Sunday, August 30, 2009

MANUSIA, UDARA DAN FIRMAN

MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

(Disiarkan pertama kali dalam Tunas Cipta, September 2009. Ini merupakan versi asal tanpa suntingan.)

PAGI itu doa saya dimakbulkan Tuhan. Kamu percaya, saya telah doakan supaya semua manusia diangkat daripada bumi ini? Kamu semua. Kamu percaya?

Kamu bukan tidak percaya, tetapi kamu bahkan telah melupa, seperti tatkala rohmu terbit dari alam malakut, menyatu dengan tubuh dari tanah. Seperti kamu melupa bahawa kamu berikrar di depan Tuhanmu: “Engkaulah Tuhanku yang Satu, yang Esa, yang Abadi.”

Pagi itu, ketika bangun daripada tidur, saya dapati doa saya telah dimakbulkan Tuhan. Seluruh manusia telah diangkat daripada muka dunia ini.

Pada masa itu, kurang 20 jam sahaja, saya tidak perlu tidur dengan pendingin hawa terpasang hingga ke pagi. Saya rasakan udaranya sungguh nyaman. Buat kali pertamanya, setelah 29 tahun bernafas, saya baru mengerti ungkapan kata-kata puitis ini: “Angin sepoi-sepoi bahasa”.

Suhu bumi telah menjunam beberapa Farenheight. Tiada lagi pembakaran bahan api fosil. Gas karbon dioksida tidak lagi menebal dan menjahamkan ozon. Bumi ini telah menjadi tempat yang paling sesuai untuk didiami.

Ketika tidur, saya membaca senandung syair agung filasuf Cina. Katanya, “kalau menyayangi unggas, jangan kurung mereka di dalam sangkar. (Sebaliknya) tanamlah pohon nan rendang.”

Keesokan harinya, Tuhan telah menunjukkan sifat pemurahnya lagi. Pagi itu, tiada jam dan penggera yang mampu mengejutkan saya, melainkan suara ribuan unggas yang sungguh-sungguh merdu. Bunyinya umpama gesekan biola dan ketukan piano.

Di pagi itu, untuk kali pertamanya saya dapat rasakan benar-benar menikmati hidup ini. Saya hirup kopi dari cawan porselin, saya renung matahari memanjat ke langit dengan perasaan paling sejahtera.

2
Ya, kesusahan itu datang pada hari ketiga. Ia datang ketika peti sejuk saya menjadi lengang. Ia datang ketika hujan yang membawa lintar membakar sebahagian daripada bumbung rumah saya.

Ketika saya dail 15254, TNB, bahkan telefon adalah sia-sia, adalah batu di jalanan yang tidak bermakna.

Pada malam itu, saya bermalam di tepi lombong berdekatan rumah saya di Puchong. Buat semalaman saya memancing, minum, solat bahkan menunaikan hajat di situ. Di situ juga saya menemui seseorang.

“Assalamualaikum ya ahli kubur,” kata suara itu.

Salam itu, saya dengar bunyinya aneh sekali.

“Assalamualaikum ya ahli kubur,” katanya lagi, setelah salam pertamanya diabaikan.

“Siapa kamu?” soal saya.

“Manusia sepertimu,” jawabnya.

Saya tidak berpuas hati dengan jawapan itu.

“Siapa kamu?” soal saya lagi.

“Manusia sepertimu.” Dia asyik memberikan jawapan yang sama, kali ini dengan kuntuman senyum kecil.

“Jangan takut saudaraku. Pancinglah lebih lama lagi sehingga kelihatan olehmu apa yang merayap di permukaan air itu,” katanya.

Saya lihat sekeliling. Bukankah semua manusia telah diangkat daripada permukaan dunia? Saya rasa cering bulu roma. Saya pandang sekitar lombong. Tidak ada orang lain. Hanya kami berdua. Bila saya paling semula kepada lembaga itu, ia tidak lagi kelihatan.

Saya langsung pulang ke rumah, masuk ke gebar nipis dan tidak bergerak sehingga ke pagi.

Suara laki-laki itu masih bergema di telinga sehinggalah keesokan harinya, apabila unggas sekali lagi menjadi jam, pengera, loceng.

“Assalamualaikum ya ahli kubur.” Ia bergema dan bermain-main di kepala.

3
Hari keempat sesudah manusia diangkat dari muka bumi, saya tidak ke lombong. Saya rasa selamat di rumah, di depan kaca televisyen. Dunia menjadi sungguh sunyi. Tetapi sekurang-kuranya tidak ada makhluk yang berbuat kerosakan.

Tidak ada makhluk yang menjahamkan tanah, langit dan perairannya sendiri. Glasier di kutub-kutub berhenti mencair. Air laut kekal pada parasnya. Rumput menyubur setelah bebas daripada ragutan berlebihan binatang ternak. Bukankah ini dunia yang kita idamkan?

Tiba-tiba terdengar loceng rumah saya berdenting. “Assalamualaikum ya ahli kubur.” Suara itu benar-benar menghantui saya.

Malam itu kami menonton televisyen bersama-sama.

“Kenapa kamu panggil aku ahli kubur?” soal saya.

“Hati kamu telah mati,” katanya.

Tidak kelihatan wajahnya seperti punya sebarang perasaan. Bahkan pucat pasi.

“Kamu berburuk sangka sesama manusia. Kamu merasakan dirimu lebih baik daripada orang lain. Tidakkah kami ingat pesan rasul, apabila seseorang daripada kamu merasakan orang lain itu sudah rosak, maka dialah yang paling rosak antara mereka semua. Kamu faham?” katanya, berkhutbah.

“Siapa kamu?” soal saya.

“Kamu tak dengar. Kamu tak faham. Aku tanya lain, kamu jawab lain,” katanya.

“Siapa kamu?” soal saya lagi. Benar, saya tidak mendengar kata-katanya.

“Apabila datang kepadamu berita daripada mereka yang fasik, hendaklah kamu siasat terlebih dahulu,” kataku secara sinis.

“Baiklah, Assalamualaikum ya ahli kubur,” katanya, lalu mengabur dari pandangan.

Selepas itu, ia tidak datang-datang lagi. Tetapi saya merasakan diri seolah disumpah dan dilaknati. Saya disumpah dan dilaknati salamnya. Ahli kubur. Ahli kubur.

Apakah maknanya dunia yang sempurna kalau tidak dapat dikongsi. Apakah gunanya Adam di syurga kalau tiada seoarang Hawa. Saya disumpah. Saya benar-benar dilaknati. Puluhan tahun saya tinggal keseorangan di dunia ini.

Saya berdoa semoga Tuhan mengembalikan manusia di bumi, tetapi doa saya kali ini tidak dimakbulkan lagi. Jika anda berjaya menghabiskan cerita ini, maksudnya ketika itu, Tuhan telah memenuhi permintaan saya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih dan Lagi Maha penyayang.

Ketika manusia diciptakan di bumi, malaikat datang kepada Allah.

“Kenapa Kamu menciptakan makhluk yang akan berbuat kerosakan di muka bumi, seperti yang dilakukan oleh makhluk-makhluk terdahulu yang kamu ciptakan.”

Tuhan menjawab, “sesungguhnya kamu tidak tahu apa yang aku tahu.”

Ya, kita tidak tahu apa yang Tuhan tahu. Di sampung berusaha, Reda dan berserah kepadanya.

4
Pagi itu saya ingin berdoa kepada Tuhan. Kamu percaya, saya ingin doakan supaya semua manusia diangkat daripada bumi ini? Kamu semua. Kamu percaya?

Kamu bukan tidak percaya, tetapi kamu bahkan akan melupa, seperti tatkala rohmu terbit dari alam malakut, menyatu dengan tubuh dari tanah. Seperti kamu melupa bahawa kamu berikrar di depan Tuhanmu: “Engkaulah Tuhanku yang Satu, yang Esa, yang Abadi.”

Pagi itu, ketika bangun daripada tidur, saya dapati doa saya tidak dimakbulkan Tuhan. Seluruh manusia tidak diangkat daripada muka dunia ini. Doa saya tidak dimakbulkan Tuhan kerana hati saya telah mati, umpama kuburan yang sepi dan berabu.

Rumah saya begitu panas sehingga menimpulkan persoalan: Ia dibuat daripada batu apa?

Saya tendang pedal motosikal, saya panaskan enjin, saya melunsur di jalan raya.

Keluar daripada kawasan kediaman saya di Taman Putra Prima, Jalan Puchong penuh sesak. Kelihatan muka manusia yang mengantuk, bosan dan tertekan. Mereka pasang radio kuat-kuat, mereka hisap rokok dalam kereta. Saya melihat kereta berlanggaran di jalan, saya kereta-kereta memotong giliran dan melanggar lampu isyarat.

Fajar pagi tidak lagi diselimuti awan putih, sebaliknya debu dan asap kereta. Udara yang kita hirup dipenuhi gas karbon. Suhu dunia meningkat beberapa farenheight.

Sampai di tol Labuhraya Damansara Puchong, menghampiri susur keluar ke Lebuhraya Pantai Baharu dan Bandar Sunway, kesesakan itu menjadi sungguh luar biasa. Terlalu banyak kereta merayap di permukaan bumi dan terlalu banyak manusia yang mementingkan diri di dalamnya.

Ketika menyelinap di celah-celahnya, saya lihat seorang perempuan muda dilumuri darah. Seorang perempuan yang lain memangku tubuhnya di pangkah paha. Lelaki yang meragut rantainya hilang di di jalanan.

Dia tidak mengucap, tetapi juga berdoa, seperti kami, seperti semua orang: “Tuhan, angkatlah semua manusia daripada dunia ini?”

Saya hentikan motosikal di tepi jalan. Saya menyertai gerombolan manusia lain yang ingin menyaksikan tragedi itu. Ada di antara mereka yang merosok, sebahagiannya berbisik-bisik. Yang lain cuma diam.

Saya dengar, semua mereka memohon perkara yang sama kepada Tuhan. Tetapi Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih tidak memakbulkan doa mereka.

Tidak berapa lama, perempuan muda itu, nafasnya tersekat-sekat. Butang bajunya yang atas dibuka. Tali pinggangnya dilonggarkan. Kamu diminta ketepi supaya dia mendapat udara mencukupi. Mulutnya masih terkumat-kamit berdoa.

“Tuhan, angkatlah penyamun daripada dunia ini, angkatlah manusia daripada dunia ini,” pintanya berulang-ulang kali.

Udara yang diserap paru-parunya tidak juga menyenangkannya. Udara yang dihirupnya dipenuhi kesan pembakaran barang apa fosil. Dia sebenarnya menghirup karbon-karbon. Ya Allah, saya pinta sembuhkanlah perempuan muda ini. Wajahnya jernih umpama tanah.

Ketika itu, sebuah teksi melalui kawasan itu. Ambulan belum lagi muncul. Di bahagian belakangnya, kelihatan satu lembaga, menjeling dan melemparkan senyum nipis kepada saya.

Dia membuka separuh tingkap belakang, dan berkata, antara dengar dan tidak: “Assalamualaikum ya ahli kubur.”

Siapakah dia?

5

Semua kami mendengarnya, menjadi kaku dan menadah tangan ke langit. “Ya Allah, angkatlah semua kejahatan dan sangkaan buruk daripada hati kami. Hidupkan dan suburkanlah kembali kalbu-kalbu kami.”

Semua kami percaya, wajah perempuan dalam kenderaan awam itu adalah wajah mereka sendiri. Wajah yang masih tersimpan di sebalik segala jerebu di dalam dada./ENDS

No comments: