Friday, January 22, 2010

NATRAH ISLAM*


Oleh Jimadie Shah Othman

Judul: Natrah
Skrip: Al Jafree Md Yusof
Pengarah: Fatimah Rahman (Erma Fatima)
Pelakon: Maya Karin, Umie Aida, Remy Ishak, Samanta Schubert, Sofia Jane dan lain-lain.
Produksi: Istana Budaya, Kuala Lumpur

Mahkamah tidak selalu menyelesaikan masalah. Tidak dahulu dan tidak juga sekarang.

Pada 60 tahun lalu apabila seorang kanak-kanak Belanda, Natrah Maarof (lakonan Maya Karin dan Sofia Jane) – atau nama asalnya Maria Hertogh – diserahkan kembali kepada keluarga kandungnya, Singapura digoncang rusuhan yang sangat hebat.

Keputusan Mahkamah Singapura pada 12 Disember 1950 yang dicurigai bakal memurtadkan anak angkat Che Aminah Mohamad (Umie Aida) – seorang peniaga kain Melayu di tanah Jawa – disambut dengan satu laungan: Natrah Islam!

Kemarahan yang sama bahkan kedengaran sampai ke Karachi, Pakistan.

Bermula pada penghujung November lalu, selama 14 hari, tragedi ini dirakamkan kembali di Istana Budaya oleh pengarah terkenal Erma Fatima – yang kebelakangan ini sinonim dengan karya-karya berunsur Islam.

Bagaimanapun, seperti keputusan mahkamah Singapura 60 tahun lalu, Erma juga kelihatan enggan menyarankan apa-apa penyelesaikan berhubung kes yang dianggap kontroversi dan sensitif itu.

Adaptasi pengarah Embun dan Perempuan Melayu Terakhir terhadap skrip Al Jafree Md Yusof kali ini menyebabkan babak-babak tertentu dalam Natrah kelihatan liar sekali.

Bukan sahaja bacaan al-Quran, tetapi petikan-petikan Alkitab – kadangkala kedengaran seperti wirid – dan imej-imej kebesaran Kristian kelihatan sungguh berlebih-lebih.

‘Salib paling besar di Malaysia’

Selepas berpeluang menyaksikan pementasan tersebut di hari-hari awalnya, penulis sendiri terdengar soksek-soksek penonton yang secara berseloroh berkata:

“Kalau hendak tengok salib paling besar di Malaysia, tengoklah teater Natrah.”

Perbualan tersebut merujuk kepada babak Natrah melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam gereja, menghala kepada biarawati yang mendepangkan tangan, bersaksikan puluhan para penganut Katolik yang taat.

Di belakangnya, kelihatan sebuah salib yang sangat besar menjadi sebahagian daripada set pentas.

Jika pementasan teater tersebut dipanjangkan lagi melebihi dua minggu, Erma mungkin akan dibaling dengan batu.

Tragedi Natrah bermula apabila anak serdadu Belanda Sarjan Adrianus Petrus Hertogh (Mazin Ameen Siraj) dan isterinya Adelinen (Samantha Schubert) diislamkan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Konflik bermula apabila keluarga Hertogh menuntut kembali anak kandung mereka melalui mahkamah dan mahu membesarkannya menurut ajaran Katholik yang diimani mereka.

Natrah versi Erma dengan kehidupan anak kecil tersebut di sebuah kampung di Kemaman, Terengganu. Beliau digambarkan sebagai gadis kecil yang periang dan taat pada ajaran agama.

Terperangkap dengan undang-undang

Setelah kesilapan Che Aminah membawanya ke Singapura untuk menguruskan prosedur menjadikannya sebagai anak angkat yang sah, keluarga tersebut terperangkap dengan peruntukan undang-undang di negeri itu.

Sebahagian besar pementasan tersebut berkisar soal strategi ibu angkatnya ‘membebaskan’ Natrah, antaranya dengan mengahwinkannya secara tergesa-gesa dengan seorang guru Mansor Adabi (Remy Ishak).

Setelah 60 tahun, tragedi tersebut masih menjadi peristiwa yang meruntun emosi umat Islam. Perempuan Belanda itu yang menghabiskan sisa hayatnya sebagai seorang Kristian sentiasa dianggap sebagai lambang kekalahan umat Islam, khususnya di rantau ini.

Sehingga kini, isu kemurtadan gadis Melayu khususnya menjadi fenomena yang sentiasa merunsingkan, ditambah lagi dengan kecenderungan permohonan keluar daripada Islam yang diheret ke mahkamah.

Kes terbaru, pada 19 November lalu, S Banggarma atau Siti Hasnah Vanggarama Abdullah mendakwa beliau 'diislamkan' tanpa sedar ketika kecil sewaktu menetap di sebuah rumah kebajikan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kes yang benar-benar menggugah emosi umat Islam muncul beberapa tahun lalu apabila Lina Joy pula, seorang Melayu yang memeluk Kristian ingin memadamkan status Islam pada kad pengenalannya.

Emosi inilah yang menambat penonton terus membanjiri Istana Budaya selama dua minggu pementasan Natrah. Selainnya, buah tangan terbaru Erma hanyalah satu lagi contoh pementasan teater yang tidak berkualiti.

Tanpa kelebihan teknologi pentas di Istana Budaya dan pemilihan lagu yang tidak cocok – seperti irama Bollywood bagi menggambarkan suasana kampung terpencil di Kemaman – tiada apa yang boleh mengikat penonton terus kekal di kerusi masing-masing sehingga tamat pementasan.

Cuma menonton Natrah mengingatkan kita bahawa mahkamah tidak selalu menyelesaikan masalah. Tidak dahulu dan tidak juga sekarang.

Perlu ada satu pendekatan baru menyelesaikan masalah hubungan kaum di Malaysia. Erma barangkali tidak mahu pergi sampai ke situ. Cukuplah hanya sampai ke Istana Budaya.



*Artikel ini diterbitkan kali pertama dalam majalah Sastera.Net, Edisi Oktober - Disember 2009 dengan judul Apabila Natrah Menyimpang.... Ini merupakan naskah asal tanpa suntingan.

No comments: