Oleh Mohd Jimadie Shah Othman
Blogzine Republik Kata, Mac 2008
SEORANG teman, kini wakil rakyat, secara berseloroh berkata, “manifesto aku (adalah) anti politik bosan.”
Benar, sesudah itu politik Malaysia menjadi sungguh membosankan. Surat-surat khabar di negara ini sudah macam Selamat Aman Makmur. Menonton televisyen pula seperti berbual dengan guru Kemas atau pengerusi JKKK yang tegar. Berikut 13 hari-hari paling bosan dalam sejarah politik Malaysia. Kita sebagai pihak yang prokebebasan media, sudah tentu merasai loyanya.
Namun, dua hari sesudah tarikh keramat 8 Mac itu, membaca Utusan Malaysia, akhbar arus perdana paling pro-Umno, seolah-olah membaca Harakah, lidah rasmi Pas. Situasi ini mengingatkan penulis terhadap hari pertama bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara. Petang itu juga, Kumpulan NSTP menerbitkan The New Sraits Times (NST) edisi khas tentang beliua. Liputan pembebasannya juga diletakan di muka depan kebanyakan akhbar (arus perdana, alternatif sudah tentu).
Ini mengingatkan kita kepada kisah Pembukaan Kota Mekah hampir 1400 tahun lalu. Sepuluh ribu tentera Muhammad dengan pedang bersarung memasuki kota gersang itu dariada empat penjuru sempadannya. Gencatan senjata Muslim-Quraish melalui Perjanian Hudaibiah terbatal berikutan serangan mereka (kafir Quraish) terhadap Bani Khuzaah daripada kem Muhammad. Dan kota Ibrahim pun sedia ditakluki. Dengan bala tentera itu sang Nabi menundukkan golongan ini hampir tiada pertumpahan darah.
Hasilnya, pertukaran kerajaan berlaku dengan lancar. Kunci Kaabah diserahkan dan golongan kafir Quraish pelbagai golongan dan kasta memilih Islam. Pada waktu ini, Islam mencapai populariti yang amat besar di tanah Arab. Pembesar mereka Abu Sufian turut mengucap dua kalimah syahadah.
Peristiwa ini turut dirakamkan firman, “Apabila tibanya pertolongan Allah dan kemenangan. Dan ketika itu kamu lihat manusia (orang ramai) berbondong-bondong memasuki agama Allah.”
Begitulah lazimnya manusia, seperti parasit, akan berpaut di dahan yang kuat. Tanpa sedar, berbalik juga kepada naluri individualiti dari dalam diri.
Sesungguhnya hari kedua sesudah 8 Mac adalah seperti kota Mekah pada tahun keenam Hijrah. Saat ini, dengan kuasa baru Keadilan-DAP- Pas, semua orang membuka mata dan lahirlah pahlawan-pahlawan yang tidak pernah kita kenal sebelum ini dengan wajah-wajah yang sungguh sumbing. Mereka akan berkenduri, bersorak, melaung dan mendabik dada bahawa perjuangan ini adalah hasil titik peluh dan inisiatif mereka. Tetapi rakyat Persekutuan Malaysia sudah mulai faham makna perjuangan. Mereka faham beda antara yang benar dan yang palsu.
Kemudian, Tuhan berfirman lagi, "Maka bertasbih dan bersyukurlah kepada Tuhanmu dan beristigfarlah. Sesungguhnya dia maha menerima taubat."
Oleh itu, terimalah maaf dan tali persahabatan daripada panglima-panglima sumbing ini. Itulah politik cara Nabi. Kawan-kawan yang tewas harus menyerah anak kunci kota seperti keberanian Abu Sufian melakukannya 1400 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment