Tuesday, December 29, 2009

Kisah nabi Yusuf dan saudaranya

[Cerita nabi, untuk bacaan kanak-kanak]

Umat Islam mempunyai 25 orang nabi. Antara semua nabi itu, nabi Yusuf merupakan nabi yang paling cantik dan kacak sekali. Walaupun menjadi manusia yang paling cantik di dunia, nabi Yusuf tidak pernah merasa sombong.

Nabi Yusuf lahir di Mesir dan mempunyai 12 adik beradik. Nabi Yusuf merupakan anak bongsu kepada ayahnya nabi Yaakub.

Kecantikan nabi Yusuf membuatkan abang-abangnya merasa cemburu. Mereka merasakan ayahnya tidak sayangkan mereka kerana tidak cantik seperti adik mereka Yusuf. Oleh itu, mereka merancang hendak menghalau adik mereka itu daripada rumah.

Pada suatu hati, abang-abangnya memberitahu ayah mereka nabi Yaakub hendak bermain-main di padang. Ayahnya berasa risau kerana di padang ada banyak serigala. Tetapi abang-abangnya berjanji akan menjaganya bersungguh-sungguh, ayahnya membenarkan.

Nabi Yusuf sangat gembira. Dia tidak tahu abangnya hendak membuat perkara jahat kepadanya. Sampai di padang, mereka bermain-main sehingga nabi Yusuf letih, abang-abangnya pun menangkap nabi Yusuf dan mengikatnya.

Nabi Yusuf berasa sungguh takut. Dia menjerit sekuat hati tetapi tidak ada siapa yang mendengarnya. Kemudian abangnya mencampaknya ke dalam sebuah perigi buruk. Kasihan nabi Yusuf. Tempat itu sungguh gelap, kotor dan busuk. Nabi Yusuf pun terus menangis dan meminta tolong.

Abang-abangnya berasa sangat gembira. Mereka berharap ayah mereka akan sayangkan mereka walaupun tidak cantik seperti nabi Yusuf. Mereka menganiaya nabi Yusuf kerana merasa cemburu sahaja.

Membunuh kambing

Sebelum pulang ke rumah, mereka telah berpakat. Mereka membunuh seekor kambing dan memercikkan darahnya ke baju nabi Yusuf. Mereka akan katakan kepada ayahnya nabi Yusuf dimakan serigala. Mereka pun pulang sambil buat-buat sedih. 

Sampai di rumah mereka memberi salam dan menangis. Ayahnya berasa hairan dan mengagak sesuatu yang buruk telah berlaku.

"Apakah yang telah berlaku," tanya nabi Yaakub.

"Maafkan kami ayah.Yusuf telah dimakan oleh serigala," kata mereka. Mereka memberikan baju nabi Yusuf yang dibubuh darah kambing itu.

Ayahnya sungguh sedih dan menangis setiap hari. Pada satu hari, matanya pun jadi buta.

Sementara itu, nabi Yusuf terus bersabar dan berdoa kepada Allah. 

Pada satu hari, satu rombongan saudagar lalu di kawasan itu dengan menaiki unta. 

Hidup aman dan bahagia

Mereka terdengar suara budak menangis dan meminta tolong. Mereka pun mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Mereka sungguh terkejut apabila ada seorang  budak yang comel di dalam perigi itu. Mereka pun mengeluarkannya. 

"Budak ini sungguh cantik, tentu orang akan membelinya dengan harga yang mahal," fikir mereka.

Nabi Yusuf pun dibawa bersama mereka. Di bandar, kasihan nabi Yusuf. Banyak orang ingin membelinya kerana dia sangat cantik. Tiba-tiba, isteri seorang  pemimpin negara Mesir melihatkan nabi Yusuf dijual. Namanya Zulaikha. Dia ingin membelinya untuk dijadikan anak angkat.

Zulaikha berasa sangat gembira kerana mempunyai anak angkat yang paling cantik dan kacak walaupun terpaksa membelinya dengan harga yang mahal.Nabi Yusuf pun dibawa ke istana negeri Mesir dan hidup dengan aman bahagia.

Kalau kita sentiasa bersabar dan berdoa. Allah akan memberikan kita pahala dan menyelamatkan kita daripada bahaya.

Kita juga hendaklah sayang kepada adik beradik kita. Kita tidak boleh cemburu kepada mereka kerana ibu bapa kita sayangkan kita semua. Kisah nabi Yusuf ini hendaklah kita jadikan pengajaran.

No comments: