Tuesday, May 20, 2008

Karpal terima ancaman peluru hidup

Live bullet sent to Karpal
Duration: 0:02:32 min

Videonya dalam Malaysiakini.tv dan berita dalam bahasa Melayunya di sini.

Karpal terima ancaman peluru hidup
Jimadie Shah Othman | May 20, 08 4:09pm

Pengerusi DAP Karpal Singh diancam bunuh oleh pihak yang tidak dikenali hari ini, lapornya kepada polis.

Dalam aduannya, beliau mendakwa menerima sebutir peluru hidup 9mm dan sepucuk surat dalam sekeping sampul yang dikirim oleh seorang lelaki ke pejabat guamannya di Jalan Pudu. [Baca lanjut]

Malaysiakini

Berita-berita tulisan saya boleh dibaca dalam Malaysiakini, seksyen bahasa Melayu.

Tuesday, May 6, 2008

ZAKARIA ARIFFIN: DARI ‘GUNTING’ KE ‘GUNTING’

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

(Mingguan Wasilah 26 April - 4 Mei 2008)


Judul: Pentas Opera

Karya: Zakaria Ariffn

Arahan: Syahrul Fithri Musa

Lakonan: Harith Syah Idris Hamshah (Syekh Abdul Kadeer), Noor Aizuliana Azizan/ Noraidah Baharin(Rubiah @ Ruby Soeparno), Mazlan Abet/ Asrul Hafiz Huliman Hami Ahmad (Mohd Nasruddin Syah) dan lain-lain

Produksi: Bahteracara, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM


DALAM period Revolusi Kebudayaan, saf politik Maoisme dikepalai Mao Zedong dan dan dimata-matai Tentera Merah (Red Guards). Namun, dalam lapangan seni budaya, jurutera terpenting adalah Jiang Qing, primadona panggung China.

Pada 1938, beliau berkahwin dengan lelaki Komunis pertama China. Oleh itu, Jiang Qing sering dirujuk sebagai Madam Mao.

Bukan saja kerana Mao itu suami dan kekasih, tetapi kecintaan beliau terhadap aktor penting dalam sejarah moden politik China itu telah menjadi iman, kepercayaan dan isme. Dalam period ini, semua aksi dan tindak tanduk mesti tunduk kepada kekuasaan politik. Karya yang tidak cocok dengan iman negara dan parti adalah tertolak sama sekali.

Pada masa inilah, bermaharajanya Madam Mao di pentas dan panggung. Tidak tinggal lagi sebuah tanda dari nilai dan kebudayaan China melainkan tentang Komunisme. Daripada tema, penceritaan, gaya, bahkan sampai set dan prob di pentas, segalanya berorientasi Komunis belaka. Hatta gambaran pohon dan bunga-bungaan di pentas tiba-tiba berubah kepada imejan ladang, traktor dan patung Mao dalam sosok paling heroik.

Menonton teater Malaysia berbahasa Melayu yang bertemakan patriotisme selalu mengingatkan kita kepada panggung China 40 tahun lalu itu. Patriotisme selalu ditakrifkan sebagai propaganda. Karya-karya bersifat sejarah ditulis secara picing dan cenderung condong terhadap kekuasaan politik.

Namun, naskhah Pentas Opera karya penulis dan aktivis teater Zakaria Ariffin terkeluar daripada kategori ini. Walau pun membawa statement politik yang sarat, namun Pentas Operasubstance. mampu mempertahankan semangat naskhah. Benar, ia masih berkisar soal politik tetapi hidangan takrifan politik dalam naskhah ini dibuat secara sangat matang, dalam dan penuh tersirat, menjadikan cerita ini begitu seimbang antara rupa dan

Minggu lalu, Di panggung serba canggih Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik melalui kumpulan teater Bahteracara mementaskan buah tangan istimewa Zakaria Ariffin ini. Persembahan tiga hari ini dijayakan oleh pelajar-pelajar diploma jurusan tersebut.

Setelah belasan tahun Pentas Opera beraksi di serata pelosok tanah air, dan disentuh pula berpuluh-puluh, malah mungkin ratusan tangan pengarah, Syahrul Fithri Musa mengambil langkah berani mementaskan semula naskhah ini.

Penulis skrip, Zakaria Ariffin merupakan pengkarya dan penggiat teater yang sangat versestail dan prolifik. Penulis kira, tulisan beliau yang paling sarat dengan nada politik dan kritik sosialnya boleh dikesan dalam Jangan Bunuh Sam, dipentaskan kali pertama pada 2003 di bawah arahan Nam Rom, pengarah muda berbakat besar, dibintangi oleh Shahrul Mizad Ashari. Kedua-duanya merupakan bintang daripada Akademi Seni Kebangsaan (kini Akademi Seni dan Warisan atau akronimnya ASWARA).

Jangan Bunuh Sam merupakan sebuah karya yang memprotes 'gunting' (penapisan) dalam kerja seni. Ia tentang seorang pemuda lembut Rahim yang 'dibunuh' oleh produser Butik Sam, sebuah sitkom terkenal di TV5 atas alasan moral.

Naskah di tangan Syahrul ini pula diterbitkan kali pertama pada 1992, jauh lebih awal daripada cerita lelaki lembut yang mendapat publisiti meluas itu. Walau pun Jangan Bunuh Sam dikira sebagai puncak protes dan kritikan sosial pengarang, penulis fikir turning point-nya bermula dengan skrip Pentas Opera itu sendiri. Maka, Jangan Bunuh Sam dan Pentas Opera wajar dilihat sebagai sebuah keseluruhan dalam dimensi pemikiran pengkarya.

Skrip ini pada dasarnya berkisah tentang pelbagai masalah di Seri Nilam Opera di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur di tahun-tahun 40-an. Selepas pendudukan Jepun, opera ini melalui zaman sukarnya. Di mata Jepun, opera harus menjadi alat propaganda yang baik dan berkesan untuk menghadapi Inggeris. Oleh itu, setelah menguasai Malaya, Jepun mengambil strategi yang sama seperti Mao dan Jiang Qing di Tanah Besar China untuk menyebarkan fahaman dan ideologi mereka.

Jika dalam Jangan Bunuh Sam lebih kepada “jangan buat ini, jangan buat itu”, Pentas Opera pula lebih kepada persoalan “buat ini, buat itu”. Namun, soalnya tetap sama, keterikatan pengkarya dan kawalan pemerintah.

Teater yang dipersembahkan dengan inspirasi format bangsawan ini dimulai dengan pementasan Inggeris Iblis oleh kumpulan Seri Nilam Opera yang diarahkan oleh Mohd Nasruddin Syah (lakonan Mazlan Abet dan Asrul Hafiz Huliman Hami Ahmad). Persembahan ini mendapat pujian daripada Jepun. Namun, setelah gugurnya Little Boy di Hiroshima dan Fat Man di Nagasaki serta berkibarnya bendera putih di pihak Jepun, segala-galanya berubah. Jepun pulang ke negara mereka tetapi anak-anak seni di Seri Nilam Opera terus menjadi buruan. Pada mulanya oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang berkiblatkan China. China dan Jepun ketika itu adalah musuh ketat dalam politik antarabangsa.

Setelah Inggeris kembali dan Komunis diusir ke hutan, pihak ini yang diharapkan membawa fajar keamanan baru juga menjadi ancaman kepada sekumpulan anak-anak seni tadi. Banyak rintangan berlaku. Jelitawan panggung, Rubiah @ Ruby Soeparno dilamar anak raja Raja Abdul Muluk (Mohd Zuraidi Hamzah) dan Seri Nilam kehilangan seri panggung. Pengarah dan “orang muda” Mohd Nasruddin dibawa ke rumah pasung kerana kritikan terhadap Inggeris melalui Inggeris Iblis. Tuan panggung Syekh Abdul Kadir pulang ke Pulau Pinang untuk mencari sedikit wang dan seri panggung yang baru untuk mengaktifkan kembali Seri Nilam Opera.

Dalam Pentas Opera, perjuangan anak seni untuk menghasilkan sebuah karya seni mengikut kesedaran dan prinsip yang mereka percaya terancam. Hak itu dinafikan oleh pemerintah baik dalam zaman Jepun, Komunis atau Inggeris. Apabila kekuasaaan di atas bertukar, yang sudah tentu menjadi mangsanya adalah mereka sendiri. Seperti yang disebutkan tadi, tentera Jepun pulang ke Jepun, Komunis kembali ke hutan dan Inggeris pulang ke Britain. Yang tetap menjadi kambing hitam adalah anak seni yang ikhlas dalam perjuagan mereka. Obsesi dan keghairahan mereka perpancul daripada diaolog pemain yang merindukan Jula Juli Bintang Tujuh, Delima Sakti, Indera Mahkota dan lain-lain. Mereka tidak ingin terlibat dengan pergolakan “raksasa-raksasa politik”.

Pekerja seni harus mengambil iktibar daripada kisah ini. Eksperi seni juga merupakan hak-hak pekerja seni yang tidak boleh ditukar ganti. Perkara ini dijamin oleh perlembagaan dan Deklasrasi Antarabangsa mengenai Hak-hak Asasi Manusia 1948. Perlanggaran terhadap ekspesi seni merupakan pencabulan terhadap hak asasi manusia.

Pada zaman ini, tidak ada Mao Zedong, Jiang Qing atau Tentera Merah, tetapi kawalan dan penapisan sesuka hati terhadap karya seni itu masih gah dan kukuh. Tentera Merah mungkin wujud dengan segugus nama-nama lain yang kedengaran enak dan merdu bunyinya. Mengambil semangat cerita ini, kasus seperti ‘pembantaian’ watak lelaki lembut dalam sitkom 2+1 suatu ketika, penapisan filem, buku, majalah, persembahan pentas dan karya ilmiah, penapisan skrip dan agitasi-agitasi lain yang tidak kelihatan harus dielakkan daripada berulang. Mimpi yang paling ngeri adalah apabila pengaran, penulis, pengkarya mulai menapis diri mereka sendiri kerana risaukan ancaman terhadap pandangan peribadi yang melanggar arus kekuasaaan semasa.

Zakaria Ariffin menunjukkan kejatantanan beliau tanpa mengabaikan aspek estetika dalam sesebuah naskhah pentas. Oleh yang demikian, naskhah ini akan terus hidup dan tidak dimakan zaman sampai bila-bila.

Setelah lebih sebulan Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang, beliau kembali, tetapi Seri Nilam Opera telah kehilangan roh. Bermula musim suram panggung ini yang panjang berbanding seminit tepukan Jepun setelah tamatnya pementasan Inggeris Iblis. Sebuah harga cukup mahal yang terpaksa dibayar oleh anak-anak seni.

Di tangan Syahrul Fithri dan Bahteracara, mesej ini kurang menyerlah. Oleh itu, persembahan tiga hari di DBP itu tinggal suram tanpa jiwa. Semuram Seri Nilam Opera sesudah kembalinya tentera Jepun ke negara matahari terbit. Happy ending di akhir cerita tidak membuat kita berkongsi kegembiraan itu. Cuba lagi. Karya-karya Diploma Showcase selalu gagal.