Showing posts with label Siasah. Show all posts
Showing posts with label Siasah. Show all posts

Monday, April 7, 2008

Raja Catur

Oleh Mohd Jimadie Shah Othman


(Siasah 2-15 Disember 2005, Kuala Lumpur: Tinta Merah.)


IA tak sebut check-mate dengan kuat. Dan ia dari awal memang tak ingin main. Namanya saya tahu. Abangnya Adam, juga kawan saya, pernah tergoda ‘buah larangan’, bersama Hawanya di syurga yang sengaja mereka cipta suka-suka. Akhirnya jauh dilempar ke bumi, dipisahkan tujuh lautan, tidakkan sama setitis kesedihan dari kesunyian.

Nama saya, saya tidak tahu. Saya selalu makan buah (catur) yang ia lagakan.

Papan catur itu asalnya perhiasan, dari kaca lut cahaya. Ia set yang cacat. Buah catur haram ditembus pandang. Apa yang di dalam dada adalah rahsia.

“Ia intrepetasi (politik) feudal.” Saya mengujar rakan tanding.

Ia tadi tak ingin main kerana tak sanggup mengingat bapanya. Ia anak yang dibuang keluarga. Ia selalu kesedihan. Esok bapanya datang dari Pendang, tempeleng dia dua tiga kali, samakan dia dengan abangnya yang pernah lari menikah di Golok, hinakan dia, justeru meludah terus ke ulu jidat.

Dia dihambat seperti anjing dan lari seperti tikus; masa depannya, matahari tertelan. Saya izinkan ia menangis seperti perempuan menangis. Asal saja tidak tewas kepada keputusasaan.

Nama saya, saya tidak tahu. Dan catur adalah permainan yang kejam.

Seorang raja, demi survivalisme, sentiasa memilih korban. Semua watak adalah watak sampingan.

Saya tinggal satu bishop di petak putih. Dia di laluan hitam. Selainnya, masing-masing dengan lima dan empat askar.

Ia diam dan menunjuk-nunjuk ke papan.

“Aku punya adik beradik. Aku punya empat,” kata budak yang berat mulut itu.

Tepat 2:34 pagi, saya menyerah. Saya pusing-pusing kepala raja dan saya terbalikkan ke papan.

Kerana itu ia gembira. Ia masuk ke bilik dan sejam selepas itu ia terjaga dengan sebuah panggilan telefon dari Alor Star. Seorang perempuan.

“Orang dah sampai. Abang chik sila datang.”

Ia bangun dan tertawa.

* * *



Umurnya 25. Malam ini ia tidur di katil orang lain, teman kami yang pandai kayu (dan elektrik-elektronik). Ia menghisap rokok dan fikirannya melayang-layang. Jika bapanya ambil balik ‘harta karun’ keluarga, halau lagi, dia ikut pergi, seperti Adam.

Di langit, bulan separuh masak. Apakah harapan memikul manusia sejauh itu? Budak itu, saya tahu namanya. Dan ia suka merenung.

Kami berkenalan beberapa bulan lalu di YMCA (Hostel) ketika sama-sama ikut berkursus kesetiausahaan. Saya seorang calon dan dia seorang ‘SB’ (pengurusan). Misinya satu, melaporkan pertelingkahan dan kejelekan kerjasama berkumpulan, dalam modul attitute sahaja.

Ia lama tinggal di Klang dan ia mandiri. Ketika kecil ia malas bersekolah dan tidak pandai bercakap Arab. Ia tidak diberi (apa-apa) ia tidak kisah, melainkan satu, yang bapanya tidak faham: Harapan! Nombor duanya, cinta.

Kemudian Adam pergi. Benar, mereka menerima kutukan di Langit dan di bumi.

Kami main dam setelah dua pusingan catur. Berfikir meletihkan kami. Bos saya tidur meniarap depan komputer lepas main daun pakau elektronik nama Solitaire. Ia tidak pernah menyentuh set permainan yang ia beli di Jalan Telawi, Bangsar Baharu ini. Ia kerja kuat dan ia keletihan.

Esok dia minta saya ke Bukit Damansara. Bila jam berusia, saya ragu tidur lagi. Esok saya kena berpagi-pagi. Juga lawan main saya. Ia asyik mengelamun. Ia bayangkan bapa dan rakan kongsi syarikat mereka di lebuh raya Utara-Selatan. Kereta mereka rosak dan lambat tiba. Ia susah hati. Ia kemudian membaca novel cinta dengan kedudukan terbalik di katil.

Dalam biliknya ada empat lagi. Ia nyata suka imaginasi. “Itu eskapisme,” kata saya. “Hasil kerancauaan peribadi.”

Sukma kecilnya berantakan, yang seperti tanah sesudah dibantai perang.

Ia diam, tidak mahu berkaca. (Saya rindu pembantu rumah kami dua tahun lalu. Elly namanya. Orang Pekan Baru, Medan–menantu keluarga Jambi-Minang. Sekarang bekerja angkat pinggan, lap meja makan di Putrajaya. Dua anaknya Benny dan Syerly cantik dan bijak sekali.)

Malam ini saya tidak tidur kerana ingin menulis. Imaginasi saya sering terganggu dengan lagu Inggeris dengan pelat yang sukar difahami dari corong radio. Kepala saya berpintal-pintal, culang-caling tak tahu mana realiti, mana yang fiksi-imaji.

Saya bayangkan masa kecilnya sekejam ‘harimau Kung Fu Tze’ (kata orang tua bijak itu, “kerajaan yang zalim lebih bahaya daripada harimau buas.”), seperti yang pernah saya lalui. Puluhan tahun saya juga tidak pernah bahagia.

Ia pernah tewas dan mendesup bersama orang gelendangan, tetapi tidak saya. Jadi celaka bukanlah pilihan.

* * *



Bapanya tiba, bercakap kuat-kuat pelat Alor Star.

“Ini permainan orang kafir,” suaranya tersulam oleh bunyi bang dari Masjid. “Kalau kau nak main juga, kepak (patahkan) kepala dia,” kata sang bapanya.

“Kalau kau tak kepak, kau simpan juga kayu palang dalam rumah aku, aku kepak kepala kau.”

Teman saya takut membuka pintu. Selepas solat Subuh yang tertunda 32 minit, ia duduk membelek-belek biji catur. Ia pegang kepala raja, ia usap pelan-pelan. Ada bonjolan seperti balung ayam sabung. Ia sungguh dalam dilema: Kepak atau tidak kepak?

Kepak atau tidak kepak atau kepak atau tidak kepak?

“Pertanyaan-pertanyaan tentang cinta adalah pertanyaan-pertanyaan yang tak terjawabkan.”

Ia seperti mendengar suatu suara dari dinding atau dari papan (catur).

“Kenapa saya berdosa?” Pertanyaan itu melegakan perasaannya, walau barangkali tak ada jawapan.

“Kerana engkau anak bapamu dan ibumu dan adik kepada abangmu yang memilih (membuat) pilihan.”

Ia fikir ia celaka, terpasung dalam 64 kotak hitam putih, 30 bidak berlaga-laga dan dua orang raja. Di mana nilai hidup yang meriah (colourfull)? (Permainan bermula dengan gerakan E4.)

“Buka pintu, aku nak ambil kunci. Rumah panas,” kata bapa. Bila lambat sikit, dengan gelojoh tendang daun pintu.


Yang kelihatan cuma sepapan catur dari koleksi hiasan. Dua set seperti biasa–lut sinar dan lut cahaya. Masih 64 kotak tersusun rapi. 32 putih. 32 hitam. Seperti biasa: 30 bidak berlaga-laga dan dua raja!

Dua.

Dua.

Yang putih kepalanya patah kena kepak. Dan kesemua 17 biji bala tenteranya, tiap satu terukir seperti wajah manusia yang seakan-akan kami kenal. Demi Allah, ia mirip teman saya. Mirip benar.

Set hitam seperti biasa tak ada cacat celanya, melainkan satu: Hitam! Cuma rajanya, yang asyik hendak diserang dan ditawan pasukan putih itu sebenarnya hanya sekeping syiling satu sen. Itu pun terbalik. Gambar parlimen di bawah, muka nilai di atas. Iya, maharaja hitam menjelma sekeping Wang Tanda dari kekuasaan tuhan.

Saya belek, iya, ini dongeng macam mana raja catur boleh jadi sen. Itu sungguh saya hairan. Ia ringan dan kecil tetapi bersalut kulit laksana mas.

“Itu ialah raja jadi jadian,” saya cuba memancing akal orang tua tua.

“Dia dah kepak kepala,” menunjuk-nunjuk seperti tidak kepada manusia. Dan ia, tidak menghiraukan statmen dan mempedulikan perasaaan dan keghairahan anak muda seperti saya.

“Apa?” Dalam garau angkasa tergaru ribut, atap ayan dicakar hujan, saya paling ke wajah pak tua. Dan basah nako-nako, tatkala ditikam cahaya guntur, memancarkan biasan laksana kepala syaitan.

Ia tidak punya kepala. Ia tidak punya... kepala! Ia seperti sekerat khuldi (buah dari pohon larangan) Adam dan Hawa di syurga. Seperti telefon bimbit abang teman saya yang membingitkan Mozart edisi-versi polifonik.

“Adik bertuah kau ada situ?”

Pak cik tua itu, matanya seperti bulan yang sering ditenung.

Abang teman saya itu, tidak ia sebut dengan nada sungguh-sungguh keras, “Check-mate.”

Sunday, February 24, 2008

MARCO POLO DAN DIMENSI POLITIK KUBLAI KHAN

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN


Judul : Marco Polo

Pengarah : Kevin Connor

Pelakon : Ian Somerhalder, BD Wong, Brian Dennehy dan lain-lain.

Durasi : 173 minit

SEJARAH berubah selamanya apabila anak muda dari Venice, Marco Polo memulakan pengembaraannya menuju ke 'jantung dunia', China. Dalam DVD yang julung kali diterbitkan ini, juga dengan judul Marco Polo, kita dihidangkan dengan 173 minit pengembaraan penuh mendebarkan dan bersejarah; mereroka lurah-lurah politik dalam istana Kublai Khan cucu penakluk agung Mongol Genghis Khan. Politiknya lebih berliku dan sukar difahami berbanding perjalanan Marco dari Venice ke China.

Marco Polo membesar dalam keluarga pedagang. Bapanya konon pernah sampai ke China. Namun tiada siapa percaya. Bahkan bapanya itu Niccolo Polo sendiri tidak berminat membuktikan melalui catatan-catatan perjalanannya.

“Tulisan itu boleh menjahamkan kita, Marco,” tegur bapannya ketika Marco mulai mencatat.

Marco mengikuti bapanya, bukan sekadar untuk berdagang tetapi ingin melihat sendiri China yang makmur. Sekali gus mencatat dan membuktikan bahawa keluarga Polo bukanlah gila. Perasaan ingin tahun Marco bermula sejak bocah lagi. Seperti lazimnya Venice sebagai kota pelabuhan penting di Eropah, Marco melihat kapal-kapal di dermaga, barang-barang 'aneh' dipunggah dan kemudian kapal tersebut lenyap di lautan sebelum tiba lagi beberapa bulan kemudian. Marco terfikir, ke manakah mereka pergi? Adakah mereka telah sampai ke hujung dunia? Tetapi antara semua pedagang di Venice, tak seorang pun yang pernah sampai ke China.

Marco mengikuti bapa dan pakciknya dengan emas tulen kerajaan Mongol pemberian Kublai Khan (Brian Dennehy) sebagai tanda perlindungan. Bapa Marco tahu, itu adalah perjalan paling sukar. Mereka memulakan destinasi di Jerusalem. Selain Kristian yang taat, kafilah ini mahu minyak.

Kafilah Polo ini mengikuti Laluan Sutera, jalan laut dan darat untuk rempah-ratus.

“Hanya untuk ini?” soal Marco kepada bapanya.

Itu mengundang tawa bapa dan pamannya yang tadi, “kamu tidak tahu, ini lebih berharga daripada emas, perak dan permata,” kata mereka.

“China adalah jantung dunia. Mereka memiliki segalanya dan mereka tidak perlukan apa-apa daripada kita. Mereka memiliki tentera terbaik di dunia. Kalau kita juga memiliki semua ini, dengan mudah kita dapat menakluk dunia ini,” katanya lagi.

Semua ini membuatkan hati Marco bergelora tetapi nanti di istana Kublai, dia bakal tahu bahawa semua ini dusta dan palsu. Kublai dan datuknya tidak memiliki semua ini, gold, glamour, glory dengan mudah. Kublai mempertahankan empayarnya dengan cara yang lain. Oleh itu, ia memiliki kekuasaan yang jauh lebih besar daripada Iskandar Zulkarnain.

Sebelum tiba ke China, mereka merempuh gurun yang sukar. Selepas suatu serangan suku biadap di padang pasir, emas Kublai Khan tersebut menyelamatkan mereka. Pembawa logam ini diiktiraf mendapat perlindungan Khan segala Khan itu, maharaja dunia. Dalam perlanggaran itu, Marco melihat dua keajaiban. Pertama, kompas air China dan kedua, bom granit. Marco tidak dapat memahami bagaimana serbuk daripada batu boleh mengeluarkan api. Pada matanya inilah rahsia kekuatan empayar Kublai Khan.

Setibanya di China, di mata orang Mongol dan China, pedagang daripada Barat ini hanyalah seorang “Barbarian yang makan dengan tangannya”. Ketika mempersembahkan hadiah daripada Barat kepada Khan, Marco berdiolog yang akhirnya mencuri hati Maharani dengan mulut lancangnya.

“Mereka (pegawai kerajaan) membunuh, merogol dan memeras ugut atas namamu. Mereka menipumu dan tidak memberitahumu perkara sebenar yang berlaku dalam empayarmu kerana mereka takutkan kamu.” Begitu pandangan Marco.

“Mari kita lihat apa yang kamu ada,” kata Kublai. “Jika tiada apa-apa, kepalamu akan terpisah daripada badan.”

Marco Polo diletakkan di bawah pengawasan penasihat Khan, orang tua yang baik hati. Dia diberikan rumah dan seorang hamba yang setia, Pedro (BD Wong), pemuda bekas pemberontak dari puak padang pasir yang tertawan. Ketika rombongan Polo melangkah keluar daripada kota Kublai, bermulalah hidup baru Marco Polo di dalam istana lelaki yang paling kaya dan berpengaruh di dunia.

Melihat situasi ini, ada ironisnya. Bagi sesetengah sejarahwan, walau pun Kublai memiliki empayar yang lebih luas dan mengawal China yang besar, rencam dan berpecah-pecah, tetapi hakikatnya sehebat-hebat penakluk itu, dia sendiri ditundukkan oleh kebudayaan dan cara hidup China. Daripada segala aspek termasuk makanan, pakaian, kesenian dan kebudayan, Kublai menjadi lebih China daripada orang China.

Begitu juga dengan Marco. Ia melihat China sebagai syurga dunia. Dan dia boleh hidup seperti malaikat dengan perlindungan daripada maharani. Hanya maharani yang mampu menghargai kejujuran dan melihat kesetiaan sejati. Polo telah menghabiskan lebih 20 tahun hidupnya berbakti kepada empayar Kublai Khan. Namun, menjadi seorang barbarian dalam empayar besar Mongol bukannya mudah. Kublai memiliki beratus-ratus pegawai kerajaan dan puluhan ribu bala tentera. Kekuasaannya tiada lagi tandingan di dunia. Politik dalam empayar Kublai seperti telur di hujung tanduk. Terlalu ramai oportunis dan sentimen warna kulit pasti menjadi senjata sangat ampuh untuk menamatkan karier politik Marco Polo.

Dek kerana dengki dan sikap tamakkan kuasa ini menyebabkan Marco dipasung dan disumbat ke tempat paling hanyir di dunia. Penjara yang mempunya seribu jenis siksaan. Kesan daripada itu, bagi Marco, penjara bukanlah tempat berakhirnya kehidupan. Selepas itu, Marco terus menunjukkan kesetiaannya kepada Kublai. Di istana, dia belajar pelbagai benda daripada makan dengan penyepit hinggalah rahsia nafsu politik Kublai. Benar, Kublai memiliki segalanya. Cuma satu yang belum dan itu menjadi tugas Marco sebagai membuktikan kesetiaannya. Kublai mahu melanggar negara matahari terbit tetapi dia belum yakin dengan kekuatannya sendiri. “Marco, aku risau mereka mempunyai senjata yang lebih kuat daripada kita,” katanya.

“Peluru, bom, meriam?” soal Marco.

“Pengetahuan,” jawab Kublai Khan. “Melepaskan askar kita sekarang adalah umpama melepaskan askar yang buta,” dia menambah.

Daripada aspek ini Kublai dan datuknya Genghiz nyata berbeza. Dia bukanlah politikus semberono. Seluruh pelosok Jepun dan geografi sekitarnya perlu diteroka. Orangnya, kehidupannya, kebudayaan, teknologinya, semua itu mesti diketahui. Dan itu menjadi tugas Marco. Dalam gambaran orang Mongol, masih ada penduduk di kawasan-kawasan jauh yang bermata satu, berkaki besar dan mempunyai mata dan mulut di badan mereka. “Tolol, ini semua cerita dongeng,” kata Marco, dan dia bersedia dengan pengembaran sukar itu.

