Thursday, March 27, 2008

IMAN, KATA TANGAN-TANGANKU

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN


Mingguan Wasilah, 30 Mac - 5 April 2008


IA sesungguhnya hari yang paling cemerlang. Langit bagai gubahan. Dan gunung-ganang dan gema sukma di kota Ibrahim. Dalam kisuran pasir, awan-awan di kepalanya, Muhammad berbicara tentang iman. Dia membacakan bait-bait suci daripada Tuhan penjaga tiga kota Langit: Mekah, Madinah, Jerusalem.


Sekonyong-konyong muncullah laki-laki mustad’afin yang buta. Tiba-tiba Muhammad pun memalingkan wajahnya. Tuhan pun murka dan memerintahkan Jibril firman dan teguran kepada nabi akhir zaman.


“Nabi...”


Perkataan saya terkulum dek soalan wanita pertengahan umur 30-an yang gelojoh itu.


Surah apa? Ingat tak? Ayat apa?” soalnya.


Ada 6000 lebih ayat dalam al-Quran. Mustahil untuk saya mengingatnya, lainlah kalau...”


Ada berapa orang kesemuanya pembesar jahiliah itu?” soalnya lagi.


Dia mengenakan baju kurung motif bunga-bunga kecil dan tudung warna pasir. Kaca matanya agak besar dan tidak bersegi.


Saya tidak tahu,” jawab saya lagi.


Orang buta?”


Saya tidak tahu.”


“Berapa kali nabi tak endahkan dia?”


Salimah, saya tidak tahu.”


Saya ulang jawapan yang sama. Rasa malas menjawab.


Yang ingin saya sampaikan tetapi tidak kesampaian adalah: Muhammad, nabi dan rasul yang maksum itu bertaubat sesungguhnya dan seribu kesalan naik ke langit.


Saya pesan satu lagi teh ‘o’ ais. Isyarat untuk minuman ini adalah seperti berikut: (1) genggam separuh tangan kiri, (2) temukan ibu jari dan jari telunjuk kanan. (3) gerakkan atas dan bawah macam sedang mencelup uncang teh kemudian (4) rapatkan kedua belah tangan ke dada dan getarkan ia macam sedang sejuk.


Wan senyum. Perempuan pelayan yang pekak itu, dia selalu ramah dengan saya. Dia memuji-muji peningkatan prestasi isyarat saya.


2

Saya dan Salimah, kami bertemu Ogos lalu. Kurang lebih setengah tahun. Dan kini bersumpah demi langit, gunung-ganang, buah tin dan zaitun ingin jadi Fatimah dan Ali. Perempuan itu, dia tua tujuh tahun daripada saya, tidak cantik, mukanya berbentuk segi empat.


Tetapi saya fikir, kami pasangan yang sungguh ideal. Dia bermazhab Syafie, saya juga. Dia ustazah, saya ustaz. Pensyarah muda itu dan kini sedang menyelesaikan kajian doktoratnya berkaitan kefahaman agama di kalangan orang pekak, orang mustada’fin, orang lemah, yang, kepada wajahnya, Muhammad memalingkan pandangan. Saya pula seorang jurubahasa isyarat untuk golongan istimewa ini. Bidang kami berkait langsung antara satu sama lain. Inilah takdir, demi langit, gunung-ganang, buah tin dan zaitun.


Ogos itu adalah Ogos yang luar biasa. Bertemu secara kebetulan dalam sebuah seminar di Johor Bahru menjadikan kami seperti terikat secara fizikalnya. Saya terpaksa mengembara bersamanya mencari orang-orang pekak untuk diinterbiu. Selama itu saya menjadi lidah dan suara perempuan ini. Saya terjemahkan kata-kata daripada Bahasa Isyarat Malaysia (MySL) kepada bahasa Melayu. Juga sebaliknya.


Muhammad bertaubat, Salimah,” kata saya.


Saya lihat wajahnya jatuh ke atas kertas, menggaris-garis sesuatu dengan pen hitam dakwat cair. Salimah tidak berkata-kata. Gurisan pena itu tiba-tiba menjadi sangat absurd.


3

Kata Salimah, yang sering saya panggil Imah, macam duit syiling, dunia ini macam duit syiling. Ada dua bahagian saja: Sing-kong, bunga-parlimen. Dunia ini, apa pun dalam dunia ini, cuma dua. Baik-jahat, hitam-putih, syurga-neraka, syaitan-malaikat, katanya.


Saya kata, “tidak.”


Salimat tidak melihatnya betul-betul. Ada sedikit ruang yang amat sempit di antara kedua-dua belah muka. Jika tidak, duit akan menjadi tajam seperti pisau.


Oleh kerana kelainan corak pemikiran ini, olah fikir kami beda. Jalan saya abstrak. Saya guna sebelah otak kanan. Manakala kekasih saya itu lagak analatikal, kehidupannya berorientasikan nombor. Oleh itu, selepas tamat belajar, saya tidak menjadi ustaz. Saya menceburkan diri dalam pelbagai bidang daripada kewartawanan, pengurusan, politik, kesukarelaan, perubatan dan kini kejurubahasaan. Salimah memilih jalan yang lumrah, memilih klise. Menjadi agamawan, membaca kitab, mencari data, merumuskan; mereka melakukannya bertahun-tahun. Kemudian terlupa bahawa ada yang perlu dilangsaikan, bernikah dan punya anak. Maksudnya tiga, berkeluarga, bermasyarakat, bersosial.


Inilah punca, asal jadi seluruh masalah kami. Perpisahan pelan-pelan menjadi tragedi pada awal Muharam ini. Sudah berapa kali saya mengingatkan dia, walau dalam jenaka separuh, “Muharram dilarang berperang.”


Namun malangnya, “Muharram dilarang berperang” telah menjadi tiga perkataan terakhir yang memecahkan sumpah dan janji. Demi langit, gunung-ganang, buah tin dan zaitun.


4

Saya fikir, kajian ini lagha dan sia-sia.


Kita telah melakukannya bertahun-tahun sayang,” kata saya kemudian menyambung lagi, “tetapi tak ada sebuah kitab fikh pekak pun ditulis dalam dunia ini sedangkan orang buta, pekak, cacat telah wujud sejak sebelum zaman nabi lagi.


Awak nak saya palingkan wajah saya macam nabi dulu. Kalau nabi, dia maksum, insan terpilih, Tuhan tegur dia dengan ayat Quran. Kalau kita, awak ingat Tuhan dak boleh bagi tsunami, ribut taufan, bird flu?”


Salimah, awak tak sedar kita dah ‘sesat’? Kita sedang pusing dalam bulatan, dalam tempat yang sama. Mula-mula awak buat kajian penguasaan agama di kalangan orang pekak, kemudian awak buat pula fasal kanak-kanak pekak, lepas tu warga emas pekak. Bila semua ni nak habis? Awak nak buat apa dengan nombor-nombor ni semua? Kita tak buat apa-apa dengan benda ni,” kata saya.


Kalau awak pandai awak buatlah. Sudah berapa kitab fikh pekak awak tulis?


Wajah cinta kami mengabur. Salimah tiba-tiba di mata saya menjadi menjadi orang lain, orang yang seolah-olah tidak pernah saya kenal, orang yang sangat asing.


Saya tarik nafas panjang, beristigfar dan naik ke pejabat di tingkat empat. Saya tanggalkan kasut, ambil wuduk dan solat Asar.


Salimah saya tidak tahu. Ketika saya memaafkan dan harap dia pun begitu, saya dapati pensyarah di sebuah kolej universiti di Terengganu itu tiada lagi di Deaf Cafe. Saya sapu ibu jari di pipi berdekatan mulut dua kali. Mata saya lemparkan kepada remaja perempuan pekak di kafeteria ini. Wan namanya. Senyumannya manis menggula. Wan kemudian langsung tunjukan jadi telunjuk dan goyang ke kiri dan ke kanan.


Kenalan yang saya anggap teman ini buat isyarat macam menjemput sesuatu, genggam dengan tangan kiri dan tarik keluar. Sebelum itu dia cantumkan semua jari dia macam angka kosong dan goyang-goyang.


Maksudnya: Tak ada. Sudah keluar.


Wan tidak mendengar. Tapi saya pasti dia sedar apa yang terjadi. Muka yang selalu tersenyum itu kelihatan serius. Amat serius.


5

Kenapa Muharam dipanggil Muharam?” tanya saya.


Salimah diam. Kami punya masa senggang yang agak panjang. Kami masing-masing bercuti seminggu untuk menguruskan penghantaran tepak sireh daripada rumah lelaki ke rumah perempuan. Kemudian cincin belah rotan mengiringinya.


Cuti itu, Salimah “melapangkan dada, mendinginkan kepala” merevisi semula kajiannya. Saya juga mengambil peluang merenung kembali pergolakan intelektual tentang komuniti ini dalam kepala saya. Sesekali cuma memahami apakah ribut ilmu yang juga ada dalam tempurung kepalanya?


Muharam ertinya haram, ertinya larangan. Dari dulu lagi Arab jahiliah pun tak berperang dalam bulan ini,” kata saya.


Kita tak berperang. Kita ada ada bom dan kereta kebal,” jawab perempuan cuba berlucu.


Apabila berlalunya 30 Muharam, saya luahkan segalanya kepada puteri negeri penyu itu, “saya sebenarnya benci dengan ilmuan di menara gading yang terperangkap dalam angka, graf dan nombor. Di dunia realiti awak akan dapati semua itu jarang berguna. Realitinya ada sekurang-kurangnya 30,000 orang pekak di Malaysia dan majoritinya tidak mahir bahasa Melayu persuratan, tidak berkomunikasi dengan masyarakat kebanyakan, tidak faham agama. Ketepikan angka 30,000, kalau seorang pun saya kita sudah malang.”


Agak panjang luahan hati saya. Maka diam Salimah menjadi dalam amat dalam.


6

Awal Muharam 1429 tahun lalu nabi pun meninggalkan kota Ibrahim menuju ke Yathrib. Kemudian Yathrib pun berubah menjadi Madinah, kota yang bercahaya. Rombongan itu, banyaknya anak-anak yatim, fakir miskin, hamba abdi, orang-orang sakit, orang cacat, golongan mustad’afin. Jumlah mereka amat sedikit tetapi berbahagialah orang-orang yang sedikit.


Di meja kopi, hanya saya yang berceloteh. Tiga lembaga lagi diam. Kemudian saya terus bercerita tetapi keadaannya tetap sama. Aneh, saya punya keluarga yang sangat pendiam. Saya lihat Salimah seperti tidak selesa. Sesekali dia pandang adik perempuannya yang menangis diusik adik laki-laki sembilan tahun saya yang pendiam tapi amat nakal.


Ayah dan ibu, mereka sering tersenyum tanpa kata-kata. Salimah rasa kekok tetapi ini hanyalah sementara. Dia akan terbiasa.


Ibu kemudiannya menyediakan makan tengah hari kepada kami. Salimah membantunya. Ayah menonton televisyen tanpa membuka suara, saya membaca, adik-adik kami, seorang asyik mengusik, seorang lagi pula asyik menangis. Saya lihat butiran peluh timbul daripada dahi Salimah. Saya faham, rumah kami panas dan daif. Tidak ada kipas besar atau pendingin hawa. Atapnya zink.


Namun semua itu tidak menjadi debaran kepada perempuan Terengganu itu. Salimah, dia perempuan indipenden, selalu berusaha merungkai sendiri daripada bertanya. Tetapi pada hari ini, setelah beberrapa jam di sini, dia akur.


Salimah, tiga orang Pekak dalam suatu rumah sudah membuatkan kita rimas. Masalah orang pekak tak ada kena mengena dengan angka kan?” soal saya.


Salimah melongo. Dia pelan-pelan belajar bahawa menyintai saya harus bermula dengan menerima kenyataan dan taqdir. Kita semua pernah melalui saat getir ini dan akan sentiasa menghadapinya.


7

Kami telah berhijrah. Fatimah dan Ali, bukankah mereka pasangan yang sangat daif sebelum dan sesudah Muharam. Tetapi mereka telah menjadi ilham kepada bait-bait puisi cinta sepanjang zaman.


Buat kami, angka tidak lagi pernah menjadi hujah. Salimah dan saya tahu, seorang Muhammad dan si buta dan golongan-golongan mustada’fin yang berhijrah telah mengubah keseluruhan perjalanan dunia lebih daripada seribu tahun.


Salimah genggam tangan. Dia guris hujung kening, lonjak ke atas dengan muka yang tersenyum. Maksudnya, “assalamualaikum.”


Semua kami faham pada ungkapan yang menjadi dambaan itu.


8

Saya dan Salimah, kami menguasai empat bahasa tetapi kami cuma menuturkan tiga sahaja. Bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Satu lagi, kami tidak menggunakan mulut tetapi tangan dan jari. Kami dedikasikan hidup ini untuk menyampaikan kalimah ini kepada golongan-golongan mustad’afin yang tidak boleh mendengar, tidak boleh berkata-kata. Dan perkataan itu terdiri daripada empat perkataan saja: I-M-A-N.



Dalam versi cetak, cerpen ini disiarkan tanpa nombor bahagian yang boleh mengelirukan sesetengah pembaca. Versi ini adalah versi asal.



No comments: