Tuesday, December 29, 2009

Kisah nabi Yusuf dan saudaranya

[Cerita nabi, untuk bacaan kanak-kanak]

Umat Islam mempunyai 25 orang nabi. Antara semua nabi itu, nabi Yusuf merupakan nabi yang paling cantik dan kacak sekali. Walaupun menjadi manusia yang paling cantik di dunia, nabi Yusuf tidak pernah merasa sombong.

Nabi Yusuf lahir di Mesir dan mempunyai 12 adik beradik. Nabi Yusuf merupakan anak bongsu kepada ayahnya nabi Yaakub.

Kecantikan nabi Yusuf membuatkan abang-abangnya merasa cemburu. Mereka merasakan ayahnya tidak sayangkan mereka kerana tidak cantik seperti adik mereka Yusuf. Oleh itu, mereka merancang hendak menghalau adik mereka itu daripada rumah.

Pada suatu hati, abang-abangnya memberitahu ayah mereka nabi Yaakub hendak bermain-main di padang. Ayahnya berasa risau kerana di padang ada banyak serigala. Tetapi abang-abangnya berjanji akan menjaganya bersungguh-sungguh, ayahnya membenarkan.

Nabi Yusuf sangat gembira. Dia tidak tahu abangnya hendak membuat perkara jahat kepadanya. Sampai di padang, mereka bermain-main sehingga nabi Yusuf letih, abang-abangnya pun menangkap nabi Yusuf dan mengikatnya.

Nabi Yusuf berasa sungguh takut. Dia menjerit sekuat hati tetapi tidak ada siapa yang mendengarnya. Kemudian abangnya mencampaknya ke dalam sebuah perigi buruk. Kasihan nabi Yusuf. Tempat itu sungguh gelap, kotor dan busuk. Nabi Yusuf pun terus menangis dan meminta tolong.

Abang-abangnya berasa sangat gembira. Mereka berharap ayah mereka akan sayangkan mereka walaupun tidak cantik seperti nabi Yusuf. Mereka menganiaya nabi Yusuf kerana merasa cemburu sahaja.

Membunuh kambing

Sebelum pulang ke rumah, mereka telah berpakat. Mereka membunuh seekor kambing dan memercikkan darahnya ke baju nabi Yusuf. Mereka akan katakan kepada ayahnya nabi Yusuf dimakan serigala. Mereka pun pulang sambil buat-buat sedih. 

Sampai di rumah mereka memberi salam dan menangis. Ayahnya berasa hairan dan mengagak sesuatu yang buruk telah berlaku.

"Apakah yang telah berlaku," tanya nabi Yaakub.

"Maafkan kami ayah.Yusuf telah dimakan oleh serigala," kata mereka. Mereka memberikan baju nabi Yusuf yang dibubuh darah kambing itu.

Ayahnya sungguh sedih dan menangis setiap hari. Pada satu hari, matanya pun jadi buta.

Sementara itu, nabi Yusuf terus bersabar dan berdoa kepada Allah. 

Pada satu hari, satu rombongan saudagar lalu di kawasan itu dengan menaiki unta. 

Hidup aman dan bahagia

Mereka terdengar suara budak menangis dan meminta tolong. Mereka pun mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Mereka sungguh terkejut apabila ada seorang  budak yang comel di dalam perigi itu. Mereka pun mengeluarkannya. 

"Budak ini sungguh cantik, tentu orang akan membelinya dengan harga yang mahal," fikir mereka.

Nabi Yusuf pun dibawa bersama mereka. Di bandar, kasihan nabi Yusuf. Banyak orang ingin membelinya kerana dia sangat cantik. Tiba-tiba, isteri seorang  pemimpin negara Mesir melihatkan nabi Yusuf dijual. Namanya Zulaikha. Dia ingin membelinya untuk dijadikan anak angkat.

Zulaikha berasa sangat gembira kerana mempunyai anak angkat yang paling cantik dan kacak walaupun terpaksa membelinya dengan harga yang mahal.Nabi Yusuf pun dibawa ke istana negeri Mesir dan hidup dengan aman bahagia.

Kalau kita sentiasa bersabar dan berdoa. Allah akan memberikan kita pahala dan menyelamatkan kita daripada bahaya.

Kita juga hendaklah sayang kepada adik beradik kita. Kita tidak boleh cemburu kepada mereka kerana ibu bapa kita sayangkan kita semua. Kisah nabi Yusuf ini hendaklah kita jadikan pengajaran.

