Sunday, February 24, 2008

BELUM ADA JUDUL

OLEH JIMADIE SHAH OTHMAN

(Wasilah)

AKU selalu bayangkan aku ini Spiderman dengan jaring labah-labah menyembur dari tangan. Aku selalu bayangkan itu. Dan rumah nombor 29 ini medan laga maha dahsyat. Iya, aku bayangkan kawan-kawan tempiar bagai tikus dikejar anjing-anjing Jawa. Segala rusuh mengelembung. Seorang perempuan muda dengan wajah luar biasa ditelanjangkan depan rumah. Sekalian saudara tidak mampu berkata apa. Mereka menangis. Tetapi aku tidak. Aku bergayut-gayut antara pohon kelapa, melompat-lompat dan menyemburkan jaring labah-labahku berkali-kali kepada penakluk baru dari Jakarta.

Aku selalu bayangkan semua itu sejak Oktober lalu. Imaginasiku jadi serigala. Aku ke bilik air tetapi dinding tidak kucontengkan. Aku kencing. Seekor lipas coklat di penjuru bilik itu hampir-hampir tidak ternampak. (Kenapa mak aku cat bilik air ini warna kuning?)

Lipas itu diam. Aku celup tangan dalam gayung dan cuba langsaikan apa yang tertangguh. Lipas itu juga diam. Tak ada bunyi. Tak ada suara. Ayah kerja. Ibu, iya, ibu, barangkali sedang menonton. Aku lepas gayung dalam kolah, kuak pintu dan keluar. Mak kata, tinggikan suara macam cengkerik, "lepas kencing, curah air. Aku baru saja basuh pagi tadi."

Aku tidak menghiraukan semua itu. Aku kata, "sudah."

Aku masuk dalam bilik, kunci pintu dan layan orang Hollywood menjerit dalam (radio) Red . Aku mabuk-mabukan dan tidur hinggalah aku terjaga hampir jam dua. Segalanya hening sekali. Tak ada bunyi. Tak ada suara. Dalam separa sureal itu, sekali lagi, asyik-asyik imaginasiku meliar. Aku bayangkan rumah aku di tengah-tengah Banda Acheh. Awal pagi kami menonton bola Liga Inggeris ramai-ramai dan awal pagi kami tidak ke sawah. Kami tidur kerana keletihan. Aku bayangkankan isteriku Maisarah datang merenggek di kaki katil dan kami berselingkuh menyelesaikan hutang yang tertangguh semalam. Kerana semalam kupilih bola, bukan cinta. Hari ini dia menuntut cinta, bukan bola.

Dia perempuan Syi’e lepasan Universitas Syiah Kuala, bandar kecil ini. Saya Sunni. Justeru, perkahwinan kami jarang sukses. Kami selalu bertengkar. Dan bapa nyaris-nyaris hambat kami dari rumah nombor 29 ini.

Tiba-tiba emak ketuk bilik aku kuat-kuat, macam nak relai papan pintu dan dinding. "Bangunlah, dah dua lebih. Jangan buat hukum sendiri, kita ada tamu."

"Tamu? Ha?"

Aku bangun, genyeh mata dua, tiga kali, jalan mabuk-mabukan lagi. Tuala kugalas di bahu.

Dalam bilik air, sambil duduk aku sandar di kolah. Mata sekejap kubuka, sekejap kututupkan. "Astaga, ini apa?"

Hei Asep, makan tu nenek-nenek

Hudep sare mate beu sajan sikrak gafan saboh kerenda

Aku bangun dan tatap dan gosok dan raba dinding bilik air. Basah, melekit, sejuk dan menjijikan. Aku cebuk air dan jiruskan. Mujur ia melarut. Aku mandi tetapi lipas tadi tidak lagi kelihatan.

Mak kata, "cepatlah, semua dah siap terhidang."

Waktu keluar dari bilik air, aku jadi hairan. "Siapa?" kataku. Dan, "apa semua ini?"

Mak buat macam biasa. Dia senyum. Ada seorang perempuan di sisinya, sedang picit cabai dalam piring. Dia juga tersenyum.

Dalam bilik, saya seboleh mungkin menyakinkan diri sendiri, saya matang, sudah habis sekolah, tamat universiti, ada kerja tetap, ada perniagaan sendiri, ada pengikut (walaupun tidaklah begitu banyak), boleh main muzik dan saya romantik. Tapi ibu, saya cuma anak usia 24.

Ibu tidak mahu dengar semua itu. Selepas daripada itu, saya bersikap dingin, pada keluarga, pada perempuan Acheh sial itu. Persepsi saya tentang masa berupah.

Tapi, "saya faham," kata perempuan Acheh itu. Maisarah namanya. "Kami mengalaminya juga. Bahkan ratusan tahun. Sebelum imperialisasi Belanda, satu hari dirasakan begitu cepat, tapi selepas itu segala-galanya berjalan perlahan sekali. Selepas revolusi 45 juga. Tapi zaman DOM (Daerah Operasi Militer), satu hari lamanya umpama seratus tahun."

"Tapi kamu cuma sial, persepsi masa tidak penting. Kamu cuma jelmaan si lipas dalam tandasku."

"Masa memang sudah tidak penting. Yang pentingnya cinta. Dan kamu memang harus mati bersamaku. Aku ini pejuang GAM (Gerakan Acheh Merdeka), mulai minggu depan, aparat akan memenuhi kampung ini. Dan kamu memang harus mati."

Malam itu aku benar-benar berperang. Berperang dengan diriku sendiri. Pintu biliknya di tingkat atas kukuak perlahan-lahan. Aku pegang, genggam gebar nipisnya, tanganku menggeletar. Aku rentap tiba-tiba. Tetapi dia menjelma lipas. Menjelma dari ketakutannya.

* * *

Berhari-hari, imaginasiku makin meliar. Imaginasiku jadi angin, kubayangkan udara kita dipenuhi peluru dan ibuku dan ayahku sebenarnya tidak pernah wujud. Mereka sudah meninggal 20 tahun lamanya. (Rata-rata taraf hidup bangsa kami cuma 37 tahun.)

Aku di dalam gebar nipis Maisarah. Di sebelahku seekor lipas dari tandas. Dan aku sebenarnya Pokemon.

“Kamu bangsa mabukan,” kata Maisarah.

“Tidak, ini yang benarnya. Kamulah yang mabukan. Kamu tidak real. Kebohongan,” kataku.

“Orang tuamu dilarikan angin. Ribuan lang (revolusi) menyambar umat-umat kita. Kadangkala garuda, iya, kita disambar syaitan – syaitan yang datang bersama angin. Itu kata ibuku mertuaku. Sungguh kupercaya. Bukalah jendela, rasakan angin ganas itu.”

Maisarah membelek gambar persandingan kami. Sebuah rumah putih. Lamannya dipenuhi bunga-bunga piring.

Aku sentuh nako, aku usap. Beberapa titis darah mula merangkak, merayap pelan-pelan. Aku tekan nako biar terbuka.

Iya, ini rumah kami. Bukan lagi imaginasi. Aku melihat Bulatan Referendum yang dibikin tahun 1998 dulu. Beberapa ekor itik jalan bergembo. Ada sungai, teratai, lalang-lalang memanjang.

“Tapi laman itu sial. Dan aku tidak menceraikan kamu.”

Aku tidak pandang Maisarah. Dan langit umpama gua tempat ibu dan ayahku mengungsi. Kelam, berabuk dan sunyi. Hujan merintik.

“Bapamu ditendang dari (kereta)Honda di sini. Badannya berlumuran merah.”

Beberapa titis darah di susuknya mula merangkak. Pelan-pelan ia merayap dan mentertawakan. Kamu di situ, Maisarah, mempertanyakan ibu mertuamu. Tetapi aku di dalam gebar, di bilik hujung. Aku paling jalang. Dan aku jadi tikus. Aku jadi Pokemon.

“Akulah perempuan dengan wajah luar biasa yang ditelanjangkan di laman depan. Dan kamu tidak menceraikan aku. Kamu adalah tikus dan Pokemon,” Maisarah menangis. Aku menangis dan hujan tidak seriat-seriat.

Sekalian kami bersembunyi. Beberapa sempat ditangkap, diperiksa KTP (kad pengenalan) mereka dan dihumban berlapis-lapis dalam mobil merah. Semua mereka dibantai. Puluhan ribu dibantai sejak Hasan Di Tiro mengistiharkan kemerdekaan negeri Pancacita ini, Acheh Darussalam yang berdaulat pada 4 Disember 1976.

Aparat melepaskan isteriku, cuma kerana dia perempuan. Dan dia telah dilangsaikan. Anak GAM yang sial – ‘Gerakan Pengacau Keselamatan Acheh’.

Aku pegang Maisarah, aku usap tubuhnya, aku bawa ia ke bilik air, aku bersihkannya. aku lumuri sabun. Aku dan dia sandar di kolah. Mata sekejap kami buka, dan sekejap kami tututupkan. Dan kami tidak menconteng dinding. Maisarah memanjat ke dinding dan aku hampir-hampir tak ternampak. (Kenapa mak aku cat bilik air ini warna kuning?)

Aku dengar suara emak berleter-leter. Aku dengar ayah batuk-batuk. Bunyi gelas dan air dituangkan juga. Tentunya ayah sedang makan ubat darah tingginya. Aku dengar ada tapak kaki meluru ke bilik air. Kemudian ada bertalu-talu ketukan yang kuat.

“Berangan apa lagi, matahari dah di depan pintu.”

Pintu tidak kubuka. Tak ada bunyi. Tak ada suara.

Ayah datang tanpa bunyi guna kunci kecemasan buka pintu bilik air. Emak pekup tangannya ke mulut. Matanya terbeliak. Ayah tercegat tidak bergerak. Ada seekor tikus putih di lantai, seekor lipas coklat di dinding.

Dinding kami diconteng (lagi).

No comments: