Ini tidak termasuk kelaparan yang tersembunyi, tak cukup gizi.

Kehadapan kekasihku, mari kita nyalakan lilin ini agar jalan Godot tidak kabur dan samar lagi. Biar dia turun selamatkan kolon, perut dan perdu pedal kita. Biar dia kembalikan mulut-mulut kita yang berkurun lamanya dikunyah lumat. Mulutmu di mana wahai kekasihku? Kehadapan kekasihku....

SEMBILAN: (Membaca surat daripada Satu) Kehadapan kekasihku, aku sedang melihat bagaimana kau dibicarakan. Mulutmu di mana sekarang kekasihku? Mulutmu di taring Anjing, kanda. Kau akan digantung di pohon kabu. Mayatmu nanti akan diterbalikkan dan diseret dengan kereta kuda dari desa dan kota. Lantas cebisan dagingmu dikutip anjing di karpet merah. Kehadapan kekasihku....

SATU: (Membaca surat daripada Sembilan) Kehadapan kekasihku, iya, iya, kutip saja sebelum Anjing memagutnya dan mengunyah aku berkali-kali. Argh!

SEMBILAN: (Membaca surat daripada Satu, menjerit) Argh, argh, argh! Bahkan aku memakannya. Sedang ia masih berdarah lagi. Kuragui darahmu tidak lagi panas.

BABAK 4, LAKON I

Di dalam istana.

KAISAR: Hai cermin sakti, khabarkan kepada beta, siapakah yang paling kacak di negeri Antah Berantah ini?

CERMIN SAKTI: Yang paling cantik di negeri Isketambola pun ialah tuanku. Inikan pula di negeri Antah Berantah.

KAISAR: (Ketawa) Habis, siapakah yang paling hodoh di negeri beta ini?

CERMIN SAKTI: Yang paling hodoh, juga yang paling bodoh sekali ialah Anjing, tuanku. Ampun tuanku.

KAISAR: (Tidak percaya) Jawapan lain tak ada ke?

CERMIN SAKTI: Tak ada lagi jawapan lainnya.

KAISAR: Kalau begitu tukar jawapanmu. Katakan saja yang paling bodoh bukanlah Anjing, tetapi yang terhodoj dan terbodoh Satu dan Sembilan yang berani menentang aku. Lebih baik betulkan statment kau. Jika tidak akan kubaham mulutmu juga.

CERMIN SAKTI: Sebenarnya hamba tidak tahu juga tentang itu, tuanku. Tuanku pula usahlah memanggil dan bertanya hamba. Bukankah tuanku mempunyai seorang nujum negara yang dibayar gajinya dengan seluruh perbendaharaan negara?

KAISAR: Oh, ya tak ya juga. Tapi di mana dia sekarang, ya? Bawakan dia kepada beta sekarang juga.

CERMIN SAKTI: Ampun tuanku, Segala perintah tuanku patik junjung di atas batu jemala patik. Ampun tuanku.

Nujum masuk dan terus menggeledah buku-buku di istana untuk mencari sesuatu. Dia tidak mempedulikan Kaisar dan membuatkan pemimpin itu tertanya-tanya.

NUJUM: Cepat, cepat, aku sudah hampir menjumpainya! Usah kita berlengah lagi.

Tanpa tahu hujung pangkal. Kaisar turut menggeledah sebelum dia menjerit tiba-tiba apabila menjumpai sebatang lilin daripada timbunan buku-buku.

KAISAR: Ah, kenapa kau ada di mana-mana wahai lilin! jauhkan dirimu dari sisiku. Mata aku sakit melihatnya. Cepat Nujum, selamatkan aku.

NUJUM: (Tidak peduli) Katakan, katakan wahai Kaisar.

KAISAR: Beginilah wahai ahli nujum negara. Dalam tawanan beta...

NUJUM: (Memintas) Tak payahlah tuanku ceritakan. Patik telah tahu akan segala-galanya. Tak usahlah kita membuang masa lagi, marilah kita mengerjakannya dengan cepat-cepat. Sekarang bawakan lilin yang ada itu kepada patik. Jadi sekarang, apakah yang tuanku hendak patik lakukan sekarang?

KAISAR: Begini wahai ahli nujum negara, ahli nujum teragung seantero negara, murid sulung Nujum Pak Belakang, bahawa beta berharap agar diperlakukan begini adanya...

NUJUM: (Memintas) Tak payahlah tuanku ceritakannya lagi. Patik sudah tahu segala-galanya.

KAISAR: Kalau begitu baguslah Nujum. Ceritakan cepat kepada beta.

NUJUM: Begini tuanku, adapun apa yang mesti kita lakukan ialah...

KAISAR: Tajk usahlah pacal yang hina ceritakan lagi. Beta sudah tahu segala-galanya.

Kedua-dua mereka berpandangan dan ketawa.
KAISAR: Carikan. Carikan!

NUJUM: Patik memerlukan segelas air untuk melaksanakan tugas ini, Tuanku.

KAISAR: Air apa ahli nujum negara?

NUJUM: Ampun, adapun air itu ialah air oren, tuanku.

KAISAR: Anjing, bawakan segelas air untuk Nujum.

Anjing keluar dan masuk semula denga segelas air. Nujum membaca jampi, menurun dan kerasukan.

BABAK 4, LAKON II

NUJUM: (bermonolog) Alkisah tersebutlah sebuah cerita. Cerita bermula di negeri kerajaan Nabi Allah Sulaiman AS. Maka tersebutlah akan nama tempat itu negeri Antah Berantah. Dan berjiranlah ia dengan negeri Isketambola yang miskin dan papa kedana. Sedangkan mereka hidup dalam keadaan makmur dan sentosa. Cukuplah makanan untuk selama-lamanya. Setiap bulan boleh buat demonstrasi macam Aman Malaysia. Maka negeri ini dikatakan orang bijak pandai serta sekalian alim ulama, serta sekalian orang-orang kaya sebagai baldatun thaiyibatun warabbul ghafur.

Adapun Antah Berantah ini dipimpin oleh seorang raja yang sangat adil lagi saksama. Masyhur dan wangi namanya, terkenal sehingga ke Benua Keling di Utara sana dan sehingga negeri mata sepet sana, negeri China namanya. Hai, adapun sang maharaja ini daripada titih baik baka baik, maka baiklah jadinya. Daripada keturunan Maharaja Iskandar Zulkarnainlah juga. Kaisar namanya. Bapa saudaranya bernama Hitler, adik kandung Benito Muissolini dan Mein Kampf dan Meiji anak sulung jantannya. Dan anak perempuannya tiadalah taranya di seluruh dunia, diidami seluruh putera dan raja-raja yang duda sehinggalah ke kerajaan Benggali Putih sana.

Adapun pada satu waktu, satu ketika, suatu kejadian telah menimpa negeri mereka yang makmur ini. Sayugia diceritakan oleh tuan yang empunya cerita, maka hamba ceritakan kembali supaya menjadi pengajaran yang berguna untuk anak cucu kita yang terkemudian. Berlakulah onar dalam negara adanya. Sebatang lilin yang selama ini menjadi mercu tanda negara yang menyala dari Utopia telah pun padam. Terlalu hairanlah semua orang. Tiadalah mega, tiada mendung, tiadalah hujan menimpa, tetapi padamlah juga akan ia.

Maka menangislah seluruh rakyat kerana dibimbangi bakal mengundang kemarahan Godot yang selama ini sering turun menyelamatkan kita tatkala dirundung masalah dan derita. Semua rakyat yang jantan, yang betina, yang tua, yang muda, yang kaya, yang miskin pun menangislah teresak-esak sehingga 40 hari dan 40 malam sehingga banjirlah seluruh dunia akan air matanya. Akan besar manakah banjir itu, hanya Allah Azzawajalla sahaja juga yang Maha Mengetahuinya. Tetapi seperti dikisahkan orang, banjir tersebut kecil sedikit daripada banjir zaman Nabi Allah Nuh.

Seperti yang disuruh tulis akan hamba oleh Kaisar, maka beginilah ceritanya, buat dituturkan kepada anak cucu kita yang terkemudian. Cerita tentang tawarikh negara yang sudah-sudah. Yang baik hendaklah kita jadikan teladan dan yang buruk hendaklah dijadikan sempadan.

Adapan bangunlah dengan tiba-tiba dua ekor keldai entah daripada padang pasir mana dengan lancang menuduh bahawa semua ini angkara Kaisar yang adil lagi saksamalah juga. Kaisarlah kononnya yang menyebabkan lilin ini terpadam sehingga tidak ada Godot lagi yang mahu singgah bertandang ke rumah kita. |

Kali terakhir dikisahkan yang empunya cerita bahawa kedatangan Godot nun beberapa purnama dahulu di teratak buruk Wan Empuk dan Wan Malinilah juga mereka bertiga-tiga turun. Setiap seorangnya dengan sebilah senjata di tangan masing-masing. Maka makmurlah seluruh isi desa dan kota. Segala padi dan rumput rumpai serta padang ilalang telah bertukar menjadi emas. Maka kayalah seluruh rakyat Melayu sampailah kedatangan Benggali Putih ke negara kita.

Enak sekali akan nama dua orang anak muda itu, satu namanya dan seorang lagi bernama Sembilan. Dua ekor keldai ini terlalu ingin hendak masuk ke Utopia dan menyalakan lilin. Tetapi tak boleh, kata maharaja Kaisar yang agung lagi bijaksana. Ini kawasan larangan, katanya. Hanya raja yang boleh memasuki kawasan ini. Dam menara Utopua hanya bisa dijejaki oleh wakil Godot semata-mata. Akulah itu. Selain daripada itu, kadang-kadang Anjing juga boleh masuk.

Mereka ini, dua orang yang celaka ini akhirnya ditangkap oleh Anjing ketika menceroboh Utopia dengan bekalan sekotak lilin dan mancis setiap seorang. Sehingga kini mereka sedang mendapat seksaan di suatu ruang yang tak tahu di mana, tak tahu bilanya. Tak ada apa-apa. Tetapi seorangnya lepas menghilang sepreti asap sesudah itu.

Kemaluan mereka diikat di kipas dan dibiar semalaman. Hanya kerana mereka tidak sudi menyatakan satu tambah satu sama dengan tiga. Tetapi mereka haruslah mengatakannya juga. Jika tidak mulut mereka akan dibaham.

KAISAR: (Suara sahaja) Akan kubaham! Bagus!

Kaisar masuk ke pentas. Gelap.

BABAK 5

Di dalam dewan orang ramai. Kaisar diiringi Anjing.

KAISAR: (Berucap) Terima kasih saudara pengerusi majlis. Yang mulia diriku sendiri, wakil Godot di bumi, Ahli nujum negara, sekalian Anjing-anjingku, orang-orang kaya, kapitalis-kapitalis, drakula, superman, pacat, lintah, duri-duri kawat. Dan terharu sekali, juga tidak lupa kepada kaum buruh, nelayan dan kaum tani yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman untuk beta makan, walaupun kalian tidak pernah masuk Universiti Pertanian Malaysia.

Terima kasih beta ucapkan kepada rakyat jelata sekalian kerana sudi hadir ke majlis beta yang diadakan secara tergempar ini. Jangan takut, segala kemudahan telah beta sediakan dan hari ini dikira cuti bergaji khas kerana beta ingin membuat pengumuman penting, maha penting untuk rakyat jelata sekalian.

Segala LRT Putra dan Star beta perintahkan beroperasi sejak pukul lima lagi. Negeri kita kaya dengan kemakmuran dan kemajuan selama ini. Yang berada jauh di Felda Cuping misalnya boleh naik LRT dengan tambang setengah harga sahaja. Ang di Kodiag boleh naik... emm, apa nama tu? Ha, monorail yang baru kita buat baru-baru ini!

Selain itu segala bas rakyat, bas kilang, bas persiaran dan bas sekolah sudah beta sewa khas untuk majlis ini. Selain itu, kita juga menyediakan bas Perlisliner dan HBR juga.

Rakyat semua tentu boleh meneka apa musibah yang telah melanda negara kita sekarang ini, bukan? Cuba kalian lihat menara Utopia kita. Dengan tegas sekali beta katakan bahawa...

RAKYAT: (Memintas) Tak payahlah tuanku khabarkan lagi. Patik-patik semua sudah tahu akan segalanya, tuanku.

KAISAR: Hei, kenapa kamu semua berani berkata-kata? Ingat, mulai saat ini kamu dilarang berkata-kata. Kamu ingin jadi macam Satu dan Sembilan? Budak-budak hingusan itu terlalu banyak yang mereka tahu dan terlalu banyak pula mereka berkata-kata. Jadi mereka perlulah dimansuhkan.

Berkaitan dengan terpadamnya lilin di menara Utopia, tak ada lain maksudnya kecuali Godot tidak lagi merestui cahaya. Ia inginkan kegelapan pula. Dalam kegelapan sesungguhnya ada nikmat maha agung. Kalaupun Godot tidak turun, lihat, lihat diriku ini, aku boleh menjadi Godot yang baru untuk kamu. Bukankah aku juga kacak seperti kata cermin sakti dahulu?

Janganlah kamu semua bimbang wahai sekalian rakyat jelataku, setiap keruntuhan pastinya dan seharusnya akan merubah sesuatu. Ini merupakan putaran yang normal dalam waktu dan ruang. Lihat saja keruntuhan Patung Lenin di Pittersburg pada tahun 1991, impaknya lahirlah sistem baru yang dinamakan sosialis demokrat. Atau keruntuhan Soeharto tujuh tahun kemudiannya. Atau paling mudah di tahun ini, demokrasi tak juga muncul-muncul. Kekuasaan memang beralih daripada tangan ke tangan dan nyata tidak bisa kau musnahkan dengan apa cara dan dengan apa mata benda sekali pun. Setiap kuasa akan menjelma semula dalam form yang baru. Lihat tubuhku ini, tubuh Godotlah juga! Aku bisa berbahasa dengan kata-katanya.

Seorang rakyat bangun menembak Kaisar. Berlaku pergelutan antara pengikut Kaisar dan rakyat terbanyak.

BABAK 6

Di menara Utopia. Masing-masing memanjat menara itu sambil melafazkan dialog.
SATU: Merpati putih, terbanglah engkau! Jelajahi dunia ini, khabarkan kepada dunia tentang kegentaran kidungmu.

SEMBILAN: dan merpati itu pun berkira-kiralah untuk terbang bukan dengan sayap putihnya. Hei, Godot, terimalah lidahku yang tak betah berkucup. Terimalah lidahku yang tak betah berkucup.

SATU: Turunlah Godot. Aku telah membunuh Kaisar mabuk, Anjing penjilat dan Nujum dengan kedua belah tanganku ini. Darahnya terpercik ke bajuku, berbentuk nombor satu dan sembilan ini.

SEMBILAN: (Sampai ke puncak) Lihat, aku telah tiba Godot. Bukalah Godot. Bukalah cepat. Di mana pintumu? Dah gelap betul ini. Aku takut tersalah lubang! Aku takut tersalah lubang!

SATU: Bagaimana Sembilan? Bagaimana kekasihku? Apa lakumu?

SEMBILAN: kehadapan kekasih, betul-betul lilin ini yang mereka maksudkan.

SATU: Penjara ialah rumah kedua seorang pejuang.

SEMBILAN: Kehadapan kekasihku, aku tetap mengatakan bahawa walau kucing bertanduk sekali pun, demi langit dan bumi, satu tambah satu seharusnya dua.

SATU: Kita dimakan Anjing! Kita dimakan Anjing.

SEMBILAN: Kehadapan kekasihku, ribu-ribu merpati gugur. Bunga-bunga apyun jatuh berguguran. Apakah aku akan menelefon Linda atau Makota Oda di Tokyo? Apakah aku akan keluar tengok wayang Kurosawa?

SATU: Aku membaca dari buku-buku sehingga hitam uban-ubunku, hingga merah biru rambutku. Kata mereka kau tidak ada di mana-mana, sedangkan Godot ada pula di mana-mana.

SEMBILAN: Kehadapan kekasihku, dari Utara ke Selatan, belum bergerak ke mana-mana.

SATU: Ini konspirasi harapan. Aku cabut bunga-bunga di Kashmir. Aku tanam di padang Karbala. Benar tidak dimakan anjing.

SEMBILAN: Kehadapan kekasihku, peperangan sebenarnya betul-betul di lubang jiwamu.

Menara Utopia roboh. Gelap.

TAMAT