Sunday, February 24, 2008

MARCO POLO DAN DIMENSI POLITIK KUBLAI KHAN

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN


Judul : Marco Polo

Pengarah : Kevin Connor

Pelakon : Ian Somerhalder, BD Wong, Brian Dennehy dan lain-lain.

Durasi : 173 minit

SEJARAH berubah selamanya apabila anak muda dari Venice, Marco Polo memulakan pengembaraannya menuju ke 'jantung dunia', China. Dalam DVD yang julung kali diterbitkan ini, juga dengan judul Marco Polo, kita dihidangkan dengan 173 minit pengembaraan penuh mendebarkan dan bersejarah; mereroka lurah-lurah politik dalam istana Kublai Khan cucu penakluk agung Mongol Genghis Khan. Politiknya lebih berliku dan sukar difahami berbanding perjalanan Marco dari Venice ke China.

Marco Polo membesar dalam keluarga pedagang. Bapanya konon pernah sampai ke China. Namun tiada siapa percaya. Bahkan bapanya itu Niccolo Polo sendiri tidak berminat membuktikan melalui catatan-catatan perjalanannya.

“Tulisan itu boleh menjahamkan kita, Marco,” tegur bapannya ketika Marco mulai mencatat.

Marco mengikuti bapanya, bukan sekadar untuk berdagang tetapi ingin melihat sendiri China yang makmur. Sekali gus mencatat dan membuktikan bahawa keluarga Polo bukanlah gila. Perasaan ingin tahun Marco bermula sejak bocah lagi. Seperti lazimnya Venice sebagai kota pelabuhan penting di Eropah, Marco melihat kapal-kapal di dermaga, barang-barang 'aneh' dipunggah dan kemudian kapal tersebut lenyap di lautan sebelum tiba lagi beberapa bulan kemudian. Marco terfikir, ke manakah mereka pergi? Adakah mereka telah sampai ke hujung dunia? Tetapi antara semua pedagang di Venice, tak seorang pun yang pernah sampai ke China.

Marco mengikuti bapa dan pakciknya dengan emas tulen kerajaan Mongol pemberian Kublai Khan (Brian Dennehy) sebagai tanda perlindungan. Bapa Marco tahu, itu adalah perjalan paling sukar. Mereka memulakan destinasi di Jerusalem. Selain Kristian yang taat, kafilah ini mahu minyak.

Kafilah Polo ini mengikuti Laluan Sutera, jalan laut dan darat untuk rempah-ratus.

“Hanya untuk ini?” soal Marco kepada bapanya.

Itu mengundang tawa bapa dan pamannya yang tadi, “kamu tidak tahu, ini lebih berharga daripada emas, perak dan permata,” kata mereka.

“China adalah jantung dunia. Mereka memiliki segalanya dan mereka tidak perlukan apa-apa daripada kita. Mereka memiliki tentera terbaik di dunia. Kalau kita juga memiliki semua ini, dengan mudah kita dapat menakluk dunia ini,” katanya lagi.

Semua ini membuatkan hati Marco bergelora tetapi nanti di istana Kublai, dia bakal tahu bahawa semua ini dusta dan palsu. Kublai dan datuknya tidak memiliki semua ini, gold, glamour, glory dengan mudah. Kublai mempertahankan empayarnya dengan cara yang lain. Oleh itu, ia memiliki kekuasaan yang jauh lebih besar daripada Iskandar Zulkarnain.

Sebelum tiba ke China, mereka merempuh gurun yang sukar. Selepas suatu serangan suku biadap di padang pasir, emas Kublai Khan tersebut menyelamatkan mereka. Pembawa logam ini diiktiraf mendapat perlindungan Khan segala Khan itu, maharaja dunia. Dalam perlanggaran itu, Marco melihat dua keajaiban. Pertama, kompas air China dan kedua, bom granit. Marco tidak dapat memahami bagaimana serbuk daripada batu boleh mengeluarkan api. Pada matanya inilah rahsia kekuatan empayar Kublai Khan.

Setibanya di China, di mata orang Mongol dan China, pedagang daripada Barat ini hanyalah seorang “Barbarian yang makan dengan tangannya”. Ketika mempersembahkan hadiah daripada Barat kepada Khan, Marco berdiolog yang akhirnya mencuri hati Maharani dengan mulut lancangnya.

“Mereka (pegawai kerajaan) membunuh, merogol dan memeras ugut atas namamu. Mereka menipumu dan tidak memberitahumu perkara sebenar yang berlaku dalam empayarmu kerana mereka takutkan kamu.” Begitu pandangan Marco.

“Mari kita lihat apa yang kamu ada,” kata Kublai. “Jika tiada apa-apa, kepalamu akan terpisah daripada badan.”

Marco Polo diletakkan di bawah pengawasan penasihat Khan, orang tua yang baik hati. Dia diberikan rumah dan seorang hamba yang setia, Pedro (BD Wong), pemuda bekas pemberontak dari puak padang pasir yang tertawan. Ketika rombongan Polo melangkah keluar daripada kota Kublai, bermulalah hidup baru Marco Polo di dalam istana lelaki yang paling kaya dan berpengaruh di dunia.

Melihat situasi ini, ada ironisnya. Bagi sesetengah sejarahwan, walau pun Kublai memiliki empayar yang lebih luas dan mengawal China yang besar, rencam dan berpecah-pecah, tetapi hakikatnya sehebat-hebat penakluk itu, dia sendiri ditundukkan oleh kebudayaan dan cara hidup China. Daripada segala aspek termasuk makanan, pakaian, kesenian dan kebudayan, Kublai menjadi lebih China daripada orang China.

Begitu juga dengan Marco. Ia melihat China sebagai syurga dunia. Dan dia boleh hidup seperti malaikat dengan perlindungan daripada maharani. Hanya maharani yang mampu menghargai kejujuran dan melihat kesetiaan sejati. Polo telah menghabiskan lebih 20 tahun hidupnya berbakti kepada empayar Kublai Khan. Namun, menjadi seorang barbarian dalam empayar besar Mongol bukannya mudah. Kublai memiliki beratus-ratus pegawai kerajaan dan puluhan ribu bala tentera. Kekuasaannya tiada lagi tandingan di dunia. Politik dalam empayar Kublai seperti telur di hujung tanduk. Terlalu ramai oportunis dan sentimen warna kulit pasti menjadi senjata sangat ampuh untuk menamatkan karier politik Marco Polo.

Dek kerana dengki dan sikap tamakkan kuasa ini menyebabkan Marco dipasung dan disumbat ke tempat paling hanyir di dunia. Penjara yang mempunya seribu jenis siksaan. Kesan daripada itu, bagi Marco, penjara bukanlah tempat berakhirnya kehidupan. Selepas itu, Marco terus menunjukkan kesetiaannya kepada Kublai. Di istana, dia belajar pelbagai benda daripada makan dengan penyepit hinggalah rahsia nafsu politik Kublai. Benar, Kublai memiliki segalanya. Cuma satu yang belum dan itu menjadi tugas Marco sebagai membuktikan kesetiaannya. Kublai mahu melanggar negara matahari terbit tetapi dia belum yakin dengan kekuatannya sendiri. “Marco, aku risau mereka mempunyai senjata yang lebih kuat daripada kita,” katanya.

“Peluru, bom, meriam?” soal Marco.

“Pengetahuan,” jawab Kublai Khan. “Melepaskan askar kita sekarang adalah umpama melepaskan askar yang buta,” dia menambah.

Daripada aspek ini Kublai dan datuknya Genghiz nyata berbeza. Dia bukanlah politikus semberono. Seluruh pelosok Jepun dan geografi sekitarnya perlu diteroka. Orangnya, kehidupannya, kebudayaan, teknologinya, semua itu mesti diketahui. Dan itu menjadi tugas Marco. Dalam gambaran orang Mongol, masih ada penduduk di kawasan-kawasan jauh yang bermata satu, berkaki besar dan mempunyai mata dan mulut di badan mereka. “Tolol, ini semua cerita dongeng,” kata Marco, dan dia bersedia dengan pengembaran sukar itu.

Ia meninggalkan Temulun, gadis cantik dari pencil yang dibawa untuk memuaskan hati Khan untuk satu malam, satu malam saja. Sesudah itu ia menjadi 'bungkusan hadiah'. Dan Marco menerimanya. Namun, sebaik Marco melangkah dari pintu kota pada siang hari, di malamnya Temulun menuju arah yang sama. Hati Temulun bukan di sini. Oleh itu, Temulun mati.

Bertahun-tahun Marco Polo dan hambanya Pedro belajar ke seluruh pelosok dunia. Dan setiap kali mereka pulang dengan kalungan hadiah daripada kerajaan-kerajaan lain, Kublai tidak akan lupa menyoal, “sudahkah kamu sampai ke hujung dunia?”

Hayat Kublai sudah hampir ke hujung dan itu tidak pernah memudarkan hasratnya melanggar negara matahari terbit. Jika tidak, ia tidak boleh tidur dengan aman. Dan maharani sentiasa memberi amaran. Kamu akan tewas. Perjalan ke sana amat jauh dan sukar, separuh tenteramu akan dibunuh alam semula jadi. Dan separuh lagi akan terlalu letih untuk menghayun pedang. Kekalahanmu akan menjahamkan empayar kita. Pegawai-pegawai kerajaan akan berebutan kuasa dan puak-puak dan suku-suku yang pelbagai akan memberontak. Itulah pengakhiran untuk bangsa Mongol.

Namun amaran itu tidak bertahan lama dengan kematian maharani. Dan petanda berakhirnya perlindungan istimewa terhadap Marco Polo. Dia terpaksa belajar untuk hidup dalam suasana politik enmpayar Kublai yang kompleks.

Kematian itu membuatkan Marco sepi. Pedro melihatnya. Sesudah Temulun tidak ada perempuan dalam hatinya. Ia hanya mengenal lautan, gurun dan kompas. Di saat itulah, cinta datang kembali. Namanya Kensai dan ketika Temulun di bawa ke katil Khan, adiknya kensai di bawa ke rumah penari. Ia diajar menjadi penghibur istana. Kensai mengingatkan Marco kepada Temulun dan dia mengambil keputusan menyerahkan hatinya. Tetapi itu tidak lama sehingalah Kensai dipilih Khan sebagai hadiah kepada maharaja Parsi sebagai lambang persahabatan. Dan Marco ditugaskan membawanya melalui jalan laut melalui Siam, Burma dan India.

Ini memberi ilham kepada Marco. “Pedro, ini hari terakhir kita di jantung dunia. Kita tidak akan ke Parsi, kita ke Vanice. Aku, kau, Kensai. Sekarang jualkan segala apa yang aku ada. Lakukan perlahan-lahan jangan sampai orang tahu. Tukarkannya menjadi emas dan permata.”

Di Siam, nasib mereka berubah. Takdir menyebelahi Marco dan Kensai. Itu berlaku setelah bertahun tahun perjalanan. Kublai Khan dan maharaja Parsi telah meninggal dunia. Oleh itu, Marco dan Kensai kembali menjadi orang merdeka. Malangnya, pegawai kerajaan Mongol mahu mereka semua pulang ke China dan utusan Parsi mahu puteri mereka untuk maharaja mereka yang baru. Di sinilah konflik bermula dan tercetuslah kekerasan. Dalam kepungan itu Kensai menuju ke pintu kota untuk berlari menuju destinasinya. Seperti Temulun, Kensai juga tewas. Marco kembali sepi. Kensai akan menjalani takdirnya sebagai puteri Parsi. Marco dan Pedro meneruskan perjalan ke Venice dengan catatan-catatan perjalanannya yang luar biasa. Setelah 20 tahun, Marco kembali menjadi orang Venice. Dia tidak ingin ke mana-mana kerana dia telah menjadi kaya-raya. Dia telah melihat dunia dan membuktikan keluarga bukan gila.

Pada 1298, Genoa, kuasa dari utara Itali melanggar Venice. Marco dihumban ke penjara bersama penulis romance Rustichello da Pisa. Maka pabila seorang pelayar agung dan seorang penulis berbakat bertemu, maka lahirnya The Travels of Marco Polo yang ulung itu. Ia menjadi bacaan sehingga kini. Mereka menulis dan bercerita tentang gunung ganang, geografi, cuaca, suku-suku di pedalaman dan itu melupakan mereka tentang politik yang berliku di luar daripada geriji besi di penjara.

KONTEKS, UDARA DENGAN BAU IBUKU DAN INTERUPSI-INTERUPSI LAIN

OLEH JIMADIE SHAH OTHMAN



Ada kotak tiga segi yang tidak kelihatan antara kita. Terus kepada subjek: Saya benci orang tua; dan ini cerita si racau-racau. Kotak-kotak memisahkan kita.

Berkali-kali Wan kata dia mahu menikah, dengan orang Pontian – tempat Konfrontasi 1963 sabung-menyabung. Bakal bapa mertuanya pernah keciritan dengan pendaratan tentera merah putih – jadi ‘tikus’, meresap ke permukaan selimut. Bapa mertuanya kata, Konfrontasi celaka. Indonesia Raya satu projek khas hegemoni komunis di Asia. Bapa mertuanya kata begitu. (Soekarno kata Malaysia satu projek Bristish anti komunis.)

Bapanya benar si bacul. Dia tidak berbuat apa-apa selain memaki-maki komunis. Dengan anak ‘tikus’ itulah Wan jatuh cinta. Saya turun dekat LRT Bangsar, katakan pada Wan, “menikah muda bagus, jadi tua (waktu) muda tidak bagus.”

Hanya itu rasa bimbang saya.

Wan dan kawan-kawan sekerja teruskan perjalanan ke Perlis. Saya tunggu teman penulis dari Pantai Dalam, naik motosikal terus ke Bukit Persekutuan, masuk dalam ‘kotak’.

Kedua, teks.

Ketiga, konteks.

Keempat, konteks.

Pertama, cinta.

* * *

Bekalan makanan terputus dan kita akan kelaparan. Semua kita. Di dalam bilik, saya menjadi ‘tikus’. Kota Bangsar ini (malamnya ) jadi bisu. Saya bayangkan ‘hantu-hantu’ Singapura memberkas, dan kita sungguh disiksa sampai mati.

Itu semua saya bayangkan, saya igaukan. Saya percaya perang akan meletus bila-bila saja. Singapura melanggar Johor sampai Wilayah. Negeri-ngeri Melayu Utara diramas Siam. Sabah, Sarawak, Labuan diganyang oportunis Indonesia. Kita daging-daging haiwan dalam pinggan, dirakusi segenap penjuru. Saya sungguh tidak patriotik. Saya tidak ada. Eksistensi saya adalah pseudo. Saya berkubu dalam selimut sendiri.

Sejak awal saya percaya, saya berhipotesis, Dr. Azahari dari Johor itu tak henti-henti mahu memusnahkan Indonesia dengan bom sabun cap Kapaknya. Dia fundamentalis agama, antisekular, percaya Islam mazhab perang. Sebab itu Indonesia membenci kita. Nasib baik Susilo menang jadi Presiden menggantikan Mega. Jika tidak barangkali Kuala Lumpur jadi beras tembukut. Dendam konfrontrasi Soekarno 1963 mengalir dalam tubuh perempuan pertama parti kepala seladang itu.

Seluruh dunia bergulat. Bumi jadi neraka sfera. Perang dunia. Dunia perang. Perang, apa makna saya? Perang, saya manusia bukan Bush, bukan Sharon, bukan Saddam, bukan Soekarno, bukan Mao, bukan Che. Saya membenci dan melaknat malaikat maut. Saya tak ingin terlibat permainan ‘dewa-dewa’. Saya hanya mahu meneruskan konvensi seorang penganggur bekas mahasiswa, berkubu lagi dalam selimut, seperti biasa dan selalu. Hanya itu kemahuan saya. Tidak kebuluran dan ketakutan ini. Tidak perang-perang atau bunuh-bunuh.

Sungguh, saya melalui 21 hari yang perit. Di semenanjung, Singapura hanya mengambil tujuh hari memusnahkan segala prasarana asas. Hanya dengan sebiji bom ke Paka, seluruhnya kita bergelap-gelita. Kemudian empangan-empangan diletupkan. Kuala Lumpur macam kota tinggal.

