Friday, January 22, 2010

NATRAH ISLAM*


Oleh Jimadie Shah Othman

Judul: Natrah
Skrip: Al Jafree Md Yusof
Pengarah: Fatimah Rahman (Erma Fatima)
Pelakon: Maya Karin, Umie Aida, Remy Ishak, Samanta Schubert, Sofia Jane dan lain-lain.
Produksi: Istana Budaya, Kuala Lumpur

Mahkamah tidak selalu menyelesaikan masalah. Tidak dahulu dan tidak juga sekarang.

Pada 60 tahun lalu apabila seorang kanak-kanak Belanda, Natrah Maarof (lakonan Maya Karin dan Sofia Jane) – atau nama asalnya Maria Hertogh – diserahkan kembali kepada keluarga kandungnya, Singapura digoncang rusuhan yang sangat hebat.

Keputusan Mahkamah Singapura pada 12 Disember 1950 yang dicurigai bakal memurtadkan anak angkat Che Aminah Mohamad (Umie Aida) – seorang peniaga kain Melayu di tanah Jawa – disambut dengan satu laungan: Natrah Islam!

Kemarahan yang sama bahkan kedengaran sampai ke Karachi, Pakistan.

Bermula pada penghujung November lalu, selama 14 hari, tragedi ini dirakamkan kembali di Istana Budaya oleh pengarah terkenal Erma Fatima – yang kebelakangan ini sinonim dengan karya-karya berunsur Islam.

Bagaimanapun, seperti keputusan mahkamah Singapura 60 tahun lalu, Erma juga kelihatan enggan menyarankan apa-apa penyelesaikan berhubung kes yang dianggap kontroversi dan sensitif itu.

Adaptasi pengarah Embun dan Perempuan Melayu Terakhir terhadap skrip Al Jafree Md Yusof kali ini menyebabkan babak-babak tertentu dalam Natrah kelihatan liar sekali.

Bukan sahaja bacaan al-Quran, tetapi petikan-petikan Alkitab – kadangkala kedengaran seperti wirid – dan imej-imej kebesaran Kristian kelihatan sungguh berlebih-lebih.

‘Salib paling besar di Malaysia’

Selepas berpeluang menyaksikan pementasan tersebut di hari-hari awalnya, penulis sendiri terdengar soksek-soksek penonton yang secara berseloroh berkata:

“Kalau hendak tengok salib paling besar di Malaysia, tengoklah teater Natrah.”

Perbualan tersebut merujuk kepada babak Natrah melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam gereja, menghala kepada biarawati yang mendepangkan tangan, bersaksikan puluhan para penganut Katolik yang taat.

Di belakangnya, kelihatan sebuah salib yang sangat besar menjadi sebahagian daripada set pentas.

Jika pementasan teater tersebut dipanjangkan lagi melebihi dua minggu, Erma mungkin akan dibaling dengan batu.

Tragedi Natrah bermula apabila anak serdadu Belanda Sarjan Adrianus Petrus Hertogh (Mazin Ameen Siraj) dan isterinya Adelinen (Samantha Schubert) diislamkan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Konflik bermula apabila keluarga Hertogh menuntut kembali anak kandung mereka melalui mahkamah dan mahu membesarkannya menurut ajaran Katholik yang diimani mereka.

Natrah versi Erma dengan kehidupan anak kecil tersebut di sebuah kampung di Kemaman, Terengganu. Beliau digambarkan sebagai gadis kecil yang periang dan taat pada ajaran agama.

Terperangkap dengan undang-undang

Setelah kesilapan Che Aminah membawanya ke Singapura untuk menguruskan prosedur menjadikannya sebagai anak angkat yang sah, keluarga tersebut terperangkap dengan peruntukan undang-undang di negeri itu.

Sebahagian besar pementasan tersebut berkisar soal strategi ibu angkatnya ‘membebaskan’ Natrah, antaranya dengan mengahwinkannya secara tergesa-gesa dengan seorang guru Mansor Adabi (Remy Ishak).

Setelah 60 tahun, tragedi tersebut masih menjadi peristiwa yang meruntun emosi umat Islam. Perempuan Belanda itu yang menghabiskan sisa hayatnya sebagai seorang Kristian sentiasa dianggap sebagai lambang kekalahan umat Islam, khususnya di rantau ini.

Sehingga kini, isu kemurtadan gadis Melayu khususnya menjadi fenomena yang sentiasa merunsingkan, ditambah lagi dengan kecenderungan permohonan keluar daripada Islam yang diheret ke mahkamah.

Kes terbaru, pada 19 November lalu, S Banggarma atau Siti Hasnah Vanggarama Abdullah mendakwa beliau 'diislamkan' tanpa sedar ketika kecil sewaktu menetap di sebuah rumah kebajikan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kes yang benar-benar menggugah emosi umat Islam muncul beberapa tahun lalu apabila Lina Joy pula, seorang Melayu yang memeluk Kristian ingin memadamkan status Islam pada kad pengenalannya.

Emosi inilah yang menambat penonton terus membanjiri Istana Budaya selama dua minggu pementasan Natrah. Selainnya, buah tangan terbaru Erma hanyalah satu lagi contoh pementasan teater yang tidak berkualiti.

Tanpa kelebihan teknologi pentas di Istana Budaya dan pemilihan lagu yang tidak cocok – seperti irama Bollywood bagi menggambarkan suasana kampung terpencil di Kemaman – tiada apa yang boleh mengikat penonton terus kekal di kerusi masing-masing sehingga tamat pementasan.

Cuma menonton Natrah mengingatkan kita bahawa mahkamah tidak selalu menyelesaikan masalah. Tidak dahulu dan tidak juga sekarang.

Perlu ada satu pendekatan baru menyelesaikan masalah hubungan kaum di Malaysia. Erma barangkali tidak mahu pergi sampai ke situ. Cukuplah hanya sampai ke Istana Budaya.



*Artikel ini diterbitkan kali pertama dalam majalah Sastera.Net, Edisi Oktober - Disember 2009 dengan judul Apabila Natrah Menyimpang.... Ini merupakan naskah asal tanpa suntingan.

Tuesday, January 5, 2010

Hantu-hantu Pelabuhan Jutland


Jan 5th, 2010 | Dipos oleh admin | Kategori: Cerpen |



AKU menyebut Jyllands sebagai Jutland—ialah sebuah pelabuhan aneh sebanding hari itu di Kirribili. Aku tidak berani pulang ke hotel di Jalan Winworth. Hantu-hantu yang merah dan yang hijau kelihatan di mana-mana, berdesing seperti wisel atau siren diikuti suara-suara seperti kuda yang kalang kabutan. Aku melihat hantu di lampu-lampu trafik sekitar kota aneh Sydney. Maafkan, akulah yang obses dengan lukisan-lukisan celupar yang masuk ke kamar editorial di semenanjung Jutland itu.

Mac itu di Sydney, bulan maduku tidak menjadi. Ia hujung musim panas yang basah. Casrlberg yang kupegang seperti mencair di tangan dengan titis hujan yang mesra. William tidak mempedulikan kami yang basah seperti biasa masuk ke lif dan menekan nombor tujuh. Bila aku minum, air setan yang ada kod bar nombor 72 itu rasa payau. Isteriku nampak aku buang, berdenting dalam sinki.

“Sayang, be polite please. You civilised atau tidak civilised?” katanya. Ia masih acuh tak acuh dengan make up-nya.

Selepas menutup televisyen, “aku bosan cerita ragbi. Beberapa puluh laki-laki macam seladang, berbaju hijau belang-belang, berlaga macam lembu.”

Perempuan muda itu, ia ketawa lagi, bergegas ke dapur sebelah sinki, menggigit burger segera yang kami beli di kedai 24 jam Convenience Store, mengadu tidak sedap dan meletakkannya kembali ke dalam ketuhar.

Tangannya yang kiri menggagau ke sinki. Ia diam.

Marlboro Light kotak 20 telah kupadamkan. Rasanya lebih teruk daripada rokok Langkawi. Isteriku lebih diam.

William menerima panggilan daripada bilik 712, “tuan, ada suatu bunyi teruk betul di depan bilik saya. Seorang perempuan Asia meracau.”

* * *

Lembaga hijau dan merah itu, akulah yang mempertahankannya. Ia bukan Playboy, kataku. Kalau Indonesia, jiran terdekat kita sudah terbuka dengan penerbitan Playboy edisi tempatan, akan negeri ini, akan kubikin sebuah Jylland-Posten, sebagai hadiah untuk pembebasan manusia. Akhbar ini kudedikasikan untuk semangat dan keberanian.

12 karikatur itu telah masuk padat dalam kepalaku. Alangkah seksinya lakaran-lakaran itu kerana manusia harus mengiktiraf pertentangan. Ada orang melukis Muhammad berkulit hijau, wajahnya keruh. Ia memegang pedang bengkok dan ia tidak mengacungkannya ke udara. Di belakangnya seekor syaitan, badannya seperti pemain ragbi yang berbaju hijau belang-belang hitam dalam televisyen Australia. Memegang trisula, membelakangi Muhammad, badannya merah dan agam. Mereka menulis nama Tuhan di belakangnya: Allah.

Aku ketawa pertama kali melihat kartun celupar lewat e-mel yang kusangkakan spam. Aku menjadi hero media, atas nama kebebasan. Aku di pihak yang benar, aku berani mubahalah. Keceluparan itu datang bersama konteksnya, maka tidak adil untuk sebuah Jylland-Posten bahkan sebuah Denmark yang besar dan berdaulat dihukum berdasarkan teks semasa-mata. Reaksi dan aksi sejagat adalah reaksi dan aksi disebabkan warna kulit.

Ketika Sarawak Tribune diharamkam dan Guang Ming Daily diberangus, aku menerbitkan kembali karikatur-karikatur itu dalam blog. Malangnya blog aku hanya mempunyai 22 hits dan lapan pengunjung sehari sahaja. Tetapi dek kerana entri yang ke-12 dalam catatanku di Internet itu, aku menerima sebuah panggilan telefon.

* * *

Sejak itu William bertambah tidak suka pada orang Asia.

“Laki-laki Indonesia dan bininya itu, sejak awal aku nampak dia pelik,” kata William.

William menukar pakaiannnya yang merah dek darah.

“Ia melakar tubuh setan dengan darah dan menulis namaku padanya,” katanya.

Lindsay tertawa menahan lucu.

“Dia dari Kuala Lumpur, kawanku, bukan Indonesia.” Lindsay membetulkan fakta William. “Itu kau selalu silap,” katanya lagi.

“Ketika aku masuk, bilik itu bertukar merah macam neraka. Ada lakaran wajah syaitan di mana-mana. Dia kata dia datang dengan isterinya dan perempuan itu meracau, sebenarnya dia hanya datang seorang, Lindsay. Aku tidak pernah nampak perempuan itu.”

Ghairahnya terbantut kerana tiba-tiba begitu ramai pelancong Hong Kong dan Jepun mendaftar masuk hari ini.

“Tapi benar, aku melihat Carlsbeg yang dia minum berisi darah,” Willliam sempat berbisik ketika mengeluarkan kunci kepada seorang pelancong tua dengan kamera bersangkut dekat dada.

“Darah!” Jerit Lindsay.

Giliran William ketawa dan berkata, “kau bodoh.”

“Malam ini aku belanja kau di King Cross.”

William tepuk belakang perempuan itu.

* * *

Kami bertemu dekat kedai barang-barang dewasa (baca: kedai alatan seks tiruan) dekat stesen keretapi City Rail. Aku dan William dengan secawan kopi dan beberapa ketul ayam tandoori tidak halal di King Cross, kota malam, ibu kota Sydney.

“Jim, aku tidak lagi bekerja shift malam dan aku fikir kau gila.”

William tidak merokok.

“Engkau telefon aku ke sini buat apa?”

Aku jerit terus ke mukanya.

“Jangan hisap rokok,” jeritku lagi bila Lindsay baru memegang pemetik api.

Perempuan itu tunjuk isyarat lucah dengan jari hantunya, kali ini, juga tepat ke wajahku.

Aku fikir William ini penipu besar. Dia kata tidak pernah kenal aku, malahan tidak pernah tahu menyebut nama penuhku pun. Hari itu, katanya lagi, dia tiada di Sydney.

“Aku dan Lindsay, kami seharian di bilik yang kedap, tanpa pakaian, tanpa telefon. Kami seharian menonton Sukan Commonwealth Melbourne dalam televisyen.”

William cuba menerangkan keadaan dan Lindsay tidak sedikit pun merah pipinya. Ia ingin mabukan lagi sampai pagi. Lindsay dan Willliam dalam pakaian hijau. Topinya tinggi seperti badut—bertulis Heineken. Semua orang di jalanan tertawa.

Pelan-pelan aku lihat wajah mereka mengabur dari pandangan. Ayam tandoori yang William pegang menjadi tirus. Makin tirus. Tirus. Tirus. Sehingga menjadi seperti mata pedang.

Seperti di Malaysia juga, rumah-rumah hiburan dihiasi warna merah. Dan warna itu minit demi minit menggelembunglah pula. Membesar seperti pemain ragbi dalam televisyen Australia. Membesar tinggi dan agam. Demi Allah, ialah seperti 12 kartun dalam akhbar di kota-kota semenanjung Jutland.

“Mahu tambah tandoori?” tanya William. “Ini kan cuma satu dollar seketul,” ujarnya lagi sambil tangannya menguis pinggan kecil ke arahku.

Kepak ayam itu lain macamnya. Wajah William dan Lindsay lain macamnya. Lampu-lampu merah mula mendekat padaku. Ia, semuanya merangkak. Merangkak. Merangkak.

Jam sudah 12 waktu tempatan.

“Aku lihat kopi yang kau minum warna merah,” kata pasangan bercinta itu.

Ya Allah! Aku bangun dan berlari sekuat hati. Dan aku melintas jalan setiap kali lampu isyarat bertukar menjadi kuning. Aku berlari sampai ke Bondi Junction, stesen akhir untuk ke Bondi Beach, pantai tercantik di Sydney. Dekat tempat menunggu bas B, aku tidak melihat bas ke Circular Quay atau mana-mana tempat yang dekat dengan stesen keretapi City Rail. Aku ke Darling Harbour. Bunyi kapal mewah dan ombak akan mententeramkan perasaanku.

Aku merokok dan merindukan isteriku.

* * *

Akhbar Australia tiada satu pun artikel atau berita fasal Jyllands-Posten. Isteriku masih menggosok baju. Jalan Winworth masih berkabut. Beberapa orang laki-laki Inggeris mundar-mandir depan apartmen yang bertentangan dengan Travelodge—hotel sementara tempat menginapku di sini.

Aku ingin susu (berharga) satu dollar dan (akhbar) The Australian dari Convenience Store milik peniaga Arab jalan menuju Sydney Central dan Rumah Makan Melayu kepunyaan Hajah Mebia.

Orang Arab itu ingin membantu. Aku kekok dengan kaunter rokok kedai 24 jam ini dan rokok-rokok China dan Hong Kong yang banyak sekali. Sebenarnya aku lebih kekok dengan harganya.

Aku minta Marlboro Lights kotak 20 berharga sembilan dollar 30 sen. Hampir 30 ringgit duit Malaysia.

“Kau pilih itu bukan kerana warnanya, bukan?” dan, “ini saja?” tanya pemuda Arab itu melihat barang-barang yang kubeli. Aku sering keliru antara 7-Eleven dan Convenience Store kerana warna korperat dan warna logonya yang sama—merah dan hijau—cuma desain dan logonya yang berbeza.

“Assalamualaikum,” kata pemuda Arab itu dan dia menyambung lagi, “saya bukan Arab. Turkish, mate,” katanya lagi.

Dalam bilik, aku menemukan jawapan: Bukan kerana warna kulitnya.JT


Mohd Jimadie Shah Othman, 29, separuh wartawan, separuh penulis kreatif. Selain menulis berita politik, beliau turut menulis sajak, cerpen dan skrip drama secara kecil-kecilan. Jimadie turut berblog di jimadieshah.blogspot.com.