Tentang mamak "liberal"

Sejarah Melayu mempunyai beberapa versi. Jika berpandukan versi paling terkenal dalam Sulalatus Salatin, tulisan Tun Sri Lanang, seorang mamak, di pentas Faisal Tehrani, babak-babak pergolakan politik dalaman istana Melaka mungkin tidak akan menjadi seperti ini.

Faisal Tehrani, seorang sasterawan terkenal – kadang-kadang kontroversi -- yang menulis dan melibatkan diri hampir dalam sebuah genre seni cuba menyalurkan intrpetasi baru terhadap pergolakan itu, yang menurutnya merupakan pertembungan antara kelompok Islamis dan liberal-pragmatik.

Penulis kelahiran Peringgit, Melaka yang terkenal dengan tulisan-tulisan bernada politik dan agama yang kuat, kali ini muncul dengan persembahan pentas terbarunya, Dua jam sebelum Sultan Alauddin syahid diracun -- sebuah kolaborasi 'aneh' melibatkan atlit lompat pagar, pelakon filem dan ahli akademik.

Persembahan ini diarahkan oleh penyarah kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, dibintangi bintang Jonny Bikin Filem, Zack Idris dan atlit kebangsaan Robani Hassan.

Naskhah Faisal Tehrani ini mengadunkan latar purbawara dan moden. Menontonnya membawa kita mengembara ke dalam dua dimensi masa yang berbeza. Pertama, zaman politik silam, di zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka yang diperintah raja yang adil – Sultan Alauddin Riayat Syah, tetapi penuh dengan pergolakan dalaman istana Melaya. Kedua, iklim politik semasa dengan peristiwa yang hampir sama.

Teknik ini pernah digunakan pengarang dalam karyanya terdahulu dalam 1511, novel intrepetasi sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis. Versi Faisal ini tulis berdasarkan kajian Muhammad Yusoff Hashim dalam buku Kesultanan Melayu Melaka, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam teater ini, seperti dianggkat menjadi judul, dua jam sebelum kematian Sultan Alaudin diracun isteri keempatnya Tun Senaja, bukan semata-mata menghidangkan penonton dengan plot politik dan konspirasi kelompok pragmatik-liberal yang dipimpin dinasti mamak dalam politikpada  masa itu termasuk  isteri sultan, Temenggung dan saudagar kaya tetapi turut menyentuh iklim semasa politik Malaysia.

Faisal, walaupun tidak menyasarkan penontonnya daripada kalangan ahli politik, tetapi bada politknya begitu jelas dan mampu menggoda penggiat dan ahli politik masuk ke panggung.

Theatre of the opressed

Seperti juga latar masa yang kontra, teknik yang digunakan juga bercampur antara sandiwara purbawara dan teknik moden yang penuh dengan simbol, agitasi, alianasi, sindiran dan nada protesnya.

Produksi Akademi Senima Amatur Malaysia ini disampaikan menggunakan teknik theatre of the opressed yang diperkenalkan dramatis ulung Brazil, Augusto Boal.

Konsep teater jenis ini yang bermula pada tahun 60-an menjadi sebuah gerakan seni yang memandang sisi pendidikan daripada pembacaan terhadap kezaliman dan kerosakan dalam pengurusan kehidupan di pelbagai peringkat.

Teater yang digunakan sebagai alat organisasi dan mobilasi bagi mencerahkan jutaan rakyat miskin di Brazil menakutkan penguasa pada masa itu menyebabkan junta menggerakkan tentera membunuh dan memenjarakan aktivisnya.

Dua jam sebelum Sultan Alauddin syahid diracun mengisahkan persediaan sebuah produksi yang ingin mementaskan sebuah purbawara. Menjelang pementasan itu, berlaku pelbagai konflik berlaku merangkumi karenah dalaman kumpulan produksi dan intrepetasi pelakon terhadap teks.

Harus diakui, kekuatan utama persembahan ini bermula daripada teks yang padat dan vokal. Sindiran-sindiran politik yang keras dan vokal.

Perkataan-perkataan yang terbit daripada mulut pelakon dan gambaran visual seperti "liwat", "correct, correct, correct", "anak ikan 23 tahun", "konspirasi", "pengaruh mamak" dalam istana, "mubahalah", "model" dan "Monggolia" membuatkan penonton secara mudah dapat mengagak subteks yang tidak diucap dan divisualkan dalam persembahan lebih kurang 1 jam 30 minit itu.

Tidak hairanlah, ketika penulis mulai menekuni naskhah ni bermula pernghujung Jun lalu dan pra-produksi sebelum setengah selepas itu, politik Malaysia bergolak dengan peristiwa menarik daripada perbicaraan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribuu sehinggaah sumpah mubahalah bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 Rosmah Mansur

Pelbagai nama diseret ke dalam kes ini termasuklah timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansur oleh pelbagai pihak yang mendakwa.

Dalam teater itu, tambahan pula, pelakon dibenarkan membuat ad lib dan tidak terlalu terikat dengan teks semasa drama semasa pementasan. 

Perkataan-perkataan ini walaupun tidak terlalu mendukung cerita asal – kisah pembelotan terhadap Sultan Alauddin – sebenarnya cuba mengungkap konflik yang sama bahawa situasi politik sentiasa berulang.

Bagaimanapun, perkataan-perkataan itu menjadi sekadar tempelan umpama puzzle yang berselarakan untuk dicantumkan sendiri oleh penontan. Tanpa mengikuti perkembangan politik semasa, gambaran visual, lakon dan dialog di pentas mencadi sekadar kolaj yang berselerakan tanpa makna.

Namun, di lapisan atasnya, teater ini menyaksikan bagaimana terjadinya konspirasi membunuh Sultan oleh dinasti mamak ketika itu.

Permaisuri Melaka, Tun Senaja membunuh suaminya Sultan Alauddin kerana melihat suaminya itu sebagai musuh politik yang mengekang penguasaan pengaruh mamak dalam istana ketika itu. Golongan itu ketika itu didukung oleh  ayahandanya Seri Nara Diraja Tun Ali, anakanda mereka Raja Mahmud,Hang Isap, Hang Siak, Tun kerutup  Seri Bija Diraja Tun Hamzah, Datuk Bongkok Tun Perak.

Dialog-dialog di saat nazak diracun menggambarkan diolog itu:

"Yang paling utama, titah tuanku mahu melaksanakan undang-undang Islam yang benar setelah pulang dari haji menakutkan kita semua. Sangat-sangat menakutkan kita. Kerana Islam lebih menakutkan dari Melayu. 

"Kalau tuanku melaksanakan Melayu dalam istana kita semua masih dapat berbahagia, tetapi kalau melaksanakan Islam tiada ruang semua bernafas. Kalau syahid kalimatnya, maka syahidlah baginda sultan."

Tetapi Dua jam sebelum Sultan Alauddin Riayat Syah diracun mempunyai terlalu banyak subteks yang akan menggelisahkan aktor politik semasa tanah air.



Segumpal Api

Violin. Kuda-kuda yang terpedaya. Pecah. Maka pecahlah. Sebiji epal ditukik sekerat-sekerat. Oh, Susan, tertelankan olehmu buah larangan Adam dan Hawa. Aku melihat ular yang tertawa. Dan, kita juga dilempar bersama ular. Tuhan memenggal kakinya dan terciptalah antara kami, cinta, dendam, kutukan. Nyanyian sang violin menjadi salakan yang tak berdaya memadamkan neraka. Oh, Susan, epal-epal berdiri mengangkang di pelupuk mata, di kupingmu. Aku Adam. Alismu bagai sungai susu. Kelak kami melahirkan syaitan. Adam, aku melahirkan tanduk-tanduk. Tanduk-tanduk melahirkan nama-nama. Nama-nama melahirkan kutukan-kutukan. Kutukan-kutukan melahirkan segumpal api. Aku menggigitnya di geraham hingga gigiku jadi hijau. Dan Adam, kulit-kulit epal, aku dapati tubuhku terkongkong.

Aku Adam. Telah kupatungkan seorang Maria. Aku mencintaimu sebagai perempuan, sebagai manusia.


Sumber: SM Zakir, Ahmadun Yossi Herfanda 2009. Antologi Pennyair Muda Malaysia-Indonesia 2009. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

Sarah, jangan kautikam aku

Ketika kupulang dengan sebilah belati
dari kerongkong Ismail
(kini Hajar mabuk dengan tari tawakal
di Safa dan Marwah)
nur Tuhan lebih menikam sukma tajam
lebih runcing dari segala
mata cemburu sang Sarah
kubenamkan kisaran prajuritku
ke dada kiri sendiri
akhirlah ketuanan di tubuh hamba
tiada yang lebih berdarah, Sarah
dari bilah-bilah suhuf Ibrahim yang merah.


Sumber: SM Zakir, Ahmadun Yossi Herfanda 2009. Antologi Pennyair Muda Malaysia-Indonesia 2009. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)