Ia meninggalkan Temulun, gadis cantik dari pencil yang dibawa untuk memuaskan hati Khan untuk satu malam, satu malam saja. Sesudah itu ia menjadi 'bungkusan hadiah'. Dan Marco menerimanya. Namun, sebaik Marco melangkah dari pintu kota pada siang hari, di malamnya Temulun menuju arah yang sama. Hati Temulun bukan di sini. Oleh itu, Temulun mati.

Bertahun-tahun Marco Polo dan hambanya Pedro belajar ke seluruh pelosok dunia. Dan setiap kali mereka pulang dengan kalungan hadiah daripada kerajaan-kerajaan lain, Kublai tidak akan lupa menyoal, “sudahkah kamu sampai ke hujung dunia?”

Hayat Kublai sudah hampir ke hujung dan itu tidak pernah memudarkan hasratnya melanggar negara matahari terbit. Jika tidak, ia tidak boleh tidur dengan aman. Dan maharani sentiasa memberi amaran. Kamu akan tewas. Perjalan ke sana amat jauh dan sukar, separuh tenteramu akan dibunuh alam semula jadi. Dan separuh lagi akan terlalu letih untuk menghayun pedang. Kekalahanmu akan menjahamkan empayar kita. Pegawai-pegawai kerajaan akan berebutan kuasa dan puak-puak dan suku-suku yang pelbagai akan memberontak. Itulah pengakhiran untuk bangsa Mongol.

Namun amaran itu tidak bertahan lama dengan kematian maharani. Dan petanda berakhirnya perlindungan istimewa terhadap Marco Polo. Dia terpaksa belajar untuk hidup dalam suasana politik enmpayar Kublai yang kompleks.

Kematian itu membuatkan Marco sepi. Pedro melihatnya. Sesudah Temulun tidak ada perempuan dalam hatinya. Ia hanya mengenal lautan, gurun dan kompas. Di saat itulah, cinta datang kembali. Namanya Kensai dan ketika Temulun di bawa ke katil Khan, adiknya kensai di bawa ke rumah penari. Ia diajar menjadi penghibur istana. Kensai mengingatkan Marco kepada Temulun dan dia mengambil keputusan menyerahkan hatinya. Tetapi itu tidak lama sehingalah Kensai dipilih Khan sebagai hadiah kepada maharaja Parsi sebagai lambang persahabatan. Dan Marco ditugaskan membawanya melalui jalan laut melalui Siam, Burma dan India.

Ini memberi ilham kepada Marco. “Pedro, ini hari terakhir kita di jantung dunia. Kita tidak akan ke Parsi, kita ke Vanice. Aku, kau, Kensai. Sekarang jualkan segala apa yang aku ada. Lakukan perlahan-lahan jangan sampai orang tahu. Tukarkannya menjadi emas dan permata.”

Di Siam, nasib mereka berubah. Takdir menyebelahi Marco dan Kensai. Itu berlaku setelah bertahun tahun perjalanan. Kublai Khan dan maharaja Parsi telah meninggal dunia. Oleh itu, Marco dan Kensai kembali menjadi orang merdeka. Malangnya, pegawai kerajaan Mongol mahu mereka semua pulang ke China dan utusan Parsi mahu puteri mereka untuk maharaja mereka yang baru. Di sinilah konflik bermula dan tercetuslah kekerasan. Dalam kepungan itu Kensai menuju ke pintu kota untuk berlari menuju destinasinya. Seperti Temulun, Kensai juga tewas. Marco kembali sepi. Kensai akan menjalani takdirnya sebagai puteri Parsi. Marco dan Pedro meneruskan perjalan ke Venice dengan catatan-catatan perjalanannya yang luar biasa. Setelah 20 tahun, Marco kembali menjadi orang Venice. Dia tidak ingin ke mana-mana kerana dia telah menjadi kaya-raya. Dia telah melihat dunia dan membuktikan keluarga bukan gila.

Pada 1298, Genoa, kuasa dari utara Itali melanggar Venice. Marco dihumban ke penjara bersama penulis romance Rustichello da Pisa. Maka pabila seorang pelayar agung dan seorang penulis berbakat bertemu, maka lahirnya The Travels of Marco Polo yang ulung itu. Ia menjadi bacaan sehingga kini. Mereka menulis dan bercerita tentang gunung ganang, geografi, cuaca, suku-suku di pedalaman dan itu melupakan mereka tentang politik yang berliku di luar daripada geriji besi di penjara.