Hari ketiga, timbul desas-desus mengatakan KLCC akan jadi WTC kedua tepat jam 12 waktu tempatan. Kemudian serangan udara bertali arus sampai hari kelapan. Askar Kota Singa yang kini sampai ke Muar akan menjarah pantas ke ibu kota dan seboleh mungkin menangkap orang-orang di Putrajaya.

Tetapi saya tidak mungkin lari. Ini kota saya. Ini selimut saya. Ini udara saya. Mana mungkin. Udara ini ada bau ibuku.

Saya bertahan sampai hari ke-21, tetap di rumah, juga di dalam selimut yang itu-itu juga.

Hari ke-22, tanpa apa-apa, selain ringgit dan kad pengenalan, saya menyusur sejauh mungkin dari kota ini, mengelak menuju pusat bandar Kuala Lumpur. Saya berkira-kira ke Melaka. Seboleh mungkin mengelak bertembung ‘anjing-anjing’ Singapura dan menyusup (secara) haram pelan-pelan ke Acheh. Barangkali gonjang-ganjing juga nantinya dengan Tentera Nasional Inonesia (TNI) bersama Gerakan Acheh Merdeka (GAM). Saya orang tidak merdeka.

Seharian saya berjalan dengan mata tepat ke jalan, ke tanah. Saya melihat jam, hampir 13:00 Berhenti sebelah lebuh raya, saya mengesat peluh, minum air dan merokok. Merokok menghilangkan rasa bacul saya.

Saya terasa ingin melihat ke belakang, hanya melalui cermin kereta. Tetapi hati kecil saya kecil kata tidak. Tepat 12 saya tewas. Saya berpaling. KLCC tidak lagi kelihatan dan peluru-peluru bergulat seperti kuku malaikat. Saya ambil beberapa momen, tarik nafas dalam-dalam. Benar, udara ini ada bau ibuku. Kami tidak berhubung. Dia mengungsi. Dan udara ini ada bau ibuku.

* * *

Ketiga, konteks. Keempat, pilihan. Seterusnya ego.

Wan percaya cintanya kepada laki-laki genit pontian adalah benar. Saya tidak. Bahkan saya meragukan keabsahan persahabatan kami. Lebih awal dari itu, kesedaran diri. Lebih awal lagi, eksistensi kita sebagai jisim, dalam (ruang) jisim-jisim lain yang sering saya sangkakan tiada beban (teks) ingatan.

Tetapi Wan dalam kotak yang lain. Dia memandang dan merasai nikmat yang lain. Yang mustahil dan tahyul bagi saya. Tapi bukankah pandangan, pendirian dan pilihan itu suatu premis yang sangat peribadi?

Sejak dunia bergoncang lagi, keamanan tinggal slogan, saya tidak pernah bertemu dengan Wan. Setahu saya dia telah menikah dan kini jadi perempuan buntal (mengandung) yang tua dan hodoh. Dia masih jadi misi di Klinik Kesihatan Kaki bukit, Padang Besar, Perlis. Saya pula masih di Bangsar, menganggur, merempat dan lupa berdoa.

Di tepi lebuh raya, menuju ke Melaka inilah saya bertemu suaminya. (Pada mulanya saya fikir dia perisik Singapura kerana datang dengan tiba-tiba dan memuntahkan pertanyaan bertalu-talu.)

Di atas bot, ketika kami diseludupkan ke Acheh baru saya sedar dunia ini benar-benar bulat, mujarad, absurd, berperca-perca dari teks yang sangat fleksibel, anjal, cair. Dan saya tidak menjadi saya. Begitu juga laki Wan. Kehidupan saya sudah tidak bermakna tanpa bau ibu saya. Dan tanpa Wan, suaminya tinggal sebuah susuk hampa—kosong, tidak beerti dan terkutuk.

Selepas loceng dari gereja dibunyikan, para biarawati menyanyikan Helelujah, Jinggle Bell dijadikan nada dering telefon bimbit, tepat jam 02:42, enjin bot kami berhenti berbunyi. Rosak dan tidak dapat dibaiki. Di atas kepala pesawat perang sabung menyabung seperti Ababil yang dikirim tuhan, membawa batu-batu kecil dari neraka dan dihunjam ke dagu Abrahah yang gila (perang).

Saya dan suami Wan tidur. Setelah terganggu dengan dengkurnya, saya terjaga. Tidak ada jam. Tidak ada masa. Cuma laut. Laut. Laut. Matahari muncul dan terbenam di ufuk hujung yang sedikit melengkung. Kemudian pagi 26 Disember itu, dinginnya sedikit lain. Bayunya seolah menangis.

Saya bau ibu saya dalam udara ini. Saya bau tanah merah yang menimbus jenazahnya. Saya bau rumput-rumput segar, yang kering, yang masam, dan yang kering. Suami Wan, lelaki tolol yang asyik menyebut-nyebut kebimbangannya kepada bini muda tidur. Pemandu bot tidur. Terus tidur.

Laki-laki muda itu, ia diam di sisi saya. tanganya memegang sebungkus Maggie kari berharga RM 7.50.00. Ekonomi jadi bangkai yang dikelilingi dubuk-dubuk kapitalis. Perdana Menteri masuk ke lubang tikus dan mukanya tidak seperti Saddam.

Di kayu tempat duduk, ia menulis perkataan-perkataan yang menjadi puisi misteri:

Wan

Wan

Wan

Wan

Wan

Wan

Wan

Setelah bertahun-tahun saya membaca, menulis, melepaskan imaginasi, tidak pernah jantung saya bergoncang dengan tujuh baris perkataan sebegini.

Ombak melambung dahsyat dan (plastik) Maggie melayang-layang seperti watikah perang dari kumpulan yang digelar “anjing” kerana kelemahan, kebaculan dan ketewasan. Suami Wan, lehernya tidak jenjang tetapi ia lebam. Pemandu bot yang tadi pelupuknya rapat, di tangannya garfu plastik warna kuning. Ia meniarap seperti orang berbahagia (tapi ia sebenarnya celaka).

Di sisinya, sup yang masih lagi panas. Dan mee yang sedikit kembang. Saya melihatnya wajahnya seperti peta Singapura. Lantas saya buka seluar, tarik zip dan kencing ke hidung.

Dan kami tidak lagi menjadi manusia sehinggalah kepala kami diketuk dengan buntut senapang yang keras.

Bila kami buka mata, kami telah menjadi anjing kerana pernah memilih menjadi tikus. lipas-lipas mengerumuni kami. Tiada siang dan malam, matahari atau bintang-bintang. Tiada bau ibuku melainkan perfum kekasih yang jernih.

Dari jerigi, mereka bahkan melihat penjara dalam kepala kami. Orang mati. Serangkap puisi.

Jerigi tidak dikunci. Kami mampu lari tetapi tidak dari penjara yang tidak kelihatan ini.

BELUM ADA JUDUL

OLEH JIMADIE SHAH OTHMAN

(Wasilah)

AKU selalu bayangkan aku ini Spiderman dengan jaring labah-labah menyembur dari tangan. Aku selalu bayangkan itu. Dan rumah nombor 29 ini medan laga maha dahsyat. Iya, aku bayangkan kawan-kawan tempiar bagai tikus dikejar anjing-anjing Jawa. Segala rusuh mengelembung. Seorang perempuan muda dengan wajah luar biasa ditelanjangkan depan rumah. Sekalian saudara tidak mampu berkata apa. Mereka menangis. Tetapi aku tidak. Aku bergayut-gayut antara pohon kelapa, melompat-lompat dan menyemburkan jaring labah-labahku berkali-kali kepada penakluk baru dari Jakarta.

Aku selalu bayangkan semua itu sejak Oktober lalu. Imaginasiku jadi serigala. Aku ke bilik air tetapi dinding tidak kucontengkan. Aku kencing. Seekor lipas coklat di penjuru bilik itu hampir-hampir tidak ternampak. (Kenapa mak aku cat bilik air ini warna kuning?)

Lipas itu diam. Aku celup tangan dalam gayung dan cuba langsaikan apa yang tertangguh. Lipas itu juga diam. Tak ada bunyi. Tak ada suara. Ayah kerja. Ibu, iya, ibu, barangkali sedang menonton. Aku lepas gayung dalam kolah, kuak pintu dan keluar. Mak kata, tinggikan suara macam cengkerik, "lepas kencing, curah air. Aku baru saja basuh pagi tadi."

Aku tidak menghiraukan semua itu. Aku kata, "sudah."

Aku masuk dalam bilik, kunci pintu dan layan orang Hollywood menjerit dalam (radio) Red . Aku mabuk-mabukan dan tidur hinggalah aku terjaga hampir jam dua. Segalanya hening sekali. Tak ada bunyi. Tak ada suara. Dalam separa sureal itu, sekali lagi, asyik-asyik imaginasiku meliar. Aku bayangkan rumah aku di tengah-tengah Banda Acheh. Awal pagi kami menonton bola Liga Inggeris ramai-ramai dan awal pagi kami tidak ke sawah. Kami tidur kerana keletihan. Aku bayangkankan isteriku Maisarah datang merenggek di kaki katil dan kami berselingkuh menyelesaikan hutang yang tertangguh semalam. Kerana semalam kupilih bola, bukan cinta. Hari ini dia menuntut cinta, bukan bola.

Dia perempuan Syi’e lepasan Universitas Syiah Kuala, bandar kecil ini. Saya Sunni. Justeru, perkahwinan kami jarang sukses. Kami selalu bertengkar. Dan bapa nyaris-nyaris hambat kami dari rumah nombor 29 ini.

Tiba-tiba emak ketuk bilik aku kuat-kuat, macam nak relai papan pintu dan dinding. "Bangunlah, dah dua lebih. Jangan buat hukum sendiri, kita ada tamu."

"Tamu? Ha?"

Aku bangun, genyeh mata dua, tiga kali, jalan mabuk-mabukan lagi. Tuala kugalas di bahu.

Dalam bilik air, sambil duduk aku sandar di kolah. Mata sekejap kubuka, sekejap kututupkan. "Astaga, ini apa?"

Hei Asep, makan tu nenek-nenek

Hudep sare mate beu sajan sikrak gafan saboh kerenda

Aku bangun dan tatap dan gosok dan raba dinding bilik air. Basah, melekit, sejuk dan menjijikan. Aku cebuk air dan jiruskan. Mujur ia melarut. Aku mandi tetapi lipas tadi tidak lagi kelihatan.

Mak kata, "cepatlah, semua dah siap terhidang."

Waktu keluar dari bilik air, aku jadi hairan. "Siapa?" kataku. Dan, "apa semua ini?"

