Monday, March 31, 2008

PEMBELAJARAN BERKESAN UNTUK MEMAHAMI BAHASA ISYARAT

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN


(Dewan Bahasa, April 2008. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.)


Di bawah adalah tulisan asal tanpa suntingan. Artikel di Dewan Bahasa menggunakan judul lain. - Penulis


"Jika diberi pilihan antara pekak dan buta, saya akan memilih menjadi buta." – Helen Keller (1880-1968)

PERSOALAN bahasa isyarat bukanlah persoalan bahasa per se. Ia juga melibatkan aspek-aspek lain yang berhubung langsung dengannya. Oleh itu, apabila berbicara soal bahasa isyarat, kita tidak boleh mengabaikan pandangan dan realiti daripada disiplin psikologi, pengamalan dan budaya orang Pekak sebagai pengguna utama bahasa ini.

Seperti kita sedia maklum, sekolah pekak pertama di Malaysia, FSD hanya ditubuhkan pada 1954, lebih 20 tahun sesudah orang buta mempunyai sekolahnya sendiri. Selain itu, kecacatan orang pekak boleh disifatkan sebagai "kecacatan yang tidak kelihatan". Kecacatan orang buta misalnya boleh dilihat melalui tongkat putih, orang lumpuh melalui kerusi roda tetapi bagi orang pekak, sekali pandang mereka kelihatan 'normal' seperti orang lain. (Bahasa yang tepat bagi perkataan 'normal' mengikut kebudayaan Pekak adalah 'bukan pekak.') Oleh sebab itu, dunia ini amat berkait rapat dengan persoalan psikologi. Mengikut penulis, aktivis Pekak-buta terkenal Helen Keler, seperti dipetik di atas, menjadi pekak menyebabkan seseorang itu merasa tersisih daripada masyarakat.

Pada mulanya, pendidikan di kalangan orang Pekak diaplikasikan tanpa mengambil kira pandangan orang pekak sendiri. Pada masa itu masih sikap prejudis terhadap warga kurang upaya (OKU) ini masih menebal. Bapa falsafah Aristotle sendiri pernah mengatakan bahawa sesiapa yang tidak boleh bertutur tidak boleh diajar. Kata-kata ini bagaikan 'sumpahan' kepada orang pekak selama ribuan tahun.

Pada mulanya, British melalui Pesuruhjaya Tingginya di Tanah Melayu memperkenalkan kaedah oralisme. Maksudnya kanak-kanak pekak terpaksa (atau dipaksa) bertutur dan membaca bibir. Mereka juga dibantu oleh alat bantu pendengaran. Tetapi sesudah merdeka, kita sedar bahasa pendekatan ini adalah salah dan tidak lagi digunakan di negara-negara maju. Pendidikan dengan kaedah ini tidak mencapai hasil yang memberangkan.

Justeru itu, sekitar 1960-an, Kementerian Pelajaran telah mengubah pendekatan pembelajaran daripada pendekatan oralisme kepada bahasa isyarat. Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) diperkenalkan dan guru-guru pendidikan khas dilatih menggunakan kod ini. Inilah 'kesilapan' pertama Kementerian Pelajaran. KTBM sebenarnya bukanlah bahasa isyarat. Ia cuma sesuai digunakan khas untuk pelajar pekak mempelari bahasa Melayu, dengan struktur dan gaya bahasa tersebut. Kod ini setaraf dengan Sign Exact Eglish (SEE) untuk mempelajaran bahasa Inggeris dan Kod Jawi untuk mempelajari Jawi. Kod tangan bukan bahasa iyarat.

Kesannya bukan saja orang bukan pekak, orang pekak sendiri juga gagal menguasai bahasa isyarat sebagai bahasa ibunda mereka dengan baik. Di luar daripada bilik darjah, kod ini menjadi tidak relevan. Bahasa standard orang pekak adalah Bahasa Isyarat Malaysia (MySL), tercipta berasaskan pengamalan dan kebudayaan orang pekak di Malaysia sejak berkurun lamanya.

Perkembangan mutakhir menunjukkan perkembangan memberangkan dunia bahasa isyarat. MySL telah diterima sebagai bahasa rasmi orang Pekak di Malaysia di Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran melalui sebuah seminar pada 2004. MySL juga disepakati oleh persatuan-persatuan orang pekak dan diselaraskan menjadi sebuah bahasa standard. Kerajaan juga melalui Ucapan Bajet 2007 telah memperuntukan sejumlah wang yang amat besar sebanyak 12.1 juta untuk melatih seramai mungkin jurubahasa isyarat dan memperluaskan penggunaan bahasa ini. hasilnya, sehingga pengghujung 2007, belum sampai setahun sejak projek ini dijalankan (melalui Pusat Latihan Bahasa Isyarat Malaysia) bermula Mac tahun yang sama telah berjaya melatih lebih kurang 500 hingga ke 600 penjawat di sektor awam menguasai bahasa ini.

Menariknya, pembelajan di sini telah mengaplikasi konsep baru berinteraktif komputer yang dinamakan e-MySL. Aplikasi ini menawarkan merupakan kamus maya yang sangat komunikatif dan berbeza sama sekali dengan versi-versi terdahulu di mana-mana pun. Perisian ini memaparkan imej asli (bukan animasi) untuk setiap perkataan dan ayat menggunakan model orang pekak sendiri. Ia juga mempunyai fungsi seperti mememainkan semula isyarat, set menu mudah, fungsi carian dan gambaran 360 darjah untuk setiap isyarat. Kesahihanya tidak diragui kerana setiap perkataan dibina berdasarkan Kamus Bahasa Isyarat rasmi dan standard yang dikeluarkan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) sebuah badan di peringkat kebangsaan yang menyelaraskan MySL.

Perisian ini dibekalkan oleh Ocean Eyes Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang memfokuskan visinya untuk menjadi peneraju dalam bidang ini. Menariknya, sistem-sistem canggih dan terkini ini merupakan yang pertama seumpananya di dunia dan mempunyai prospek cerah agar Malaysia suatu hari nanti boleh menjadi negara peneraju dalam indusri pendidikan bahasa isyarat. Perkara ini pernah ditimbulkan oleh Timbalan Menteri Kewangan 2, YB Dato' Dr. Ng Yen Yen November tahun lalu ketika merasmikan penubuhan MySL TC. Mengikut beliau, memandangkan kepakaran dan potensi kita di rantau ini, beliau berharap suatu hari nanti Malaysia boleh mengekport kepakaran sebagai 'komoditi' baru ekonomi negara.

Dalam masa yang sama Kementerian Pendidikan Brunei telah menunjukkan minat terhadap pendekatan sebegini. Program ini bukan saja sesuai untuk orang pekak tetapi bukan pekak yang tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang ni. Kita berharap situasi seperti kes Al-Quran Braile suatu ketika dulu tidak berulang kembali. Dalam kes tersebut, Al-Quran Braile bahasa Melayu yang dihasilkan di Malaysia, digunakan di Brunei terlebih dahulu.

Situasi mutakhir menunjukkan perkembangan positif dan progresif terhadap hak-hak berkaitan OKU, orang pekak khasnya, suatu "pendekatan baru yang pelik" berbanding suatu ketika dulu yang lebih menekankan aspek sosio-ekonomi dan pendidikan. Dalam komuniti ini, hak utama mereka adalah untuk berkomunikasi dengan lingkungan dan persekitarannya. Perkembangan positif juga boleh dilihat daripada aspek undang-undang dan polisi di mana Draf Undang-undang OKU telah dibentangkan dan diterima sebagai rang undang-undang pertengahan September lalu . Tetapi tanpa kesedaran daripada rakyat sebagai rakan komuniti untuk mempelajari bahasa isyarat, semua ini akan tinggal sia-sia dan tidak bermakna. Seperti Helen Keller, mereka berkira-kita menjadi buta.



Nota

Perkataan "Pekak" dengan huruf "P" besar merujuk kepada kepekakan daripada aspek kebudayaan (culuturally deaf). Dalam bahasa Inggeris biasanya dirujuk sebagai "Big D Deaf" untuk membezakannya dengan "pekak" sebagai sifat, pekak mengikut takrif perubatan. Ahli-ahli dalam komuniti ini boleh merangkumi orang pekak, ibu kepada anak pekak atau sebaliknya, jurubahasa isyarat dan aktivis pekak.

2 comments:

Lily Abdullah said...

Ya...kak waterlily amat bersetuju. Cuba buat research berapa ramai orang pekak yang memasuki kampus.

Salam kenal

1 said...

Sdr Waterlili, saya rasa kajian berkitan pernah dibuat. Sekarang ini, di Malaysia, hanya Politeknik yang menawarkan sijil (sijil sahaja!) untuk golongan ini. Dan saya dengar, telah ada usaha IPTS seperti Lim Kok Wing Univ. membuka peluang kepada OKU pekak. Tetapi fakta menyedihakan, saya rasa tidak ada langsung seorang orang pekak pun yang memiliki PhD di Malaysia. Di peringkat pendidikan menengah pun, kegagalan dalam SPM amat tinggi. Contoh terbaik boleh dilihat dalam keputusan SPM 2004 di sebuah sekolah pekak di Pulau Pinang.

Kedua, kalau ada yang pandai, bagaimana universiti bersedia menerima mereka, memberi kemudahan pelajaran untuk mereka? Universiti tidak mampu dan tidak pernah merancang untuk itu.

Salam kenal Sdr. Waterlily. Harap boleh bertukar pandangan lanjut. Tapi bak kata Naga, saya tak handsome. Ha, ha, ha!