Saturday, December 31, 2011

Tembak kepala kau*


SAYA bergegas ke stesen Komuter Klang, takut ketinggalan tren ke Kuala Lumpur. Seterusnya, di Sentral, transit dengan LRT ke Terminal Putra (Gombak). Eva  menunggu, depan stesen, dalam kereta, sambil mendengar lagu Melly Goeslow, soundtrack filem Tentang Dia.

Tren berhenti entah jam berapa. Saya melangkah masuk dengan kaki kanan tetapi bismillah tidak kubaca. Saya tidak berkesempatan duduk, Cuma berdiri antara koc. Iya, petang ini macet macam sardin cap ayam dalam tin. Macet Jakarta. Esok KL cuti dan semua mahu berhibur di kelab barangkali.

Saya kelemasan. Ada sekumpulan budak muda kacak dalam pakaian kot dan kemeja menghisap rokok. Mereka rompak dan peras ugut perempuan muda punk. budak perempuan itu memaki-maki.

 “Pukimak, punk,” kata dia.

Saya kejar kumpulan itu, orang kata mereka digelar Men In Black (MIB). Mereka lari antara koc ke koc. Menemui jalan buntu di hujung tren, saya terdengar bunyi tembakan, “Bang!”

Semua panik. Saya berlagak hero. “Meniarap semua,” kata saya.

Semua meniarap dan tren mendesup macam hantu Afrit. Pemandu Komuter menembak kepala sendiri dengan pistol cicak yang ia beli di Padang Besar, Perlis. Penyamun angkat tangan. Beg galas budak punk itu mereka lempar ke dada saya.

Budak punk itu ketawa. “Itu bom,” katanya.

“Ha?” Saya panik dan melompat keluar tren sesudah memecahkan cermin dengan kasut tumit tinggi seorang penumpang pondan.

Budak itu turut terjun betul-betul jatuh atas belakang saya. Saya kira satu dua tiga, saya tutup telinga dan rapatkan muka ke tanah.

“Kebabom,” kata perempuan punk nakal itu.

Dia ketawa dan rampas kembali beg dia.

“Terima kasih sebab selamatkan barang saya. Ini mahal tahu,” katanya lagi mengusap kepala saya.

“Binatang apa tu?”

“Kas-kas. Mak saya nak masak kari,” katanya, menghisap paip dan berlalu begitu saja.

Empat budak Men In Black acukan pistol pada saya.

“You are under arrest,” kata mereka, sambil mengeluar dan menunjukkan kad matriks mereka.

“Morfin kes berat, mandatori gantung sampai mati. Lusa mesti tok kadi gantung kau.”

* * *

Waktu saya jumpa Eva, kepala dia tak ada. Saya cabut balik ke LRT Putra stesen Terminal Putra (Gombak). Cepat-cepat saya masuk dalam tren. Saya baca suratkhabar semalam fasal lapan tempat perhentian tube kena bom di London.

Tren meluncur melaju. Entah mengapa. Itu tidak saya fahami. Ia terkeluar landasan dan kami semua menjunam di corner dekat-dekat stesen Setiawangsa. Saya pejam mata, dengar bunyi riuh yang kasar, dengar cakaran kuku yang ngilu.

Saya rasa sejuk. Kami buka mata. Langit memutih dan seribu kali bunyi kepakan melantun ke telinga. Dada kami berdegup kencang. Kemudian sejuk. Kemudian nyaman. Kemudian ia perlahan.

Tiupan terompet. Demi Allah, ada makhluk putih bersayap, mukanya berkilau-kilau dalam cahaya, ia menuip terompet dengan nyaring sekali. Mata kami pelan-pelan kelam.

Kemudian kami celik kembali. Kami seolah-olah tidak tahu berkata-kata. Semua kami dalam pakaian putih. Sosok mereka tanpa warna. Mereka menjadi makhluk lut cahaya. sebahagiannya lut sinar.

“Siapa tuhan kamu? Soalnya.

Dan kami dapati mulut telah kejap terkunci.

* * *

Eva dihantui bayang-bayang saya. Hari Khamis kami bertemu. Tetapi mulut dan sentuhan dan segala-galanya selain cinta telah kena Solex. Ia sangka saya setia menunggu di stesen Setiawangsa setiap Khamis. Benar, di situ kami berjanji temu saban minggu. Perempuan ini telah genap setahun perkabungannya. Ia sering berpakaian hitam dan sering lupa berdoa.

Sang kekasih ini (ia sejati) sentiasa membayar tiga pound dan empat penny, tanpa mengambil baki, untuk tiket tetapi hanya menunggu di stesen, kemudian turun, kemudian menghidupkan enjin kereta–tidak dengan LRT atau merapung seperti makhluk putih yang tadi. Matanya hitam bertambah hitam. Kanta lekap warna amethyst telah dia tanggalkan.

Waktu itu pertengahan Januari, Malaysia di hujung musim luruh – daun-daun mencoklat, sedikit dingin, matahari mengucup seolah puteri yang paling pemalu. Tema fesyen tahun ini putih. Bila nanti salju turun, seolah-olah mereka meresap dalam musim. Kerana segalanya putih, tiada kelihatan kecuali perempuan muda yang berkabung. Tetapi pertengahan Januari itu lain sedikit, ia melihat tiga pemuda Negro di tangga, asyik minum teh tarik; perempuan punk menjual kas-kas di kaunter. Dan tentunya dalam pakaian hitam.

Ketika ia masuk ke kereta, ada sebutir peluru di tempat duduknya. Saya melihatnya memicit-micit telefon bimbit warna hijau. Mengambil gambar. Kemudian berkata, "helo CSI, laki saya dan balik tapi dia dah kena culik."

* * *

Melly Goeslow menjerit di Hot.Fm. Fara Fauzana putar piring hitam lagu Tentang Dia. Tentang Dia ialah cerita tentang perempuan punk yang maki MIB, "Pukimak, punk!"

Cerita ini ialah rahsia yang tidak diketahui deejay muda Fara Fauzana.

Eva pulas volume radio dalam keretanya supaya meraung kuat. Kekasaran selalu melupakan dia kepada saya. Dan belum beberapa meter, entah dari mana, dia terlanggar budak perempuan yang tadi—rambut yang tercacak tambah cacak. Tatu di puting teteknya telah luruh. "Sial, saya repot sama Samy Vellu," katanya.

"Maaf," kata Eva perlahan, separuh kegentaran.

"Kau establishment, bapak kau kerja (di) Lembaga Peperiksaan, saya bunuh kau!" Ia langsung mengamuk lalu tendang pintu kereta Eva dengan kuat. Paip yang ia baling melekat di cermin kereta plat JHB 7337 itu.

Eva lari menghala LRT, seperti selalu bayar tiga pound dan empat penny dan naik ke platform. Bila pintu LRT bunyi ding dong dua kali, ia masuk bergantung di tempat pemegang. Tetapi ia melihat orang sekelilingnya macam Agen Smith. Saya melihatnya seperti tikus dan telah saya katakan, akan mulut kami semua telah kena Solex.

"You are under arrest," kata mereka, sambil mengeluar dan menunjukkan kad matriks.

"Morfin kes berat, mandatori gantung sampai mati. Lusa mesti tok kadi gantung kau."

"Baguslah, saya menikah Mac ini di Pontian," kata Eva.

* * *

"Allah Azzawajalla itu tuhan saya."

"Siapa nabi kamu?" makluk aneh itu bertanya lagi dan di kerongkong saya ada sebuah kitab yang maha berat. Gelap. Seperti malam. Sempit, menghimpit. Dan seekor ular yang panjangnya seribu tahun perjalanan menjeling saya.

Mukanya menyala-nyala. Ia bertanya lagi. Lagi. Dan lagi. Dan di akhir ia berkata, "masuklah dengan rahmat-Nya."

Saat itu, para teman (yang mengaku teman) semua berkata, "alangkah baiknya kalau aku tanah."

Dan saya merindui kekasihku. Ratu kepada semua bidadari, alkohol yang lebih memabukkan dari piala emas ini.

Khamis itu kami bertemu lagi. Saya masuk ke hatinya. Ia masuk ke hati saya.

* * *

"Kalau kau mahu suami kau balik, bayar setengah juta. Bila sampai KL Sentral, kau masukkan duit dekat mesin cash deposit Maybank, masuk balik dalam tren dan turun di Setiawangsa. Laki kau aku tinggal dekat corner di sana. Jika tidak, aku masukkan kau dalam lokap. Aku boleh dakwa kau simpan peluru hidup dan merancang dan mencuba menggulingkan dan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong," kata Agen Smith.

"Saya mengaku tidak bersalah," kata Eva.

"Mengaku, aku ada saksi!" Dia mengeratkan tujahan pistol cicak ke kepala Eva sambil menjeling muka budak Punk perempuan yang aku langgar tadi. Ia menjilat pipi saya. Mukanya seperti Ida Nerina dalam filem polis Yusof Haslam. Tindik di lidahnya menggelikan saya.

Bang! Si laknat itu menembak kepala kekasih saya. Semua penumpang meniarap dan cikgu besar datang tangkap empat anak murid nakalnya itu.

Eva melihat taman hijau, langit cemerlang (saya tidak apsti ia langit lazuardi atau kirmizi, sebenarnya tidak faham), semua orang suka, ketawa, minum Carslberg dan Heineken. Ia melihat cahaya yang terang. Cahaya berlapis cahaya seperti termaktub dalam kitab (kepada) utusan akhir zaman, al-Quran--An-Nur, ayat 35.

LRT bergerak dan berhenti di stesen tiap dua minit setengah. Di stesen, ia ding dong dua kali. Ta ada perlanggaran di corner. Pintu terbuka, perempuan muda yang manja dan gedik itu tidak lagi berkerudung hitam atau hadir, sering dalam pakaian merah seperti sebelumnya. Ia putih sesungguhnya. Sesungguhnya.

Eva mencemuk, menjelir.

Saya kata, "sayang, sebelum kita mati, kita meracau."

Waktu saya jumpa Eva, kepala kami tak ada. Khamis itu telah mengungsilah musim luruh yang panjang.

Ada perlanggaran di corner yang tak masuk TV3.


*Diterbitkan pertama kali dalam Akhbar Mahasiswa. Saya tidak ingat keluaran berapa. Cerpen ini mungkin terdapat sedikit perbezaan.

Friday, December 30, 2011

Penjaja di lorong merdeka

Beras yang kami tagih di restoran fast food
butirnya halus-halus. Malam ini kita bangkit
buat overtime lagi.

Kami niaga di lorong-lorong belakang restoran
agam. Kami jaja daging yang tidak perlu dimasak
dan sup yang tidak usah direbus. Kapitalis-kapitalis
yang menggemari daging di dalam restoran megah
pasti kan menagihinya.

Ini makan sebelum makan. Ini minum sebelum
minum. Inilah racun tamadun yang mereka cipta
untuk si ibu bunting.

Anak-anak baru yang nanti lahir kulitnya dikupas
AIDS. Tubuhnya tumbuh bulu-bulu sifilis. Nanti
mereka akan kembali mencari dan menikmat
sejarah di lorong-lorong belakang. Anak-anak
baru ini pasti menyusup ke segenap pelosok
lubang seperti tikus keciritan kalau nusa tidak lagi
merdeka.

Jimadie Shah Othman
2002

*Terbit kali pertama dalam majalah Siasah (tidak lagi beroperasi), edisi Mac 2003.

GURUN SARAH*

(Untuk Sarah)
Gurun masih muda. Ia milik kau, Sarah.
Hajar itu isteriku. Ismail itu zuriatku.
Rusuk kiriku tidak patah. Aku bertambah
maharaja dengan engkau.

Aku akan pergi menggali oasis. Kalau aku
hilang ditelan gurun pasir ini, bawakan tapak
kakiku buat Ismail. Dia akan menjadi bapa
bangsa yang tidak akan lupa binaan pertama
di dunia walau dia membina seribu KLCC nanti.
(Kalau dia tidak putus kusembelih.)

Nanti kubuat batas kurma dan sekeliling kaabah
kita sama tabur benih-benih tulip buat umat.
Cinta kau ada dalam cinta-Nya.

Jimadie Shah Othman
2002

*Termuat kali pertama dalam majalah Nur terbitan Kumpulan Media Karangkraf.  Edisinya tidak dapat diingati.


Thursday, December 29, 2011

Untukmu Yi dan Ren*

Api pilihan raya yang marak setiap lima tahun
dan sesekali dalam tempoh itu kala Izrael lalu
di DUN dan parlimen, padamkan sebentar.
Kita bukan Majusi.

Aku doa agar kasihku Yi dan Ren sejahtera
dalam gelut bunuhmati pemuda dan puteri.
Bunuh Yi bunuh diri. Bunuh Ren bunuh sukma
diri.

Satulah dalam deen, dalam Yi, dalam Ren. Kini
masa merenung dan mengawas. Jangan sampai
pisau politik terkerat jari sendiri! Belajar jadi
Habil, jadi Qabil! Kalau terbunuh, pandai-pandailah
kambus sendiri. Kita bukan gagak Majusi.
Darah kita tidak hijau, tidak biru.
Darah kita putih dari susu Hawa.

(Nota: Yi bermaksud kemanusiaan dan Ren bermaksud kesaksamaan dalam bahasa Cina. Manifestasi ini terilham dari teks klasik falsafah Cina, Meng Zi yang menekankan konsep kemanusiaan dan kesaksamaan sebagai konsep yang berjalan seiring dalam kehidupan.)

Jimadie Shah Othman


*Sajak ini termuat dalam antologi sajak Apas, terbitan kApas Publications pada tahun 2003.

P/S: Sajak ini asalnya sudah hilang. Saya ketemunya kembali dalam blog teman lama Salman Sulaiman. Terima kasih.