Thursday, April 10, 2008

Sastera Mesti Bebas, Mandiri dan Indipenden

Interbiu wartawan eSastera.com MOHD. DAHRI ZAKARIA bersama Jimadie Shah Othman.


(Wawancara Tamu, Komuniti Berita dan Bicara Sastera, eSastera.com, 18 April 2005)


Bila saudara mula menulis?

Minat-minat menulis waktu sekolah menengah. Seperti biasa, saya juga mengalami pengalaman peribadi yang tidak mudah. Bila dah besar, baru karya boleh keluar di media.

Bila tu?

Masuk matrikulasi. Jumpa Anjan Anzana, berkawan baik dengan Fakrurazi Mahmud. Jadi avid dengan sastera. Jadi gila dengan sastera. Sama-sama kongsi minat. Kemudian belajar-belajar baca sajak. Kemudian sambung belajar di Kuala Lumpur, masuk MPR. Waktu tu tu mula jumpa dengan penulis-penulis baru, yang, terlalu peramah sebenarnya.

Saudara pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apa pentingnya program itu bagi saudara dan sejauh mana ia boleh membantu dalam penghasilan karya-karya besar?

Saya percaya, karya-karya besar tidak lahir dari bengkel dan seminar; sebaliknya dari pengalaman, pemikiran dan renungan intelektual, dan kreatif dengan sungguh-sungguh. Tentang MPR, sejujurnya saya rasa ia memberi pendedahan yang bagus dan berguna. Terutamanya bagi penulis yang baru-baru belajar nak pegang pen. Ia memberi satu kesan lingkungan, semacam satu titik kecil antara banyak titik yang membentuk satu imej besar sastera Malaysia . Di situ saya belajar melihat sastera sejernih mungkin. Keluar dari MPR, seni jadi fenomena. Kami berlumba-lumba menerbitkan karya di media. Itu seawalnyalah, maksud saya.

Saudara menyentuh tentang intelektual. Pada pandangan saudara sejauh mana nilai intelektual itu telah digunakan dalam banyak karya-karya sastera di negara kita sekarang ini?

Sejujurnya, saya tidak nampak kegilaan yang sangat serius ke arah itu. Contohnya, kita masih tidak bersedia untuk dikritik, dalam apa soal sekali pun. Bukan semata-mata sastera. Dan tiap kritik akan dimomok-momokkan dengan istilah “kritikan membina” atau “kritikan membunuh”. Walhal kritik ialah kritik. Tak jauh bezanya dengan “kutuk”. Iya, maksud saya harus merenung “kejahatan” subjek, atau objek sedalam mungkin. Dan lebih malah apabila pengkritik cenderung dilihat sebagai penjahat. Ada orang panggil “budak nakal sastera”. Ini malang sekali. Sebab, saya percaya, tanpa kritik, sastera kita tidak akan berkembang. Ini budaya intelektual yang paling asas.

Berbalik kepada nilai intelektual dalam karya sastera kita, rata-rata saya kita masih di tahap kulit. Sastera kita tidak akses dengan perkembangan semasa globalnya, apa lagi berinteraksi dan memberi pandang. Kita kenal, secara mentah, intelektual, seniman, sasterawan dunia – yang dapat Hadiah Nobel, Hadiah Pulitzer tetapi dunia itu, dunia idea itu, tidak mengenal pun kita. Orang lebih kenal Malaysia dengan susu getah dan kelapa sawitnya. Dengan Proton dan KLCC-nya. Tetapi orang tidak kenal Sasterawan Negara kita yang sembilan itu.

Banyak penyakit ini, pengkarya lebih berminat pada ‘cerita-cerita seluar dalam’ pengkarya daripada melihat soal idea dan pemikiran. Maksud saya cerita-cerita peribadi penulis, gossip penulis. Kita lebih suka melihat siapa bergaduh dengan siapa, penulis tu couple dengan siapa, penulis sastera Islam itu ada skandal seks di luar Negara, misalnya. Itu perangkap yang kita bina sendiri. Ini nonsense. Dunia sekarang tidak melihat orang yang tidak pandai. Itu semua dialog orang remeh. Langsung tak intelek.

Dalam Diskusi Karya Eceran anjuran Biro Penulis PENA di Rumah PENA lalu, salah seorang panelnya, SM Zakir, menyebut kebanyakan penulis muda sekarang hanya banyak bersikap ‘copy and paste’ dalam memberi hujah dalam setiap karya mereka. Beliau waktu itu merujuk kepada cerpen saudara, Teks. Apa komen saudara?

Semua orang tiru dan tampal. Saya tidak faham maksudnya, dan soalan saudara.

Maksud beliau, kebanyakan penulis muda sekarang mempunyai keinginan yang tinggi untuk bercakap tentang isu-isu besar lewat falsafah dan juga pemikiran, dan barangkali intelektualiti. Malangnya mereka ini sebenarnya hanya bercakap pada peringkat kulit atau permukaan saja, dan tidak dapat mengupas sesuatu isu secara mendalam dan luas.

Melihat sastera dan dunia dari sisi-sisi lain, yang tidak selalu, itu bagus. Yang tidak bagusnya, tidak faham. Jadi wujud budaya burung kakak tua. Kedua, tebal atau nipisnya garapannya di kertas itu soal yang lain. Yang penting sama ada idea itu diletakkan dengan sedar atau tidak. Untuk menunjukkan dia faham, tak perlu ‘meng-essei-kan’ sesebuah cerpen. Seterusnya, kita harus melihat tampalan idea (yang sedar) sebagai satu perkembangan, atau naratif intelektual sebuah cerita.

Saya percaya, ini tidak dimaksudkan oleh Zakir. Barangkali dia maksudkan dengan fenomena burung kakak tua tadi. Ini saya faham dan saya akui sungguh-sungguh pengaruh jurnalisme dalam sastera hingga menjadikan sastera kian keras. Harus diingat, asas cerpen itu cerita. Kemudian, sastera itu kata Ibn. Khaldun, keindahan/estetika asasnya. Kemudian baru idea. Itu saya percaya.

Tentang Teks, itu konflik kompleksiti falsafah dan teologi yang dilihat secara bebas dari sudut pandang seorang pelajar biasa. Ia memang tidak menyarankan penyelesaian atau apa-apa. Saya berharap cuba dunia dari sisi-sisi lain. Melihat bahawa hidup tidak ‘sesimple’ yang kita bayangkan. Hidup lebih dari sekadar hitam dan putih, kanan atau kiri.

Bagaimana pula dengan sastera Islam?

Bagi saya itu konsep yang tak masak atau barangkali tak sempat masak. Sejujurnya saya tidak faham. Sebab, serasa saya, sastera melampaui batas teologi. Ia lebih daripada itu. Barangkali lebih universal sifatnya, milik semua kelompok dan entiti tak kira apa agama pun. Sastera dan budaya adalah sudut pandang lain, ‘bahasa’ lain kepada kehidupan, selain agama, dan kekuasaan. Bukan menentang, cuma saya tidak faham. Benar-benar tak faham.

Maksud saudara?

Saya melihat sastera dari sudut lain, yang universal sifatnya, yang manusiawi. Sastera tidak harus dipandang dari kacamata agama. Jalur tradisinya berbeza. Sastera yang diacuankan oleh pandangan agama atau mana-mana faham moral hakikatnya propaganda. Sastera bagi saya hanya satu dari pelbagai puzzle lain yang melengkapkan kehidupan ini. Sebab, sastera itu subjektif sifatnya, berwarna-warni, bukan hitam-putih, halal-haram semata-mata, mengikut pandangan tipikal pengikut agama. Sastera sebenarnya milik semua bangsa, semua kelompok. Ia bebas sepenuhnya. Ia menolak tunduk pada apa pun, biarpun agama, termasuk tradisi-ortodoksi dan kekuasaan.

Adakah ini bermakna dalam dunia sastera kita sekarang ini wujud masalah pemetakan yang melampau terhadap karya-karya sastera, sehingga memberi kesan kepada penerimaannya kepada masyarakat umum?

Soal pemetakan karya, saya sangat positif. Maknanya saya sangat tidak selesa dengan sastera satu mazhab, satu aliran; seperti saya tidak selesa dengan Islam satu mazhab. Sebab, tanpa aliran dan jalur yang pelbagai, sesuatu itu tidak akan berkembang dan barangkali terus pupus. Di Malaysia, sekarang ini, pada saya kita masih ortodoks. Variasinya tidak jelas, tidak begitu meriah. Petak-petak dibina, selalunya atas dasar kronisme, bukan aliran. Tidak hairanlah karya kita asyik-asyik membicarakan benda yang sama, dari sudut pandang yang terlalu klise. Fenomena ini akhirnya merugikan pasaran karya seni. Masyarakat, sebagai “pembeli” menuntut choice, menuntut pilihan. Keadaan ini bukan saja anti seni. Tetapi anti ekonomi juga.

Saudara kata pemetakan sangat positif jika wujud dinegara kita. Lupakan soal aliran. Masalahnya hal itu memang telah lama wujud pun ditempat kita. Sebab itu dalam sastera kita, kita boleh jumpa “sastera popular”, “sastera picisan”, “sastera islam”, “sastera underground”, “sastera berat” dan beberapa lagi. Bagaimana dengan ini?

Pemetakan atas dasar aliran memang bagus, tapi kalau soal medium (karya underground), soal penerimaan (karya popular), Islam atau tidak, ringan atau berat, itu bukan masalah sastera. Ia soal tanggapan dan keberadaan sesuatu karya sastera dalam lingkungannya. Sebenarnya ia mengelirukan sebab pemetakan ini sesetengahnya tidak dibina atas dasar yang kuat. Tidak melalui wacana dan kritik yang mendalam dan rencam, seperti yang saya tekankan pada awalnya, keperluan kritik sebagai asas meningkatkan mutu karya seni. Jadi, dalam kesamaran inilah sastera kita dipaksakan. Ini sebetulnya soal cap, soal jenama dan label. Sebotol kicap, bubuhlah cap apa pun tetap sebotol kicap.

Tiga naskhah antologi sajak saudara sebelum ini banyak mengenengah isu seks. Dua naskhah terawal contohnya, “Mitos Sperma Amerika” dan “Onani Sendiri” yang diterbitkan secara ‘underground’ bersama beberapa orang penulis muda, agak ketara dan jelas tentang isu ini. Adakah wajar isu ini diketengahkan secara terbuka sebagai memberi moral kepada pembaca?

Salah, “Mitos Sperma Amerika” bukan isu seks, tetapi perang. Paparan seksualiti, itu hanya soal stail, soal kulit, bukan isi. Apatah lagi bagi sebuah sajak yang mempunyai kesan lapis makna. Begitu juga dengan “Onani Sendiri”, ia bercerita dan mengambil tema yang pelbagai. Soalnya tetap bukan seks. Kami melihat seksualiti dalam konteks yang lain, tidak sekadar kelucahan dan lambang kerendahan hati nurani. Ia lebih daripada itu dan sebetulnya tak ada kaitan dengan moral. Saya tidak menyarankan moral. Saya mahu bikin seni. Saya percaya kata “moral” hanya momokan nakal kelompok-kelompok tertentu yang berkepentingan, dengan tujuan memesongkan perhatian daripada pokok perbincangan. Seperti juga dengan kata-kata “Nilai-Nilai Timur”, kenapa tiba-tiba wujud istilah ini, sedangkan kita sedang berwacana tentang kekejaman perang? Adakah ini releven? Tentang masalah peristilahan ini, saya cadangkan sasterawan-sasterawan kita kembali belajar tentang semiotic.

Beralih ke kegiatan. Saudara agak aktif dengan Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), dan sekarang dengan Gerak Sastera. Orang melihat kedua-duanya sebagai jalan alternative kepada persatuan sastera lain yang sedia ada. Barangkali pengimbang kepada persatuan yang sedia ada. Apa komen saudara?

Saya bersama kedua-duanya dengan sangat selesa. Saya menolak monopoli kelompok tertentu dalam sastera dan saya percaya sastera itu khazanah bersama. Tentunya tidak ada masalah kami mengambil bahagian secara aktif dalam bidang yang kami yakini dan cintai ini. Kelahiran kumpulan-kumpulan baru bukan untuk menyaingi mana-mana pihak, tapi sekadar memeriahkan dan menerokai jalur-jalur baru sastera Malaysia. Dengan KsJT kami cuba mempromosikan kebebasan kreatif dan wacana rancak seni budaya. Dengan Gerak Sastera kami mempromosikan penulis-penulis baru. Barangkali boleh dikatakan pengimbang kepada persatuan yang sedia ada. Lebih tepat lagi, kita sebenarnya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Kita ke karya sastera di Malaysia sekarang. Apa pandangan saudara? Maksud saya, tentang penulis, karyanya, serta penerimaan khalayak terhadapnya.

Pertama, penulis kita kena berjiwa besar. Mesti bersaing di peringkat global. Kalau orang bercakap pasal karya pascamoden misalnya, kita tidak boleh lagi jadi penerima idea, sebaliknya jadi penyumbang dalam wacana besar dunia. Saya kira kita masih tertinggal. Hentikanlah diasyikkan dengan “cerita-cerita seluar dalam” pengkarya. Kedua, terimalah globalisai sebagai kenyataan kita. Pesimis dan prejudis terhadapnya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Globalisasi tetap akan jadi fenomena walau apa pun sikap kita. Seniman kita harus mengambil sebanyak mungkin peluang daripada arus ini. Inilah masanya untuk kita berkongsi idea dengan seniman dari negara-negara lain yang mempunyai sejarah seni dan intelektual yang usianya ratusan tahun. Sudah tiba masanya kita membuka jendela-jendela yang menghubungkan kita dengan tamadun dan kebudayaan luar dengan sejujur mungkin, dan rupanya, oh, dunia ini memang benar-benar bulat. Di sana ada khalayak yang lebih besar. Itu lebih baik dari cuba ‘mengurat’ khalayak kita yang ‘secupak’ itu, yang tak makan-makan saman.

Bagaimana hubungan yang saudara nampak wujud antara kelompok penulis muda dan lama? Ada kesinambungan tak?

Ada, dan tidak ada. Tetapi saya tidak rasa mereka bersama. Masih saling prejudis kiranya. Kadang-kadang semacam ada perang dingin misalnya. Ini biasa saya kira, dalam setiap ruang dan zaman, akan sentiasa ada pergelutan semacam ini. Contohnya kes Zainal Rashid Ahmad lawan Atondra di Rumah PENA. Dalam hal ini saya rasa banyak masalah berpunca daripada golongan lama yang gagal pada awal usia muda mereka atau masih diasyikkan dengan romantisme lama. Selain itu, ada juga penulis muda yang tua sebelum masanya, tidak ghairah, bertenaga, gelojoh dan berani. Ini satu lagi penyakit. Dalam banyak hal saya sangat pro pada anak muda.

Sedikit masa lalu saudara agak aktif dengan sastera siber. Tapi sejak akhir-akhir ini penglibatan saudara mula berkurangan. Apa pandangan saudara tentang sastera siber ini?

Lebih banyak medium, lebih banyak ruang. Tidak ada salahnya, malah saya kira sastera siber mesti dimajukan agar setaraf dengan sastera yang bercetak. Masalah utamanya, berlaku lambakan karya yang tidak berkualiti. Walau bagaimana pun, saya percaya sastera siber ada potensi dan masa depan yang cukup besar. Tetapi buat masa ini, orang lebih selesa cara konvensional, cara kertas.

Dunia sastera kita juga selalunya dikaitkan dengan dunia politik. Razali Endun contohnya, kembali menulis setelah rehat bertahun-tahun hanya kerana kesan daripada peristiwa dalam politik negara. Dua perkara yang saya hendak saudara huraikan di sini. Pertama, keperluan dan pengaruh atau fungsi karya sastera dalam dunia politik. Dan kedua politik dalam dunia sastera.

Banyak karya sastera yang terilham dari alam politik. Sebelum merdeka, sastera menjadi alat memperjuangkan kemerdekaan. Selepas 1998, Shahnon melahirkan Shit. Sabelumnya lagi ada Telok Gong membela petani miskin, Keranda 152 memperjuangkan isu bahasa dan Usman Awang menulis sajak-sajak tentang mogok Utusan yang kemudiannya dibukukan dalam antologi Duri dan Api. Dalam banyak kes, sastera cuba mengkoreksi kegawatan dunia politik, menjadi alat protes dan pembelaan kepada orang-orang yang tidak dominan. Sekurang-kurangnya menyarankan pandangan penulis tentang kegawatan itu. Banyak karya sastera ditulis kesan dari keberadaan penulis dalam lingkungannya. Barangkali sebab pola fikir masyarakat kita yang terlalu obsess dengan politik. Tak ada perkara yang lebih menarik dari politik. Orang bercakap tentang politik di mana-mana, jadi tidak hairanlah kalau subjek utama pengkaryaan masih soal politik. Tetapi untuk menjadikan sastera sebagai alat politik, terutamanya politik sempit kepartian saya tidak setuju. Sastera mesti bebas dan mandiri. Ia mewakili sudut pandang lain masyarakat yang barangkali jauh lebih telus dan luwes dari pandangan politik.

Kedua, tentang hubungan politik dan sastera, awal sekali mesti ada usaha melepaskan diri dari kekangan-kekangan kekuasaan dan ‘agama’ yang tidak munasabah. Sastera harus dibiarkan mandiri sendiri. Pertama sekali ruang ekspresi kreatif kita mesti ditolak sejauh mungkin. Sebab yang selalu menekan kita ialah anasir dari politik dan ortodoksi-agama-tradisi yang saya sebutkan tadi. Kebebasan kreatif harus dianggap sebagai satu tuntutan hak asasi manusia yang dilindungi PBB.

Tentang politik dalam dunia sastera, jangan sampai lupa pada ‘work’. Itu soal utama. Tidak ada yang negatifnya, kecuali penyakit “politik dalam dunia politik” berjangkit masuk dalam “politik dalam dunia seni”.

Ok, sebagai kesimpulan daripada saudara, untuk dunia sastera kita. Atau juga barangkali untuk penulis muda seperti saudara.

Saya harapkan sastera kita yang lebih daripada ini – sastera yang memberi alternative kepada politik dan agama. Sastera yang bebas sepenuhnya, mandiri dan indipenden. Untuk itu sasterawan kita, terutamanya yang muda selain harus sungguh-sungguh merpertingkatkan mutu karya dan bersaing di peringkat globalnya, harus juga memperkasakan ruang bersama sastera kita daripada manipulasi dua faktor awal yang saya sebutkan awal tadi iaitu politik dan agama. Saya percaya selain berkarya dan berkarya, tembok sastera kita mesti dijaga juga. Jika tidak, kita tidak boleh berkarya dengan selesa, ekspresi kreatif akan terbantut, pulangan ekonomi selalu tidak menjanjikan. Sebagai penulis baru, saya harapkan tenaga orang muda, keghairahan orang muda, gelojohnya, sikap terburu-burunya, kegilaannya dapat mencorakkan wajah baru sastera Malaysia. Kehadiran budak-budak baru sastera mohon tidak dibuli dan dikotak-kotakkan dalam ruang tertentu hingga tidak mampu melihat dunia luas yang sebenar.


• WAWANCARA TAMU > 2005 > Sastera Mesti Bebas, Mandiri dan Indipenden - Jimadie Shah Othman disumbangkan pada Sabtu, 9 April 2005 4:17:27 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 18 April 2005 1:06:43 PM oleh dahrie

Sufi

(Untuk Salman Sulaiman)


Sewaktu ini Hallaj dikuliti
jubah kain kasar.
Ahmad.
11
11
11
11
11
Imam.
Jiwa.
Cinta,
lumba-lumbamu dengan
Nur Muhammad.

sangkar
bunyi
kemudian kicau
akan ada ghazal, Sulaiman.
Balqis akan turun meronta zauk.

- Jimadie Shah
UNIVERSITI MALAYA


Cerpen ini diselit di jaket kumpulan puisi Salman Sulaiman 2006, Sebelum Menjadi Penakut terbitan Pustaka Dewan Puisi (PDP), Kelantan.

Teks

Oleh JIMADIE SHAH OTHMAN


(Utusan Malaysia, 6 Jun 2004)


PERTAMA, cinta. Kedua, teks.

Malam itu saya tak makan. Lepas main sepak raga tadi petang, saya tidur. Jam sebelas saya terganggu dengan suara perempuan memberi salam. Saya bangun jenguk ikut tingkap. Baiti sedang panggil suaminya. Saya pun bangun cepat-cepat dan buat-buat tanya, ``Air minum ada tak?''

Belum sempat mereka jawab, saya buka peti sejuk depan bilik mereka, terus minum. Guntur kata mereka nak keluar ke kafe Internet. Saya tanya, ``Boleh tolong print tak resume aku untuk KUIM?''

Dia masuk dalam bilik buka komputer. Fail itu dalam My Document. Guntur bagi sekeping disket. Saya simpan pakai format document text.

Waktu saya nak keluar dan mereka pun nak berangkat, Baiti kata kalau nak menonton, boleh duduk dalam bilik mereka. Saya jawab, ``Boleh juga.''

``Artikel kau masuk Mingguan Malaysia, dah baca?''

Saya angguk.

Dengan motosikal, mereka bertolak. Saya buka televisyen dan cari alat kawalan jauh. Saya nak main Winning Eleven dengan pelantar Play Station, tapi alat kawalan itu tak jumpa. Saya tengok televisyen saja. Rancangannya langsung tak ada pesona. Barangkali sebab rasa lapar.

Saya nampak nasi dalam periuk. Saya bangun dan buka peti sejuk. Ada ikan tilapia goreng tak habis kami makan petang tadi lepas main sepak raga dan sos nasi ayam yang tidak langsung dijamah.

Dengan rakus saya makan, sebab saya lapar. Nasi itu pula cukup-cukup sepinggan. Jadi, saya rasa tak kenyang. Tapi waktu hisap rokok, sandar di bantal dan layan cerita bangang di televisyen okey juga. Waktu mereka balik hampir jam satu pagi, saya buat-buat tidur.

Mereka masuk, saya buat-buat terkejut dan terus bangun. Mamai kononnya.

Guntur terus saja cari alat kawalan jauh. Televisyen mereka ada kelemahan, tak ada fungsi av. Kena buka dengan alat kawalan saja. Sambil tu, Baiti masak maggi di dapur. Lama kami cari, tapi tak jumpa. Jadi, kami berhenti makan dulu. Lepas makan, dia saja cuba-cuba jeluh bawah meja teh yang penuh dengan buku-buku teks universiti dan nota kuliah.

``Ada pun,'' katanya.

Kami terus buka Play Station dan main Winning Eleven sampai bang. Hari ini tak jadi nak ke Masjid Negara sembahyang subuh. Lepas solat, kami berkira-kira nak ke Restoran Yusuf makan nasi lemak. Samad, teman sebilik saya yang baru bangun pun nak ikut sama. Kami turun dengan dua buah motosikal. Satu plat RF dan satu lagi RE. Kedua-duanya dari Perlis. Dan ini tak ada apa-apa kaitan dengan semangat kenegerian sebetulnya.

Guntur agak membosankan kalau lepak lama-lama. Dia tak ada pengetahuan melainkan tentang (rejimen askar) semboyan dan hal-hal yang berkaitan dengan ketenteraan sahaja. Dia seperti langsung tidak berminat dengan produk idea. Pemikirannya agak masih dalam acuan tradisi-ortodoksi yang kukuh, dengan sudut pandang yang terlalu tipikal.

Cuma Samad kadang-kadang boleh melayan gila saya, walaupun dia ada masalah besar dengan proses analisis idea dan berfikir mendalam, berangkai dan keberanian mempersoalkan kepastian. Sebenarnya, apabila sesuatu kepastian itu dipersoalkan, kepastian akan menjadi bukan kepastian. Maksudnya tiada yang mutlak dalam setiap perkataan yang berkaitan dengan idea. Keraguan akan sentiasa menambahkan kepintaran.

Waktu saya dan Samad berbincang tentang kedai kopi, tentang maksud dan falsafahnya, yang dikaitkan dengan kebangkitan intelektual di Eropah, bermula di zaman pencerahan, Guntur akan cuba mengaitkannya dengan ketenteraan juga. Contoh soalannya, ``Apakah peranan ketenteraan pada zaman pencerahan dan sesudah Revolusi Perancis?''

Waktu itu saya dan Samad cuba berlucu, bahawa kami tidak pernah lihat, dan jumpa seorang manusia dari kecil sampai besar pernah bercita-cita nak masuk askar. ``Lebih baik kau menulis. Masuk askar tak seronok. Sebuah kerjaya yang rigid. Membosankan, bahkan.''

Sambil rancak sembang-sembang, minuman tiba. Sejurus kemudian, tiga pinggan nasi lemak mamak dan satu lagi dibungkus untuk isteri Guntur, Baiti yang sekarang barangkali masih nyenyak tidur.

Semalam saya baru lepas kuliah pencerahan di Studio Kurusatre dengan Wan. Saya bagi tahu pada Samad. Kami rujuk buku Dorida Outram, judul The Enlightment. Sekarang masuk bab ke-3, cerita tentang kedai kopi dan pengguna dan peranannya dalam konteks masyarakat pencerahan.

Saya percaya pada pendapat Immanuel Kant, kata saya pada mereka berdua, sambil makan nasi lemak yang gagal - pedas, pencerahan merupakan satu proses yang tak selesai. Dan ia sentiasa berterusan. Masyarakat pencerahan ialah masyarakat yang berasaskan idea. Wujud di dalamnya debat rancak dan matang tentang sesuatu perkara yang menjadi isu besar dalam tamadun, sekurang-kurangnya dalam lingkungan kecil seperti negara.

Entah mengapa mereka macam percaya buta-buta saja kata-kata ini. Maka saya semakin ghairah untuk bercerita. ``Pencerahan merujuk kepada kemunculan pemikir-pemikir besar dalam masyarakat.''

Samad tanya saya, dengan sokongan Guntur, ``Apa kaitannya dengan kedai kopi yang kau kata tadi?''

Saya juga percaya Jrgen Habermas. Selain tokoh-tokoh besar, pencerahan juga diisi oleh komponen-komponen dalam `ruang awam' yang berupaya memberikan pandangan umum terhadap sesuatu isu, suatu ruang yang dianggap paling independent, tanpa campur tangan sebarang entiti berkepentingan seperti kapitalis dan daulah. ``Ruang awam ialah macam ini,'' kata saya.

Waktu balik, kami singgah di Caltex beli akhbar. Hari-hari ada kempen suruh orang berhenti merokok. Tapi kami tak nak berhenti. Kami nak hisap rokok.

Waktu baca iklan itu, kami ketawa besar, kami percaya bahawa kami ialah orang yang tidak percaya pada teks lagi. Kami kenal penulis berita ini, dia wartawan junior di Utusan. Dia pun kuat merokok, avid dengan Gudang Garam. Dunia ini (dunia teks) ialah dunia terka-terka, dunia sipi-sipi, bukan yakin.

Tengah hari itu saya tidur hingga ke petang. Waktu jaga, saya sedar bahawa semua itu hanyalah mimpi semata-mata. Tetapi bagaimana untuk membuktikan bahawa sekarang ini bukan juga mimpi? Bahawa semalam betul-betul bukan realiti?

* * *

Kerana tak ada duit, saya abaikan makan malam saya hari ini. Dan untuk mengelakkan kelaparan, saya terpaksa tidur. Tapi mata saya sudah tidak terpejam. Sudah terlalu puas. Maka saya pun ke bilik Guntur dan buat-buat tanya, ``Air minum ada tak?'' dengan harapan dia ajak saya makan malam sama-sama.

``Ada,'' katanya.

Guntur suami isteri sedang bersiap nak ke kafe internet di Pantai Dalam.

Saya minta mereka print resume KUIM saya. Mereka kata ok. Motosikal RGX baru warna kuning hilang di jalanan.

Dalam bilik Guntur, saya cari alat kawalan jauh televisyen. Terasa nak main Winning Eleven. Sampai sudah tak juga diketemu remote itu.

Menonton saja. Namun, perhatian tidak juga terfokus. Saya memang lapar. Terasa nak lompat tinggi-tinggi bila nampak ada nasi dalam periuk elektrik Guntur.

Waktu pegang pinggan, saya jadi sedar, astaga, apakah saya lagi bermimpi?

Saya ketawa, ``Nampaknya aku sekarang berada di alam Matrix.''

(Waktu itu orang sudah berhenti memperkatakan tentang kekaguman mereka pada filem The Matrix. Harus diingat, saya adalah generasi trilogi The Matrix, walaupun The Matrix bukanlah filem sebenarnya).

Saya mula mempersoalkan hak saya, hak untuk memilih, hak untuk tahu kenapa memilih, apa yang dipilih.

Terimbas kata Oracle kepada Neo, dalam filem yang mendepani teknologi bullet time itu, ``Kamu datang ke sini bukan untuk memilih. Pilihan telah dibuat. Kamu datang ke sini hanyalah untuk mengetahui kenapa memilih?''

Saya pun seperti Neo, teks ini di Luh Mahfuz, siap ditandatangani.

Saya jadi ragu bahawa kehidupan bergerak linear; ia berputar sebetulnya - ke depan dan kemudian kembali ke belakang dan ke depan dan ke belakang. Hidup bukan garis panjang yang lurus; atau garis pendek yang lurus.

Sesudah makan malam yang lewat, saya hisap rokok, baring malas-malas depan televisyen. Waktu Guntur pulang, saya buat-buat lena. Terdengar dia kepoh-kepoh cari alat kawalan jauh televisyen. Saya buat-buat terganggu dengan semua itu, gesek-gesek mata beberapa kali dan pandang muka dia lama-lama. Mamai kononnya.

Saya fikir nak tanya dia, ``Cari apa?''

Sesudah dia menjawab, saya buat-buat pandai, dengan mudah mencupliknya dari bawah meja yang penuh dengan buku universiti dan nota kuliah.

Bagaimana saya tahu? Tentulah, semalam saya sudah mimpi.

``Apa termenung?'' tanya Guntur; sambungnya lagi (kepada Baiti, memperli), ``Mamailah tu.''

Baiti gelak.

``Kau cari apa?''

``Remote control. Ada nampak? Boleh main Play Station.''

Saya selamba gagau bawah meja teh. Gagau dan gagau. Astaga, memang tak ada! Nyata teks tidak pernah berulang, ia menyusun kehidupan secara linear, mem-puzzle-puzzle-kan sesuka hati.

Saya tak boleh percaya semua ini. Saya terus keluar dari bilik mereka dan masuk dalam bilik sendiri. Saya kena periksa kembali nota kelas falsafah, tentang interaksi akal-minda-alam (World 3) yang saya belajar di Studio Kurusatre.

Waktu saya buka zip beg nak ambil nota, Guntur datang panggil makan maggi. Dari alam surreal itu, saya terbangun. Benar saya bermimpi, hanya kerana terjaga di atas tilam?

Ya, ada suara perempuan memberi salam. Pastinya Baiti yang baru habis peperiksaannya di Universiti Malaya. Dia dan suaminya Guntur akan ke kafe internet di Pantai Dalam sebentar lagi.

Kedengaran pintu dibuka. Mereka bersembang. Betul. Saya belek jam dinding. Memang ini waktunya, sebelas malam. Tepat.

Saya akan keluar bilik sebentar lagi dan tanya mereka, ``Ada air tak?''

Saya masuk dan makan nasi dan main permainan video dan lepak di Restoran Yusuf hingga jam sembilan.

Semua ini akan terjadi. Ini ialah teksnya. Ia akan sentiasa berulang, dalam mimpi, dalam realiti.

Berulang.

Berulang.

Berulang.

Tidak, apa kejadahnya! Apa kata kalau kita pakat-pakat menafikan teks? Katakan saja saya adalah saya pada hari ini sahaja. Kita tidak terikat dengan masa dan ruang. Saya hidup kerana (tafsiran) fikiran saya hidup. Semua yang terpercik daripada indera, adalah tafsiran tipikal saya yang klise terhadap kehidupan, yang terganggu oleh sejarah dan memori. Biar sejarah dan ingatan diluputkan, hanya ilmu dan informasi terus-terusan ada.

Apa kata kalau hari ini saya tidak menjadi saya, sebaliknya pelakon Bollywood Shah Rukh Khan. Kenapa pula tidak? Saya nanti terbit, kata pada Guntur, bukan ``air ada tak?'' tapi, ``aku tau kau Jimadie. Pergi, jangan sentuh isteri aku! Nyahlah!''

Saya keluar dari bilik dan bertemu muka dengan jantan bajingan yang telah menyamar sebagai saya. Tatkala sedang menyusun kata-kata dalam hati, dia lebih dulu berkata, ``apa filem terbaru engkau?'' dan, ``Kenapa kau tinggalkan isteri kau ikut suka saja? Bodoh betullah engkau ni!''

Diam, mangu bodoh. Dia menambah, ``Tunggu sini kejap, aku nak ke kafe internet, cari artikel aku yang keluar dalam Mingguan Malaysia semalam. Kau dah baca?''

Soalan semudah itu pun saya tidak mampu lagi menjawabnya. Fikiran membeku. Teks macam elektrik. Ya, tuhan, mimpi (macam) apa ini?

Saya fikir nak masuk tidur dulu dengan isteri saya, esok bila jaga, saya faham saya hari esok tidak ada kena-mengena dengan saya hari ini. `Saya esok' adalah sarjana Karl Poper, yang yakin bahawa antara minda dan tubuh memang tak punya konflik, bahkan tetap saling berinteraksi antara satu sama lain.

`Saya lusa' adalah Samuel Backhett yang menulis Waiting of Godot yang sangat terkenal itu, demi menyelesaikan masalah hubungan minda dengan ruang, dengan lingkungan.

Selepas itu saya mati. Atom-atom di badan saya berpecah-pecah. Tenaga saya berpindah dari medium ke medium. Jadi haba, meresap ke tanah, ditukik ulat dan cacing, dimakan ayam, mati dan menjadi baja kepada tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran, dipetik manusia dan dimakan; akhirnya saya ada dalam setiap ruang depan. Memang tenaga, dalam teori sains tamadun mana pun, mustahil sesekali dapat dimusnahkan. Saya adalah tenaga yang membentuk alam. Saya ada ketika Adam ada. Saya ada ketika saya tiada - adalah hamba tuhan yang diperhambakan hamba tuhan.

Dalam bilik, saya dapati alat kawalan jauh televisyen saya hilang. Saya gagau bawah meja.


Klik untuk baca dalam Utusan Malaysia Online.

Beberapa cerpen pendek tentang korupsi

Oleh Mohd Jimadie Shah Othman


(Jalantelawi.com,
Oktober 2006. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar)


Ia perempuan Indonesia yang muda. Laki-laki gemuk dan sebatang cerut seribu setengah [ringgit]. Kepulan asap dan beberapa keping not besar di tilam.

Esok dia tidak pergi ke jabatan kerajaan tertentu dan memperoleh sekeping 'kad biru'.

Patriach melangsaikan malam dengan padat.

“Tuan, apa namanya yang ini?”

Perempuan muda itu menggosokkan tangannya ke perut buncit sang celaka. Ia kegelian dan ia tertawa.

“Kamu bukan saja seksi, dan suaramu juga,” bilang laki-laki itu—telah luruhnya daun biru di baju batiknya.

“Ini namanya naga,” kata Patriach sehabis lembut.

Perempuan muda ketawa lagi. (Benar, ia tidak perlukan kata-kata). Patriach gagau bawah katil, capai alat kawalan jauh dan matikan televisyen pelan-pelan.

Dan udara jadi puisi: Sebuah malam. Berjalan. Lautan dalam. Tiket. Oh!

Patriach buka butang bawah sekali baju perempuan itu, selongkar dan tarik kutang-kutang sampai putus talinya. Ia hembus nafas panas ke perut yang putih kemerah-merahan. Ada sedikit bulu-bulu halus hampir tidak kelihatan. Warnanya juga putih.

“Dan ini namanya telur naga,” kata Patriach lagi.

“Bukan,” kata perempuan itu.

“Ini namanya rasuah.”

Mukanya berpaling ke lain. Suaranya antara dengar dan tidak.

“Pukimak engkau,” ia menambah kemudiannya.

Bos

Bos aku lari ke—

Aku tidak dapat menamatkan cerita yang kutulis malam ini. Beberapa minggu lalu aku pulang ke Sydney menghabiskan sepuluh Mac yang berbahagian. Kami bertemu dan bernikah dan merasai betapa panasnya cinta yang menghanguskan dadaku.

Di sana juga aku tidak menulis, melancong ke Zoo Torongo atau berjemur Bondi Beach. Malam ini kami pulang seawal jam sepuluh, berusaha melahirkan anak dan selepas isteriku nyenyak dengan mimpi bergambar depan Opera House keesokan harinya, aku telah sarungkan jean dan kot hitam tebal pemberian bapa mertuaku.

Sayang, aku meluncur ke Melbourn. Dan itu tidak kukatakan padanya. Aku bertemu bos di—

Bos baru lepas bergaduh dengan isterinya, kerana itu mukanya masam. Dia memberikan skrip dan jadual kepadaku.

Aku keluarkan fail-fail dari pejabat dan kuberikan padanya. Dia membuka dan membelek satu persatu. Dia menunjukkan ini, ini dan ini. Ini ada, ini tiada, ini kau pernah tengok, ini kau tak tahu menahu dan ini tidak pernah wujud. Tidak pernah wujud, katanya. Padahal semua dokumen itu telah sedia ada.

“Di sini, sekarang ini, kita tidak pernah berjumpa. Sekarang, masa ini kau berada di kampung. Aku berikan kau cuti raya sepuluh hari dan kau tidak tahu aku di mana. Kau hanya berhubung denganku melalui Yahoo Masanger,” katanya lagi.

Bos aku itu orang aneh. Aku menulis kembali ceritanya menjadi cerita pendek. Ini merupakan ayat penghabisan dalam tulisan aku itu: Bos aku lari ke—

Aku print dan renyukkan manuskrip cerpen aku yang belum dijudulkan itu. Ada bau bos aku yang kuat dari dalam kocek seluar.

Meja

Kami adalah sekumpulan lanun. Kami berlayar beberapa tahun di lautan. Suatu hari, kami berlabuh dengan empat buah kapal besar dan 18 tongkang-tongkang kecil di pelabuhan. Kami telah terselamat dengan pertempuran dahsyat bersama Syahbandar Melaka. Orang tua kerajaan itu telah melepaskan yang lain dan membedil kita kerana kita lebih tamak daripada mereka. Kita bersumpah tidak menyerahkankan sebutir beras pun kepada mereka. Jika mahu, mereka boleh tinggalkan mohor istana dan keluar merompak bersama-sama. Tuhan telah menganugerahkan rezeki yang luas di lautan.

“Kopi,” kata kami pada pelayan perempuan di pelabuhan. “Mahu ikut saya ke kapal?”

Perempuan itu menjeling dan mencemik bibirnya.

“Syahbandar tua itu memang sial. Aku tau ada lanun Jawa bagi dia lima peti. Sebab itu dia kacau orang Melayu,” kataku.

Kami menikmati kopi di situ tanpa sebarang gangguan dan tiada siapa tahu bahawa pegawai kerajaan pertama di laut itu sudah lumat jadi makanan ikan bilis di samudera.

“Melaka akan tumbang. Pegawai kerajaan makan sogok. Satu hari mereka akan buka pintu kota,” jawab temanku.

“Kau tahu kenapa aku masuk geng?” tanya aku pada teman-teman. Sayup-sayup kedengaran bunyi bedilan dan kompang perang dari laut. Korupsi datang dari laut.

“Ibu dan kakakku tanam ganja di kampung. Walaupun permintaannya tinggi dalam pasaran tetapi kami terus tinggal miskin. Orang-orang kaya suka hisap ganja kerana ganja lebih murah dari candu. Selain cukai yang tinggi, daun-daun ganja itu percuma untuk orang-orang istana dan orang-orang kaya. Kakak dan ibuku menentangnya. Kerana itu mereka di bawa pergi orang-orang kaya. Istana memejamkan mata dan mengambil alih ladang ganja kami. Orang kaya mendapat kakaknya yang muda belia dan kekuasaan memperoleh ladangnya. Tidak ada pertukaran uncang tetapi ada pertukaran kepentingan. Ini juga rasuah bukan? Kerana itu aku mengasaskan kumpulan lanun ini,” terang aku panjang lebar.

Kami ialah lanun yang disegani dan mesra sekali. Ketika aku bercerita, orang-orang di kedai mula memasang telinga ke meja kami. Apabila mahu berangkat kembali ke kapal, kami tidak membayar.

“Walaupun kami lanun, maafkan saudara, hari ini kami kami meraikan kematian Syahbandar, kami tidak merompak, kami bercuti hari ini,” kataku kepada pekedai tersebut—si jelita 17 tahun yang suci dan bersih.

“Tuan yang mulia, tuan bercakap tentang korupsi di istana dan lautan, tetapi bagaimana dengan korupsi di meja ini? Siapakah yang berani membongkor?”

Si dara tadi ketawa.

“Ikutlah aku ke kapal, kau akan melihat korupsi yang lebih besar,” kataku.

Genderang perang makin mendekat dari lautan dari istana. Sultan sedang menghisap ganja.

Tuah

Ada kabar-kabar angin mengatakan Tuah telah menodai perempuan sultan. Skandal ini telah diheboh-hebohkan oleh mak andam istana negeri penyu. Cerita ini telah kupintal-pintalkan semula kepada gadis muda itu. Orang memanggilnya Inah. Suaranya tersepit dan tubuhnya gebu.

Teja perempuan muda cantik macam kamu. Dia sering menyisir rambut di Pantai Batu Burok tiap petang dengan beberapa orang pembantu. Di situlah orang ramai mengintainya hinggalah cerita kecantikan, ikal rambut dan redup matanya sampai ke pengetahuan sultan Melaka.

Inah membetulkan duduk, membelai rambutnya mengadap angin dan berkata, “begini Teja buat?”

“Benar,” kataku. “Cuba buat sekali lagi.”

Aku minta dua gelas Coke dari waiter dan menyambung cerita.

Tuah datang menggoda, berpantun-pantun seperti orang Melaka. Bertambahlah loya puteri negeri penyu itu.

“Muka tuan hamba dan penyu di pasir, cantik lagi binatang dua alam itu. Pulanglah tuan hamba kepada tuanmu yang berahinya bercabang itu, katakan padanya, tidak puaskah dengan gundik-gundik dan permaisuri seorang. Hamba ini tunangan orang. Cubalah tuan hamba sentuh sehelai rambut hamba, nescaya hancurlah seluruh Melaka diamuk kandaku Megat Panji Alam,” tegas jawab Teja dan menghina.

Terlalu malulah akan panglima Melaka itu dan terlalu hinalah rasanya. Mak andam negeri penyu dan pembantu-pembatu Teja ketawalah akan mereka terbahak-bahak. Tuah pulang ke persinggahannya seperti tiada berkemaluan lagi rasanya. Dia terbayang-bayang muka mak andam yang tua, berbaju kurung coklat.

Tetapi malam itu dia datang tanpa disedari dan Teja dengan rela hati menuruti. Teja telah menyerahkan keperawannya kepada hamba sultan Melaka itu, sedangkan Tuah itu hamba dan Teja itu mahu disunting untuk tuannya. Skandal ini dihebohkan oleh mak andam negeri penyu. Walhal malam itu, tatkala Teja hendak tidur, perempuan tua itu membawakan segelas susu bercampur tuju-tuju. Dia masuk ke biliknya dan mendapati Tuah telah berdiri dengan seuncang wang emas dari istana Melaka.

Inah memanndang dua gelas Coke yang baru sampai.

“Teja kena tipu macam you letak ubat kepak dalam Coke ni ke?” tanya Inah. Dia tertawa. “Mudahnya perempuan kena tipu,” katanya lagi.

Inah minum bersamaku. Perlahan-lahan Inah rasa lain. Dia melihat wajahku seperti Tuah, aduh alangkah segaknya. Dia membelai rambutnya seperti Teja dan dia mengikutiku masuk ke bilik.

“Sayang, ceritakan padaku penamatnya cerita Teja,” katanya manja.

Perasaan ingin tahunya melonjak-lonjak. Esok pagi ketika dia terbangun, dia lihat beberapa kepit not di atas dadanya. Inah masuk ke bilik air dan penuhkan tab mandi dengan air sejuk. Pintu ia kunci dari dalam. Tangisannya hilang pelan-pelan.

Inah jadi tragedi.


Cerpen ini juga boleh dibaca di http://jalantelawi.com/karya-cerpen.htm.

Monday, April 7, 2008

Raja Catur

Oleh Mohd Jimadie Shah Othman


(Siasah 2-15 Disember 2005, Kuala Lumpur: Tinta Merah.)


IA tak sebut check-mate dengan kuat. Dan ia dari awal memang tak ingin main. Namanya saya tahu. Abangnya Adam, juga kawan saya, pernah tergoda ‘buah larangan’, bersama Hawanya di syurga yang sengaja mereka cipta suka-suka. Akhirnya jauh dilempar ke bumi, dipisahkan tujuh lautan, tidakkan sama setitis kesedihan dari kesunyian.

Nama saya, saya tidak tahu. Saya selalu makan buah (catur) yang ia lagakan.

Papan catur itu asalnya perhiasan, dari kaca lut cahaya. Ia set yang cacat. Buah catur haram ditembus pandang. Apa yang di dalam dada adalah rahsia.

“Ia intrepetasi (politik) feudal.” Saya mengujar rakan tanding.

Ia tadi tak ingin main kerana tak sanggup mengingat bapanya. Ia anak yang dibuang keluarga. Ia selalu kesedihan. Esok bapanya datang dari Pendang, tempeleng dia dua tiga kali, samakan dia dengan abangnya yang pernah lari menikah di Golok, hinakan dia, justeru meludah terus ke ulu jidat.

Dia dihambat seperti anjing dan lari seperti tikus; masa depannya, matahari tertelan. Saya izinkan ia menangis seperti perempuan menangis. Asal saja tidak tewas kepada keputusasaan.

Nama saya, saya tidak tahu. Dan catur adalah permainan yang kejam.

Seorang raja, demi survivalisme, sentiasa memilih korban. Semua watak adalah watak sampingan.

Saya tinggal satu bishop di petak putih. Dia di laluan hitam. Selainnya, masing-masing dengan lima dan empat askar.

Ia diam dan menunjuk-nunjuk ke papan.

“Aku punya adik beradik. Aku punya empat,” kata budak yang berat mulut itu.

Tepat 2:34 pagi, saya menyerah. Saya pusing-pusing kepala raja dan saya terbalikkan ke papan.

Kerana itu ia gembira. Ia masuk ke bilik dan sejam selepas itu ia terjaga dengan sebuah panggilan telefon dari Alor Star. Seorang perempuan.

“Orang dah sampai. Abang chik sila datang.”

Ia bangun dan tertawa.

* * *



Umurnya 25. Malam ini ia tidur di katil orang lain, teman kami yang pandai kayu (dan elektrik-elektronik). Ia menghisap rokok dan fikirannya melayang-layang. Jika bapanya ambil balik ‘harta karun’ keluarga, halau lagi, dia ikut pergi, seperti Adam.

Di langit, bulan separuh masak. Apakah harapan memikul manusia sejauh itu? Budak itu, saya tahu namanya. Dan ia suka merenung.

Kami berkenalan beberapa bulan lalu di YMCA (Hostel) ketika sama-sama ikut berkursus kesetiausahaan. Saya seorang calon dan dia seorang ‘SB’ (pengurusan). Misinya satu, melaporkan pertelingkahan dan kejelekan kerjasama berkumpulan, dalam modul attitute sahaja.

Ia lama tinggal di Klang dan ia mandiri. Ketika kecil ia malas bersekolah dan tidak pandai bercakap Arab. Ia tidak diberi (apa-apa) ia tidak kisah, melainkan satu, yang bapanya tidak faham: Harapan! Nombor duanya, cinta.

Kemudian Adam pergi. Benar, mereka menerima kutukan di Langit dan di bumi.

Kami main dam setelah dua pusingan catur. Berfikir meletihkan kami. Bos saya tidur meniarap depan komputer lepas main daun pakau elektronik nama Solitaire. Ia tidak pernah menyentuh set permainan yang ia beli di Jalan Telawi, Bangsar Baharu ini. Ia kerja kuat dan ia keletihan.

Esok dia minta saya ke Bukit Damansara. Bila jam berusia, saya ragu tidur lagi. Esok saya kena berpagi-pagi. Juga lawan main saya. Ia asyik mengelamun. Ia bayangkan bapa dan rakan kongsi syarikat mereka di lebuh raya Utara-Selatan. Kereta mereka rosak dan lambat tiba. Ia susah hati. Ia kemudian membaca novel cinta dengan kedudukan terbalik di katil.

Dalam biliknya ada empat lagi. Ia nyata suka imaginasi. “Itu eskapisme,” kata saya. “Hasil kerancauaan peribadi.”

Sukma kecilnya berantakan, yang seperti tanah sesudah dibantai perang.

Ia diam, tidak mahu berkaca. (Saya rindu pembantu rumah kami dua tahun lalu. Elly namanya. Orang Pekan Baru, Medan–menantu keluarga Jambi-Minang. Sekarang bekerja angkat pinggan, lap meja makan di Putrajaya. Dua anaknya Benny dan Syerly cantik dan bijak sekali.)

Malam ini saya tidak tidur kerana ingin menulis. Imaginasi saya sering terganggu dengan lagu Inggeris dengan pelat yang sukar difahami dari corong radio. Kepala saya berpintal-pintal, culang-caling tak tahu mana realiti, mana yang fiksi-imaji.

Saya bayangkan masa kecilnya sekejam ‘harimau Kung Fu Tze’ (kata orang tua bijak itu, “kerajaan yang zalim lebih bahaya daripada harimau buas.”), seperti yang pernah saya lalui. Puluhan tahun saya juga tidak pernah bahagia.

Ia pernah tewas dan mendesup bersama orang gelendangan, tetapi tidak saya. Jadi celaka bukanlah pilihan.

* * *



Bapanya tiba, bercakap kuat-kuat pelat Alor Star.

“Ini permainan orang kafir,” suaranya tersulam oleh bunyi bang dari Masjid. “Kalau kau nak main juga, kepak (patahkan) kepala dia,” kata sang bapanya.

“Kalau kau tak kepak, kau simpan juga kayu palang dalam rumah aku, aku kepak kepala kau.”

Teman saya takut membuka pintu. Selepas solat Subuh yang tertunda 32 minit, ia duduk membelek-belek biji catur. Ia pegang kepala raja, ia usap pelan-pelan. Ada bonjolan seperti balung ayam sabung. Ia sungguh dalam dilema: Kepak atau tidak kepak?

Kepak atau tidak kepak atau kepak atau tidak kepak?

“Pertanyaan-pertanyaan tentang cinta adalah pertanyaan-pertanyaan yang tak terjawabkan.”

Ia seperti mendengar suatu suara dari dinding atau dari papan (catur).

“Kenapa saya berdosa?” Pertanyaan itu melegakan perasaannya, walau barangkali tak ada jawapan.

“Kerana engkau anak bapamu dan ibumu dan adik kepada abangmu yang memilih (membuat) pilihan.”

Ia fikir ia celaka, terpasung dalam 64 kotak hitam putih, 30 bidak berlaga-laga dan dua orang raja. Di mana nilai hidup yang meriah (colourfull)? (Permainan bermula dengan gerakan E4.)

“Buka pintu, aku nak ambil kunci. Rumah panas,” kata bapa. Bila lambat sikit, dengan gelojoh tendang daun pintu.


Yang kelihatan cuma sepapan catur dari koleksi hiasan. Dua set seperti biasa–lut sinar dan lut cahaya. Masih 64 kotak tersusun rapi. 32 putih. 32 hitam. Seperti biasa: 30 bidak berlaga-laga dan dua raja!

Dua.

Dua.

Yang putih kepalanya patah kena kepak. Dan kesemua 17 biji bala tenteranya, tiap satu terukir seperti wajah manusia yang seakan-akan kami kenal. Demi Allah, ia mirip teman saya. Mirip benar.

Set hitam seperti biasa tak ada cacat celanya, melainkan satu: Hitam! Cuma rajanya, yang asyik hendak diserang dan ditawan pasukan putih itu sebenarnya hanya sekeping syiling satu sen. Itu pun terbalik. Gambar parlimen di bawah, muka nilai di atas. Iya, maharaja hitam menjelma sekeping Wang Tanda dari kekuasaan tuhan.

Saya belek, iya, ini dongeng macam mana raja catur boleh jadi sen. Itu sungguh saya hairan. Ia ringan dan kecil tetapi bersalut kulit laksana mas.

“Itu ialah raja jadi jadian,” saya cuba memancing akal orang tua tua.

“Dia dah kepak kepala,” menunjuk-nunjuk seperti tidak kepada manusia. Dan ia, tidak menghiraukan statmen dan mempedulikan perasaaan dan keghairahan anak muda seperti saya.

“Apa?” Dalam garau angkasa tergaru ribut, atap ayan dicakar hujan, saya paling ke wajah pak tua. Dan basah nako-nako, tatkala ditikam cahaya guntur, memancarkan biasan laksana kepala syaitan.

Ia tidak punya kepala. Ia tidak punya... kepala! Ia seperti sekerat khuldi (buah dari pohon larangan) Adam dan Hawa di syurga. Seperti telefon bimbit abang teman saya yang membingitkan Mozart edisi-versi polifonik.

“Adik bertuah kau ada situ?”

Pak cik tua itu, matanya seperti bulan yang sering ditenung.

Abang teman saya itu, tidak ia sebut dengan nada sungguh-sungguh keras, “Check-mate.”

Sunday, April 6, 2008

BACA DORAEMON PUN SALAH?

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

(
Mingguan Wasilah, 5-11 April 2007)

Versi dalam Mingguan Wasilah menggunakan judul "Baca Doraemon Pun Salah" (tanpa tanda soal). - Penulis

FITNA hanya sebuah filem pendek tidak sampai 15 minit. Ia disiarkan melalui Internet di laman web Liveleak.com oleh ahli politik dan perundangan Belanda, Geert Wilders. Wilders barang tentu bukanlah pemain atau tonggak penting dalam industri ini, tetapi kesannya, seluruh dunia Islam memberontak daripada Pakistan sampai Indonesia. Soalnya, apakah yang mendorong protes aksi sebesar ini? Jawapannya hanya satu: Emosi. Justeru, tidak hairan kalau orang yang turun memprotes dengan ancaman darah buat politikus Belanda itu sendiri tidak pernah, walau sedetik menonton filem penuh kontroversi itu.

Di Malaysia, dalam konteks yang berbeza, bukan saja karya seni, bahkan alat-alat intelektual seperti buku, majalah, hatta komik kanak-kanak menjadi mangsa aksi ini. Agak aneh, percayakan anda kalau penulis katakan, dalam sejarah “politik haram-mengharam” di negara kita, sebuah komik juga pernah menjadi korban kerakusan ini? Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam Kali ke-69 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada penghujung Jun 2005. Kali ini, Karya bapa komik Jepun Fujio F. Fujiko yang diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul Doraemon: Kisah Penciptaan Dunia turut menjadi mangsa. Benar, ia hanya sebuah komik Doraemon.

Terbaru, penghujung Februari lalu, sebelas buah lagi buku masuk dalam daftar ini. Antara buku-buku tersebut adalah The Two Faces Of Islam: Saudi Fundamentalism and It's Role in Terrorism oleh Stephen Schwartz dan Qur'an and Women Rereading the Secrets Text From Woman's Perspective (Amina Wadud). Tidak terkecuali tiga buku dalam bahasa Melayu iaitu Amalan Kemurahan Rezeki (Lifa Karimah), Rahsia Jalan Yang Lurus (Al-Mustaqim) dan Islam & Pluralisme oleh (Al-Mustaqeem Mahmood Radhi dan Khairul Anam Che Mentri).

Mengikut salah seorang penyusun/ pengarang buku-buku ini, Al-Mustaqeem Mahmood Radhi, pengharaman yang dibuat dilihat sebagai sebuah langkah yang bercanggah dengan semangat keilmuan dan kemajuan yang ingin diserapkan melalui projek Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 2003, ketika Abdullah mula mengambil alih pentadbiran daripada Perdana Menteri sebelumnya, beliau menjanjikan sebuah atmosfera politik yang terbuka dan lebih toleren. Selain itu, beliau menyuarakan hasrat mendengar masalah rakyat dan mengambil serius komen dan pandangan-pandangan umum. Ironinya, beberapa tahun sesudah itu, ruang demokratik menjadi lebih kecil.

Atas kecenderungan inilah, penulis fikir tradisi keilmuan kita tidak berkembang pesat. Dibandingkan dengan negara jiran Indonesia sahaja, ibarat langit dan bumi. Kekuasaan politik mencengkam ruang-ruang lain dengan sangat rakus termasuk kebudayaan dan akademik. Bukan saja dalam hal ini, cakap-cakap tentang budaya korup ilmu ini didengar dalam pelbagai kes seperti lantikan Naib Canselor sampai isu plagiarisme di menara gading.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum, budaya dan agama, saling tidak mengerti boleh menjadi bom jangka yang amat merbahaya. Di saat budaya keganasan menjadi budaya di mana-mana belahan dunia, upaya yang tinggal untuk kita adalah saling memahami antara satu sama lain dengan mencari nilai-nilai bersama yang boleh kita pegang, bukan sebaliknya, menggeledah perbezaan, kemudian melahirkan perang.

Dalam Islam, tradisi intelektual dan proilmu pengetahun amat dipandang tinggi. Wahyu pertama juga bermula dengan perkataan iqra’, maksudnya, “bacalah.” Dan “bacalah” itu tidak sekadar bermaksud baca, tetapi juga “kajilah, fahamilah, analislah”. Dengan memahami iqra’ inilah kegemilangan Islam, dalam sejarahnya boleh berlaku. Di Eropah misalnya, jika tidak ada Ibnu Rush, sudah barang tentu tidak ada siapa lagi yang mengenal Aristotle. Jika tiada Ibnu Sina dan Ibnu Arabi, tiada lagi yang mengenal Socrates dan Plato. Di zaman globalisasi ini, pencairan ilmu sedang berlaku dan dialog menjadi sesuatu yang tidak terelakkan.

Melihat kes-kes pengharaman di Malaysia bukan saja bersifat antiintelektual, kadangkala juga amat melucukan dan humor sekali. Penulis bimbang ia menjadi projek pembodohan yang terancang. Di ruangan-ruangan blog misalnya sebuah unjuran menarik dibuat. Beberapa blogger mencadangkan sebuah kempen anti pengharaman buku. Ia dikenali sebagai “Sapare Aude: Jangan Haramkan Buku!” Kempen ini mengambil semangat zaman Pencerahan di Eropah. Perkataan Sapare Aude itu sendiri membawa maksud “berani untuk tahu”, dicuplik daripada esei terkenal pemikir besar Pencerahan Imanuel Kant, Was is Aufklarung (Apa itu Pencerahan).

Pemimpin Barisan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggelarkannya sebagai lazzatul makrifah atau ghairah dan berahi kepada ilmu dan pengetahuan.

Bagi beliau, adalah lebih wajar diperkenalkan undang-undang kelas melarang cercaan terhadap Allah dan Rasul, bersedia berwacana secara ilmiah, bukan sikap bebal, pantas menghukum atau mengharam sewenangnya.

Menurut beliau lagi, “seandainya kita yakin dengan kebenaran Islam, kita harus bersedia berhujah dengan hikmah.”

Sewaktu masih dalam kerajaan, beliau merupakan orang kuat yang menyokong usaha diolog antara tamadun di Malaysia.

Berbeza pendapat adalah lumrah dalam masyarakat berbudaya. Perselisihan ulama-ulama terdahulu dilihat lebih serius. Dalam kes Al-Ghazali lawan Ibnu Rushd adalah contoh dan model terbaik kita menangani permasalahan ini. Ketika Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali menulis Tahafut al-Falasifah (Kerancauan Ahli Falsasah) yang menempelak ahli falsafah sehingga lumpuhnya tradisi falsafah dalam dunia Islam, Ibnu Rushd membalasnya, juga dengan sebuah karya besar Tahafut al-Tahafut (Kerancauan Kitab Tahafut al-Falasifah), menjawabnya dengan serasional mungkin, tanpa emosi, apatah lagi mengharamkam atau bakar-membakar. Tetapi tidak ramai yang mahu mengambil pelajaran. Akibat kemalasan, jalan mudah dengan cop haram dilekatkan di dahi-dahi pengarang.

Penerbit Middle Estern Graduate Centre (MEGC) yang menghasilkan Islam dan Pluralisme mengambil inisiatif mengeluarkan siaran ahkbar memohon penjelasan pihak berwajib. Tidak cukup dengan itu, sepucuk surat dihantar ke Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) untuk itu. Malangnya, sehingga artikel ini ditulis, jawapannya masih sepi. KKDN nampaknya selesa dengan sebaris penjelasan “ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam” yang dibuat oleh Setiausaha Bahagian Kawalan dan Teks Al Quran, Che Din Yusoh seperti dilaporkan Bernama 29 Januari lalu.

Jika kerajaan masih mengambil jalan mudah menuduh tanpa mengemukakan hujjah-hujjah rasional, sudah tentu kepercayaan rakyat terhadap ketelusan badan berwajib dalam soal ini akan terus dipersoal dan menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat. Sehingga saat artikel ini ditulis juga, telah lebih 500 material menjadi mangsa tindakan ini. Antaranya termasuk juga sebuah kemeja-T bertulis “Subhana” dalam tulisan Jawi yang dikilangkan di Thailand. Tetapi jika “Subhana” ini ditulis dalam tulisan rumi, ai dibolehkan.

Begitu juga dengan buku Fiqh Wanita: Refleksi Kiai Atas Wacanan Agama dan Gender tulisan Husein Muhammad yang diharamkan tetapi Fiqh Wanita: Pandangan Ulama Terhadap Wacana dan Gender, buku yang sama tetapi dalam versi bahasa Melaysia tidak pula dilarang. Di sini saja kita dalam lihat ciri-ciri ‘kemalasan’ pihak berwajib kita ketika menjalankan tugas mereka. Dan di sinilah punca wujudnya ‘keraguan’ rakyat.

Cuba lihat koleksi Doraemon anak anda. Kalau ada Doraemon: Kisah Penciptaan Dunia, bersedialah untuk ditangkap, dikenakan tiga tahun penjara atau denda RM 20,000 atau kedua-duanya sekali!

Monday, March 31, 2008

PEMBELAJARAN BERKESAN UNTUK MEMAHAMI BAHASA ISYARAT

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN


(Dewan Bahasa, April 2008. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.)


Di bawah adalah tulisan asal tanpa suntingan. Artikel di Dewan Bahasa menggunakan judul lain. - Penulis


"Jika diberi pilihan antara pekak dan buta, saya akan memilih menjadi buta." – Helen Keller (1880-1968)

PERSOALAN bahasa isyarat bukanlah persoalan bahasa per se. Ia juga melibatkan aspek-aspek lain yang berhubung langsung dengannya. Oleh itu, apabila berbicara soal bahasa isyarat, kita tidak boleh mengabaikan pandangan dan realiti daripada disiplin psikologi, pengamalan dan budaya orang Pekak sebagai pengguna utama bahasa ini.

Seperti kita sedia maklum, sekolah pekak pertama di Malaysia, FSD hanya ditubuhkan pada 1954, lebih 20 tahun sesudah orang buta mempunyai sekolahnya sendiri. Selain itu, kecacatan orang pekak boleh disifatkan sebagai "kecacatan yang tidak kelihatan". Kecacatan orang buta misalnya boleh dilihat melalui tongkat putih, orang lumpuh melalui kerusi roda tetapi bagi orang pekak, sekali pandang mereka kelihatan 'normal' seperti orang lain. (Bahasa yang tepat bagi perkataan 'normal' mengikut kebudayaan Pekak adalah 'bukan pekak.') Oleh sebab itu, dunia ini amat berkait rapat dengan persoalan psikologi. Mengikut penulis, aktivis Pekak-buta terkenal Helen Keler, seperti dipetik di atas, menjadi pekak menyebabkan seseorang itu merasa tersisih daripada masyarakat.

Pada mulanya, pendidikan di kalangan orang Pekak diaplikasikan tanpa mengambil kira pandangan orang pekak sendiri. Pada masa itu masih sikap prejudis terhadap warga kurang upaya (OKU) ini masih menebal. Bapa falsafah Aristotle sendiri pernah mengatakan bahawa sesiapa yang tidak boleh bertutur tidak boleh diajar. Kata-kata ini bagaikan 'sumpahan' kepada orang pekak selama ribuan tahun.

Pada mulanya, British melalui Pesuruhjaya Tingginya di Tanah Melayu memperkenalkan kaedah oralisme. Maksudnya kanak-kanak pekak terpaksa (atau dipaksa) bertutur dan membaca bibir. Mereka juga dibantu oleh alat bantu pendengaran. Tetapi sesudah merdeka, kita sedar bahasa pendekatan ini adalah salah dan tidak lagi digunakan di negara-negara maju. Pendidikan dengan kaedah ini tidak mencapai hasil yang memberangkan.

Justeru itu, sekitar 1960-an, Kementerian Pelajaran telah mengubah pendekatan pembelajaran daripada pendekatan oralisme kepada bahasa isyarat. Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) diperkenalkan dan guru-guru pendidikan khas dilatih menggunakan kod ini. Inilah 'kesilapan' pertama Kementerian Pelajaran. KTBM sebenarnya bukanlah bahasa isyarat. Ia cuma sesuai digunakan khas untuk pelajar pekak mempelari bahasa Melayu, dengan struktur dan gaya bahasa tersebut. Kod ini setaraf dengan Sign Exact Eglish (SEE) untuk mempelajaran bahasa Inggeris dan Kod Jawi untuk mempelajari Jawi. Kod tangan bukan bahasa iyarat.

Kesannya bukan saja orang bukan pekak, orang pekak sendiri juga gagal menguasai bahasa isyarat sebagai bahasa ibunda mereka dengan baik. Di luar daripada bilik darjah, kod ini menjadi tidak relevan. Bahasa standard orang pekak adalah Bahasa Isyarat Malaysia (MySL), tercipta berasaskan pengamalan dan kebudayaan orang pekak di Malaysia sejak berkurun lamanya.

Perkembangan mutakhir menunjukkan perkembangan memberangkan dunia bahasa isyarat. MySL telah diterima sebagai bahasa rasmi orang Pekak di Malaysia di Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran melalui sebuah seminar pada 2004. MySL juga disepakati oleh persatuan-persatuan orang pekak dan diselaraskan menjadi sebuah bahasa standard. Kerajaan juga melalui Ucapan Bajet 2007 telah memperuntukan sejumlah wang yang amat besar sebanyak 12.1 juta untuk melatih seramai mungkin jurubahasa isyarat dan memperluaskan penggunaan bahasa ini. hasilnya, sehingga pengghujung 2007, belum sampai setahun sejak projek ini dijalankan (melalui Pusat Latihan Bahasa Isyarat Malaysia) bermula Mac tahun yang sama telah berjaya melatih lebih kurang 500 hingga ke 600 penjawat di sektor awam menguasai bahasa ini.

Menariknya, pembelajan di sini telah mengaplikasi konsep baru berinteraktif komputer yang dinamakan e-MySL. Aplikasi ini menawarkan merupakan kamus maya yang sangat komunikatif dan berbeza sama sekali dengan versi-versi terdahulu di mana-mana pun. Perisian ini memaparkan imej asli (bukan animasi) untuk setiap perkataan dan ayat menggunakan model orang pekak sendiri. Ia juga mempunyai fungsi seperti mememainkan semula isyarat, set menu mudah, fungsi carian dan gambaran 360 darjah untuk setiap isyarat. Kesahihanya tidak diragui kerana setiap perkataan dibina berdasarkan Kamus Bahasa Isyarat rasmi dan standard yang dikeluarkan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) sebuah badan di peringkat kebangsaan yang menyelaraskan MySL.

Perisian ini dibekalkan oleh Ocean Eyes Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang memfokuskan visinya untuk menjadi peneraju dalam bidang ini. Menariknya, sistem-sistem canggih dan terkini ini merupakan yang pertama seumpananya di dunia dan mempunyai prospek cerah agar Malaysia suatu hari nanti boleh menjadi negara peneraju dalam indusri pendidikan bahasa isyarat. Perkara ini pernah ditimbulkan oleh Timbalan Menteri Kewangan 2, YB Dato' Dr. Ng Yen Yen November tahun lalu ketika merasmikan penubuhan MySL TC. Mengikut beliau, memandangkan kepakaran dan potensi kita di rantau ini, beliau berharap suatu hari nanti Malaysia boleh mengekport kepakaran sebagai 'komoditi' baru ekonomi negara.

Dalam masa yang sama Kementerian Pendidikan Brunei telah menunjukkan minat terhadap pendekatan sebegini. Program ini bukan saja sesuai untuk orang pekak tetapi bukan pekak yang tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang ni. Kita berharap situasi seperti kes Al-Quran Braile suatu ketika dulu tidak berulang kembali. Dalam kes tersebut, Al-Quran Braile bahasa Melayu yang dihasilkan di Malaysia, digunakan di Brunei terlebih dahulu.

Situasi mutakhir menunjukkan perkembangan positif dan progresif terhadap hak-hak berkaitan OKU, orang pekak khasnya, suatu "pendekatan baru yang pelik" berbanding suatu ketika dulu yang lebih menekankan aspek sosio-ekonomi dan pendidikan. Dalam komuniti ini, hak utama mereka adalah untuk berkomunikasi dengan lingkungan dan persekitarannya. Perkembangan positif juga boleh dilihat daripada aspek undang-undang dan polisi di mana Draf Undang-undang OKU telah dibentangkan dan diterima sebagai rang undang-undang pertengahan September lalu . Tetapi tanpa kesedaran daripada rakyat sebagai rakan komuniti untuk mempelajari bahasa isyarat, semua ini akan tinggal sia-sia dan tidak bermakna. Seperti Helen Keller, mereka berkira-kita menjadi buta.



Nota

Perkataan "Pekak" dengan huruf "P" besar merujuk kepada kepekakan daripada aspek kebudayaan (culuturally deaf). Dalam bahasa Inggeris biasanya dirujuk sebagai "Big D Deaf" untuk membezakannya dengan "pekak" sebagai sifat, pekak mengikut takrif perubatan. Ahli-ahli dalam komuniti ini boleh merangkumi orang pekak, ibu kepada anak pekak atau sebaliknya, jurubahasa isyarat dan aktivis pekak.