Mak buat macam biasa. Dia senyum. Ada seorang perempuan di sisinya, sedang picit cabai dalam piring. Dia juga tersenyum.

Dalam bilik, saya seboleh mungkin menyakinkan diri sendiri, saya matang, sudah habis sekolah, tamat universiti, ada kerja tetap, ada perniagaan sendiri, ada pengikut (walaupun tidaklah begitu banyak), boleh main muzik dan saya romantik. Tapi ibu, saya cuma anak usia 24.

Ibu tidak mahu dengar semua itu. Selepas daripada itu, saya bersikap dingin, pada keluarga, pada perempuan Acheh sial itu. Persepsi saya tentang masa berupah.

Tapi, "saya faham," kata perempuan Acheh itu. Maisarah namanya. "Kami mengalaminya juga. Bahkan ratusan tahun. Sebelum imperialisasi Belanda, satu hari dirasakan begitu cepat, tapi selepas itu segala-galanya berjalan perlahan sekali. Selepas revolusi 45 juga. Tapi zaman DOM (Daerah Operasi Militer), satu hari lamanya umpama seratus tahun."

"Tapi kamu cuma sial, persepsi masa tidak penting. Kamu cuma jelmaan si lipas dalam tandasku."

"Masa memang sudah tidak penting. Yang pentingnya cinta. Dan kamu memang harus mati bersamaku. Aku ini pejuang GAM (Gerakan Acheh Merdeka), mulai minggu depan, aparat akan memenuhi kampung ini. Dan kamu memang harus mati."

Malam itu aku benar-benar berperang. Berperang dengan diriku sendiri. Pintu biliknya di tingkat atas kukuak perlahan-lahan. Aku pegang, genggam gebar nipisnya, tanganku menggeletar. Aku rentap tiba-tiba. Tetapi dia menjelma lipas. Menjelma dari ketakutannya.

* * *

Berhari-hari, imaginasiku makin meliar. Imaginasiku jadi angin, kubayangkan udara kita dipenuhi peluru dan ibuku dan ayahku sebenarnya tidak pernah wujud. Mereka sudah meninggal 20 tahun lamanya. (Rata-rata taraf hidup bangsa kami cuma 37 tahun.)

Aku di dalam gebar nipis Maisarah. Di sebelahku seekor lipas dari tandas. Dan aku sebenarnya Pokemon.

“Kamu bangsa mabukan,” kata Maisarah.

“Tidak, ini yang benarnya. Kamulah yang mabukan. Kamu tidak real. Kebohongan,” kataku.

“Orang tuamu dilarikan angin. Ribuan lang (revolusi) menyambar umat-umat kita. Kadangkala garuda, iya, kita disambar syaitan – syaitan yang datang bersama angin. Itu kata ibuku mertuaku. Sungguh kupercaya. Bukalah jendela, rasakan angin ganas itu.”

Maisarah membelek gambar persandingan kami. Sebuah rumah putih. Lamannya dipenuhi bunga-bunga piring.

Aku sentuh nako, aku usap. Beberapa titis darah mula merangkak, merayap pelan-pelan. Aku tekan nako biar terbuka.

Iya, ini rumah kami. Bukan lagi imaginasi. Aku melihat Bulatan Referendum yang dibikin tahun 1998 dulu. Beberapa ekor itik jalan bergembo. Ada sungai, teratai, lalang-lalang memanjang.

“Tapi laman itu sial. Dan aku tidak menceraikan kamu.”

Aku tidak pandang Maisarah. Dan langit umpama gua tempat ibu dan ayahku mengungsi. Kelam, berabuk dan sunyi. Hujan merintik.

“Bapamu ditendang dari (kereta)Honda di sini. Badannya berlumuran merah.”

Beberapa titis darah di susuknya mula merangkak. Pelan-pelan ia merayap dan mentertawakan. Kamu di situ, Maisarah, mempertanyakan ibu mertuamu. Tetapi aku di dalam gebar, di bilik hujung. Aku paling jalang. Dan aku jadi tikus. Aku jadi Pokemon.

“Akulah perempuan dengan wajah luar biasa yang ditelanjangkan di laman depan. Dan kamu tidak menceraikan aku. Kamu adalah tikus dan Pokemon,” Maisarah menangis. Aku menangis dan hujan tidak seriat-seriat.

Sekalian kami bersembunyi. Beberapa sempat ditangkap, diperiksa KTP (kad pengenalan) mereka dan dihumban berlapis-lapis dalam mobil merah. Semua mereka dibantai. Puluhan ribu dibantai sejak Hasan Di Tiro mengistiharkan kemerdekaan negeri Pancacita ini, Acheh Darussalam yang berdaulat pada 4 Disember 1976.

Aparat melepaskan isteriku, cuma kerana dia perempuan. Dan dia telah dilangsaikan. Anak GAM yang sial – ‘Gerakan Pengacau Keselamatan Acheh’.

Aku pegang Maisarah, aku usap tubuhnya, aku bawa ia ke bilik air, aku bersihkannya. aku lumuri sabun. Aku dan dia sandar di kolah. Mata sekejap kami buka, dan sekejap kami tututupkan. Dan kami tidak menconteng dinding. Maisarah memanjat ke dinding dan aku hampir-hampir tak ternampak. (Kenapa mak aku cat bilik air ini warna kuning?)

Aku dengar suara emak berleter-leter. Aku dengar ayah batuk-batuk. Bunyi gelas dan air dituangkan juga. Tentunya ayah sedang makan ubat darah tingginya. Aku dengar ada tapak kaki meluru ke bilik air. Kemudian ada bertalu-talu ketukan yang kuat.

“Berangan apa lagi, matahari dah di depan pintu.”

Pintu tidak kubuka. Tak ada bunyi. Tak ada suara.

Ayah datang tanpa bunyi guna kunci kecemasan buka pintu bilik air. Emak pekup tangannya ke mulut. Matanya terbeliak. Ayah tercegat tidak bergerak. Ada seekor tikus putih di lantai, seekor lipas coklat di dinding.

Dinding kami diconteng (lagi).

SASTERA BARU ERA BIG BROTHER

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

(Wasilah baru)

Judul: K-Eight

Penulis : Sinaganaga,OP, Jigo, Vovin, Mat Jan, Tok Rimau, Samurai & Sharpi the Cat

Penerbit: Sindiket Sol-Jah, Kuala Lumpur

Halaman: 92 Halaman

MASALAH dunia kreatif Malaysia adalah kreativiti, persoalan perspektif atau sudut pandang dan keberanian pengarang. Produk sastera dan seni budaya kita dilihat keras, kejang, kering imaginasi, tidak berjejak di dunia nyata, antipasaran, sekali gus terawang-awang dalam dunianya sendiri. Karya-karya seni tidak lagi memberi impak ketara kepada lingkungannya sama ada dalam atmosfera politik, ekonomi, sosial, pendidikan, intelektualiti dan agama.

K-Eight, sebuah novel, cerpen, atau kedua-duanya (genrenya masih kurang jelas) tulisan beberapa penulis blog berbakat besar terkecuali daripada kelompok ini. Dalam dunianya, mereka telah menempa nama dan mendapat pengiktirafan lebih awal. Mereka mengusahakan blog selama bertahun-tahun dan mendapat hits harian yang amat tinggi.

Beberapa pengkitik sastera menamakan genre yang kurang popular ini sebagai nopen, gabungan daripada perkataan "novel" dan "cerpen". Genre ini dikatakan dirintis oleh Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dengan novelnya Noghogo Astana dan penulis terkenal Anwar Ridwan dengan novelnya Naratif Ogonshoto yang membolot Hadiah Sastera Perdana.

Genre seperti ini lazimnya bermula dengan sebuah idea asas yang mendokong sebuah statemen. Kemudian, daripada idea asas itulah watak-watak dicipta dan dikembangkan untuk mendokong idea pengarang. Cerita seperti ini lazimnya sangat idealis dan ideologis. Nopen boleh dilihat sebagai sebuah keseluruhan; dalam masa yang sama berjuzuk-juzuk, boleh berdiri sendiri, tiada fokus cerita dan penuh dengan sub-plot.

Kedua-dua nopen penulis mapan di atas membawa tema satira yang agak juvenalia manakala dalam K-Eight pula dilihat lebih lembut, sesekali humor tetapi tetap pedas. Pendekatan ini dikenali sebagai horotia dan lebih popular di kalangan penulis. Situasi ini biasanya terhasil daripada tekanan kekuasaan dalam pelbagai segi. Penulis sebagai agen perubahan dan golongan yang berani menyatakan sikap terpaksa berevolusi secara sekreatif mungkin dengan ayat dan gaya bahasa yang disifatkan sebagai double meaning atau dengan kata lain "kata lain, maksud lain; tidak lain sebagai perlindungan untuk diri mereka sendiri, selain menggunakan nama samaran.

Contoh yang paling berhasil dirakamkan oleh penulis satira lagendaris dunia George Orwell dalam novel terkenalnya Animal Farm dan 1984. Dalam 1984 misalnya, Orwell memerikan kawalan kerajaan dengan sebaris ayat berikut: Big brother is watching.

K-Eight hadir dengan latar yang hampir sama. Lapan anak muda yang menyumbang dalam buku ini merupakan "produk terlarang" daripada demokrasi digital. Memetik Goenawan Mohamad, "kreativitas (kreativiti) itu dalam sejarahnya menolak belenggu. Dalam keadaan kawalan (termasuk penapisan) pemerintah yang agak ketat terhadap dunia penulisan dan penerbitan, kreativiti tidak pernah mati. Penulis-penulis seperti kita sedia maklum tidak terlepas daripada isu pengharaman buku, risiko disaman, Akta Hasutan, Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan. Tindakan ini tanpa sedar melahirkan kecenderungan melakukan self censorship.

Oleh kerana terlalu banyak dan rencamnya undang-undang di Malaysia, banyak pengkarya memilih internet sebagai medium baru kreativiti. Oleh itu, ratusan blog baru muncul di Malaysia setiap hari. Saya fikir penulis yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Sindiket Sol-Jah ini merupakan salah satu kelompok yang mengambil semangat demokrasi ini.

Dalam sepuluh tulisan-tulisan yang dimuatkan dalam buku kecil ini, dapat memberi jawapan kepada persoalan-persoalan seni budaya yang disebutkan pada awal tadi sebagai: masalah kreativiti, persoalan perspektif atau sudut pandang dan keberanian pengarang. K-Eight menarik dilihat sebagai sebuah ekperimen demokrasi selain siri-siri lain terbitan Sindiket Sol-Jah yang terdahulu seperti Ayah Kita Bos (Tok Rimau dan Sinaganaga), Jongkang Jongket (Mat Jan), Kudeta (para pengarang), Kalashnikov (para pengarang), Sajak Sajak Suci (Abdullah Jones) dan You Want a Gum, Sol-Jah? (Sinaganaga).

Dalam situasi Sastera Islam (dalam konteks dan pemahaman Malaysia sahaja) menjadi hegemoni, menggariskan secara tertutup dan tipikal, K-Eight berani mengambil risiko melawan arus. Melawan bukan dalam erti kata menentang tetapi menguji keanjalan konsep tersebut. Beberapa istilah dan gaya yang bersifat 'erotis' diadun, bukan sebagai fokus cerita tetapi rakaman realiti. K-Eight menilai semula tabu masyarakat sebagai rakaman realiti masyarakat yang sebenar. Istilah-istilah yang kononnya berorientasikan seks dan hedonis seperti jubur, tetek dan punggung, pelacur, jalang, anjing dan babi dikesan dalam buku nipis ini. Terdapat juga gambaran budak kolej menghisap ganja di dalam rumah dan cubaan "beringan-ringan" di rumah kosong.

Empat tahun lalu ketika Rahmat Harun menerbitkan Bogela Testikal dan penulis bersama Anjan Ahzana dan Lutfi Ishak menulis Mitos Sperma Amerika dengan pengucapan yang hampir sama, malah barangkali lebih jelas, ternyata mengundang kontroversi. Mohamad Saleh Rahamad misalnya menyifatkan karya-karya protes dan vokal golongan yang beliau gelar the anggry young man ini biasanya tidak akan kekal lama. Kali ini Sol-Jah mengulangi lagi. Namun, cuma masa yang mampu memberikan jawapanya sama ada karya ini akan kekal dalam ingatan atau sekadar menjadi "karya pakai-buang".

K-Eight, judul yang diambil sempena nama sebuah blok flat yang mengandungi 20 rumah yang dihuni pelbagai jenis manusia dan 'bukan manusia'. K-Eight bukan sekadar kisah tentang manusia, tetapi juga kemanusiaan. Dua puluh unit rumah dalam sebuah blok sudah cukup menggambarkan betapa rencam dan pluralnya manusia. Inilah mesej utama yang boleh kita pelajari daripada sepuluh bahagian dalam buku ini.

Idea utama K-Eight adalah tentang keterikatan manusia dan ruang. Tentang hubungan manusia dengan lingkungan sama ada secara langsung atau pun tidak. Dalam prolog tulisan Sharpie the Cat, "...mereka (penghuni blok K-8) tidak memberi impak kepada sejarah tamadun dunia. Sebab mereka hanyalah titik kecil. Tetapi titik-titik kecil itu berkaitan bila ada penyambung yang akhirnya memberi impak kepada setiap kehidupan yang berada di situ."

Watak yang menjadi pokok sandaran cerita adalah berdasarkan kematian seorang perempuan simpanan (tidak dinyatakan dengan jelas) Kate yang terjatuh daripada tingkat lima di bangunan K-8. Cerita ini bergerak mencapah tetapi akhirnya menyatu dan memusat kembali kepada asalnya. Tentang kematian perempuan muda.

Mengikut Sharpi the Cat lagi, "Wanita yang mati terjun daripada tingkat lima itu (Kate) tidak ada kaitan dengan mereka. Wanita yang mati terjun daripada tingkat lima itu ada kaitan dengan mereka. Berulang-ulang. Hidup juga satu pengulangan."

Semua cerita berkisar seketika sebelum dan seketika selepas kejadian itu melibatkan pelbagai watak dan perwatakan. Pujian harus diberikan terhadap usaha penyelarasan watak-watak itu. Lazimnya, sebuah karya yang ditukang lebih daripada seorang penulis akan mengalami sindrom pertentangan dan tidak konsisten dalam perwatakannya. Tetapi ini tidak berlaku dalam K-Eight. Semuanya bergerak lancar, bermula dan berakhir kepada pokok cerita.

Terdapat pelbagai watak yang mencipta sub-plot dan menghidupkan cerita seperti Usman, budak yang mengidamkan Play Station; ibu bapanya yang sering bergaduh, Uncle Nyamuk yang nyanyuk dan anjingnya Bobby yang hidungnya tidak berfungsi; James yang suka minum Livita dan kucing kesayangannya Olmet; budak kolej Budin, Kana, Sham dan Nahar yang nakal mengusik Romlah; Utnah, seekor hantu yang kehilangan tempat berteduh akibat penebangan hutan untuk pembangunan dan pelbagai lagi watak-watak yang dibina dengan teliti dan hidup.

Banyak perkara boleh diperkatakan tentang nopen ini (kalau boleh dipanggul begitu) daripada aspek gaya, bahasa, trend, kreativiti, sudut pandang dan aliran. Tetapi membaca 92 halaman daripada buku harus menginsafkan kita bahawa apa pun yang terjadi, sebagai individu, manusia dan rakyat, itu berkaitan dengan kita. Dan kewujudan kita sebagai individu, manusida dan rakyat turut mempengaruhi lingkungan dan persekitaran kita.

Mengikut Sharpi the Cat lagi, "Wanita yang mati terjun daripada tingkat lima itu (Kate) tidak ada kaitan dengan mereka. Wanita yang mati terjun daripada tingkat lima itu ada kaitan dengan mereka. Berulang-ulang. Hidup juga satu pengulangan."

Buku ini boleh dipesan melalui blog penerbit di http://sol-jah.blogspot.com. Selamat membaca. Empat bintang.


Maaf atas kesilapan ejaan. Akan dikemaskini bila ada kelapangan.