Jimadie Shah Othman
(Disiarkan pertama kali dalam Tunas Cipta, edisi September 2009 dengan judul "Kita tahu di mana kita bermula, tetapi yang terakhir itu selalu tinggal tanda tanya". Ini merupakan versi asal tanpa suntingan.)
Kita tahu di mana kita bermula, tetapi yang terakhir itu selalu tinggal tanda tanya.
Saya dilahirkan di sebuah dunia paling kecil dan sempit. Hampir 30 tahun lalu, di kampung halaman saya di Arau, hanya ada dua buah kaca televisyen. Sebuah milik jiran dan sebuah milik bapa saudara saya. Rumah mereka terletak tidak berapa jauh daripada kediaman kami.
Tidak ada budaya membaca dalam keluarga saya. Bahkah, ibu bapa juga jarang sekali membeli akhbar harian. Namun, apabila pertama kali kaca televisyen memasuki kampung kami, saya rasakan dunia ini sebenarnya terlalu besar, menarik dan penuh warna-warni.
Perasaan ingin tahu kepada dunia luar, terhadap the others itu akhirnya menemukan saya dengan dunia kata-kata. Kalau saya tidak gemar membaca, mustahil saya menjadi penulis.
Sejak itu, saya sering menghabiskan masa di perpustakaan, terasing dan sendiri. Saya sampai ke setiap penjuru rak, sehinggalah terdetik sebuah persoalan: Apakah semua orang boleh menulis? Kemudian, timbul persoalan kedua: Kenapa perlu menulis?
Sebagai lazimnya seorang anak muda yang penuh dengan keghairahan, kita selalu berfikir untuk mengubah dunia. Kebanyakan bacaan kita menggambarkan bumi ini hampir kiamat, hancur lebur dek sengketa.
Peperangan bermaharajela, penindasan kuasa berlaku di mana-mana, orang menjadi miskin dan lapar, keadilan sosial tinggal slogan, Palestin bergolak ratusan tahun. Dengan semua ini, siapakah yang tidak terfikir mengubah dunia, walau hanya dengan setitis tinta?
Saya pun menulis. Tetapi malangnya, ia selalu tertolak di media.
Pada tahun 2,000, ketika menuntut di Universiti Malaya, saya memohon menyertai Minggu Penulis Remaja, tanpa kelayakan, tanpa sebarang karya tersiar di majalah atau suratkhabar. Pengerusinya ketika itu, Hizairi Othman memberikan peluang kepada saya.
Di situ, saya berkenalan dengan beberapa penulis muda yang kelihatan serius dan bersungguh-sungguh dengan kerja mereka. Antaranya Salman Sulaiman, Lutfi Ishak, Fahd Radzi, Juliana Mohamad dan Khairul Nizam Raub (sekadar menyebut beberapa nama). Saya melihat kekerdilan diri sendiri di samping sebaris nama-nama ini.
Selepas itu, kami berlumba-lumba menulis di media. Beberapa karya saya mendapat tempat di media arus perdana dan alternatif. Saya tidak ingin membariskan satu persatu. Saya tidak ingat keseluruhannya.
Tiga tahun selepas itu, ketika “sastera underground” mula diberikan perhatian, saya, Lutfi dan teman sekuliah, Anjan Ahzana menerbitkan Mitos Sperma Amerika secara DIY (Do it Yourself). Kami digelar penyair underground, menolak konvensi serta melanggar tabu dan susila sastera. Tidak kurang juga yang melabel kami sebagai "budak nakal sastera".
Samizat itu diterbitkan sehari selepas Amerika Syarikat melanggar Iraq. Ia penuh dengan ungkapan erotis dan janggal dalam kebiasaan sastera kita. Ia diterima dan ditolak sama banyak. Bagaimanapun, Mitos Sperma Amerika, dengan jumlah terbitan amat terhad, habis terjual.
Sesudah itu, semua teman-teman berubah seperti sosok yang kita kenal hari ini. Saya pula mulai terdedah kepada dunia yang lebih serius, perbezaan pemikiran, mazhab, ideologi dan aliran falsafah. Saya jatuh cinta dengan dunia intelektual yang ditemui daripada pembacaan. Pergolakan pemikiran mengasak kita. Ia menjadikan kita lebih kritikal dan ragu terhadap banyak perkara, termasuk pada karya dan kebolehan diri sendiri.
Oleh kerana menulis itu sebetulnya menonjolkan lebih banyak ketololan, berbanding kebijaksaan diri sendiri, saya memilih lebih berdiam diri. Saya cuma mengusahakan blog secara santai dan tidak serius, sehingga kini.
Ada orang menulis demi kemasyuran, wang dan meterial. Ada yang mahu menyebarkan fahaman masing-masing. Selebihnya menjadikan sastera sebagai medan terapi. Tetapi untuk saya, cukuplah jika ia membawa kebaikan kepada diri sendiri, daripada munkar kepada makruf.
Ramai yang ingin mengubah dunia dengan kuasa pena. Ramai yang berhasil, tetapi lebih ramai lagi yang kecewa. Bagi saya, cukuplah jika ia mengubah diri sendiri, dari lalang menjadi padi. Semakin tua, semakin tunduk ke bumi.
Kita menghormati kepelbagai dan menikmati kehidupan seadanya. Penghasilan karya kreatif mampu menjadikan dunia ini lebih berwarna-warni, tidak hitam dan putih semata-mata, seperti warna kaca televisyen 30 tahun lalu.
Kata Rendra, dalam dunia persilatan, ada nombor satu dan nombor dua. Tetapi, menurutnya lagi, dalam dunia sastera, semuanya nombor satu. Semuanya memberi manfaat kepada manusia.
Saya melihat banyak hipokrasi dalam dunia sastera. Saya melihat penulis dan karya menjadi dua. Seperti firman Tuhan, “mereka katakan apa yang tidak mereka lakukan”.
Mereka bermusuh-musuhan sesama sendiri. Apabila masyarakat memerlukan, mereka kekal penakut dan tidak berani menyatakan sikap. Mereka terlalu bergantung dan tidak mandiri. Mereka tidak berani mempertahankan hak dan kebebasan. Inilah wajah sebenar sastera kita yang mengerikan.
Saya harap semua ini boleh berubah, walaupun tidak sekelip mata. Kita tahu di mana kita bermula, tetapi yang terakhir itu selalu tinggal tanda tanya. Begitulah juga dengan kerja-kerja kreatif. Ia perjalanan yang sulit dimengerti./ENDS
No comments:
Post a Comment