Monday, March 3, 2008

FALSAFAH PENGEMBARAAN DALAM DUNIA BARU

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

(Mingguan Wasilah, 23 Februai - 1 Mac 2008)


Judul: Dunia Baru the Movie
Pengarah: M Hitler Zami
Pelakon: Erneelya Elyana, Pierre Andre, Wan Ellyas Wan Abdullah, Ngasriah Ngasri, Anita Baharom, Iqram Dinzly, Almy Nadia, Mohd Hafiz Nafiah dan Baizura Kahar
Genre: Komedi, Pengembaraan, Drama
Edaran: Grand Brilliance Sdn Bhd
Tayangan: 7 Februari 2008

Filem tentang anak muda wajib bertenaga dan ambitious. Filem sebegini biasanya menyalin dan mengungkap isu dan tema-tema seputar golongan ini sama ada secara picis, ideologis mahu pun pop. Dalam masa yang sama semangat anak muda yang kadangkala rebellious, ingin bebas, berani, pemarah dan gelojoh sentiasa menjadi klise yang menghangatkan sesebuah karya. Oleh itu, menghasilkan sebuah filem untuk golongan ini, sudah barang tentu lumayan sulitnya.

Filem-filem yang berjaya menyerap semangat ini adalah Romper Stomper, Ada Apa dengan Cinta, Daun di Atas Bantal, Denias, Ali Setan, Anak Halal dan Dari Jemapoh ke Manchestee (sekadar menyebut beberapa contoh).

Dalam layar perak tanah air, tidak banyak filem genre ini yang sukses dan melekat dalam ingatan kolektif bangsa. Kejayaan terbaik menggabungjalinkankan semua ciri-ciri di atas boleh dilihat dalam Ali Setan yang sarat dengan mesej, semangat, tenaga dan tuntutan pop. Filem yang dibintangi oleh Azmil Mustafa dan Fauziah Ahmad Daud ini terus disebut dan ditonton sehingga kini. Ali Setan telah menetapkan standard yang agak tinggi untuk sebuah filem tentang budak-budak kolej.

Selepas kejayaan filem era 80-an itu, dalam tempoh yang agak lama, tidak banyak filem yang berjaya menempa kegemilangan seperti itu. Tidak banyak pengarah berani menyahut cabaran untuk sebuah lagi filem anak muda untuk dan mewakili generasi mereka. Namun, Dari Jemapoh ke Manchestee arahan Hishamudin Rais dikira terkeluar daripada hakikat ini. Anak Halal pula (arahan 'mantan' pengarah indie Osman Ali) hampir-hampir mengulanginya. Namun, filem ini sukar dihadam dan dinikmati kerana kejelakan rakaman aksi dan visual yang mengocak sensitiviti agama dan budaya Melayu. Buah tangan Red Films ini begitu sarat dengan gambaran gaya hidup anak muda yang 'terlalu' bebas, klise dan kadangkala tidak logik dalam satu segi.

Industri filem kita sebenarnya sedang mengulangi zaman suram filem Amerika 60 dan 70-an di mana 90 peratus produksi besar seperti MGM dan Universal mengalihkan tumpuannya melayani televisyen hinggakan berlaku kemerosotan luar biasa dunia sinema. Daripada seratus filem tinggal hanya enam filem setahun. Masalah ini tamat dengan lahirnya pengkarya baru waktu itu seperti Steven Spilgerg dan George Lucas dengan kreativiti dan formula ajaib mereka.

Di negara kita, M Hitler Zami menunjukkan semangatnya sebagai anak muda yang berani dengan Dunia Baru the Movie (DBTM) yang diangkat daripada sebuah siri drama popular di TV3. Filem ini diedarkan oleh gergasi filem Grand Brillian Sdn. Bhd. Menariknya, dek sifatnya yang rentas genre membolehkan DBTM boleh dilihat dan direnung dalam pelbagai aspek. Berjayakah DBTM sebagai sebuah filem komedi, pengembaraan, drama dan adaptasi? Berjayakah pengarah membawa industri kita ke sebuah dunia baru?

DBTM dirilis 7 Februari lalu dengan harapan kutipan memberangkan memandangkan tiada filem mega Hollywood dimainkan di pawagam buat masa ini.

DBTM dibintangi sekumpulan pelakon muda popular dan sedang meningkat naik. Pelakon-pelakon ini, di luar daripada Dunia Baru telah menempa nama tersendiri dalam dunia masing-masing. Elyana, penyanyi cantik bersuara unik misalnyasedang menempa nama dalam dunia seni suara manakala Pierre Andre pula menjadi pelakon filem six million yang baru dalam Jangan Pandang Belakang yang memintas Sembilu sebagai filem paling menguntungkan dalam sejarah perfileman tanah air.

Siri televisyen Dunia Baru pula mendapat rating yang tinggi ketika diputarkan di kaca televisyen. Kini, telah pun masuk ke musim yang kedua. Atas sandaran inilah berjaya mengumpan Grand Brillian dan M Hitler Zami menyahut cabaran memindahkah filem ini daripada kaca televisyen ke layar perak.

DBTM mengisahkah pengembaraan sekumpulan anak muda penuntut sebuah kolej di Lembah Klang untuk menjejak teman mereka Anizah (Anita) dan Fazley (Mohd Hafiz) yang ingin kahwin lari di Thailand. Anizah, melalui sepucuk surat memaklumkan akan melepaskan peluang melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Perkara ini mengundang curiga daripada teman-temannya. Oleh itu mereka sepakat mengejar Anizah dan mengubah fikirannya. Selama hampir dua jam menonton filem ini, penonton akan menyaksikan babak-babak cemas aksi kejar-mengejar dan pelbagai masalah yang dihadapi anak muda ini Opie (Elyana), Adif (Pierre Andre), Erika (Zura), Tajol (Eliyas Abdullah), Anizah (Anita) dan Suzanna (Almy Nadia) untuk mencapai menjejaki Anizah.

Mereka mengalami pelbagai masalah dalam pengembaraan ini daripada ditahan polis, diperdayakan kumpulan perompak sehinggalakah kepada konflik cinta dan perbezaan pendapat sesama sendiri.

Filem ini mengherat kumpulan anak muda ini keluar daripada persekitaran kampus Unisel seperti siri televisyennya. Yang harus dipuji adalah kemahiran pengarah mengeksploitasi sepenuhnya keindahan alam berlatar belakangkan sawah padi yang menguning dan terbentang luas seperti Yasmin Ahmad melakukannya dalam Mukhsin.

Selain komedi, DBTM agak kuat dengan ciri-ciri sebagai sebuah filem bercorak pengembaraan. Menonton filem ini selain sebagai hiburan ringan, ia turut melontar falsadah kehidupan manusia tentang kehidupan sebagai pengembaraan yang panjang. Dan dalam perjalanan itu, zaman muda adalah penentu kepada destinasi akan datang.

Tujuh tahun lalu, Hishamudin Rais melalui Dari Jemapoh ke Manchestee (DJKM)telah menghasilkan sebuah filem yang hampir sama, komedi pengembaraan. Ketika mula diwar-warkan, melihat sosok sutradara yang agak politikal memberi petanda bahawa DJKM akan menjadi sebuah karya yang pejal dan sarat dengan ideologi. Tetapi Hishamudin membuktikan, ideologi politik dalam filem boleh juga datang tidak secara per se. DJKM hanyalah sebuah filem tentang anak muda yang cetek akal, tetapi berani. Oleh itu DJKM terus hidup dan disebut-sebut sampai kini. Iklim muda dalam filem ini begitu dirasai daripada garapan watak, muzik dan lingkungan pemikiran mereka.

Terlebih dahulu, P. Ramlee telah menghasilkan Musang Berjanggut. Juga sebuah filem komedi bercorak pengembaraan. Idea filem ini daripada sebuah aspek nampak ringkas tetapi jika direnung kembali sarat dengan falsafah dan sindiran yang dalam. Oleh itu, ia menjadi sangat sukses, daripada aspek mana pun sama ada artistik, penceritaan malah tuntutan pop. Musang berjanggut mengisahkan perjalanan putera raja mencari “perempuan” untuk dijadikan seorang isteri.

Oleh itu, melihat DJKM tidak harus melupakan dua filem ini sebagai penanda kepada filem-filem bercorak komedi dan pengembaraan. DBTM ternyata sangat lemah untuk berada dalam senarai filem-filem ini. Falsafah hidup sebagai perjalanan dan zaman muda sebagai titik penentu kepada destinasi masa depan tidak diangkat dengan baik. Beberapa plot yang dibina dilihat sekadar menjadi pemanjang cerita. Tidak lebih daripada itu.

Daripada aspek-aspek lain juga tidak memberangkan. Tetapi tentang jualan, penulis jangkakan buah tangan pengarah muda ini mampu membuat kutipan yang baik. Di Malaysia, untuk 'menjual' filem, penerbit biasanya menggunakan formula ' klasik' iaitu gunakan pelakon cantik jelita dan terkenal dan mesti ada komedi bodoh. Kalau ada kontroversi, itu bonus.

Namun memetik pengamat sosial dan politik terkenal Indonesia, Ashadi Siregar, membicarakan filem tidak seperti membicara komoditi pasar. Jika rating dan keuntungan menjadi ukuran, maka kita sebenarnya sedang berbicara tentang ekonomi, bukan keindahan dan kehalusan seni budaya. Inilah yang membezakan antara sebuah filem dengan sekeping apam balik di pasar malam.

Daripada aspek muzik, lakonan dan komedi slapsiknya boleh dikira okey. Boleh dipertingkatkan dan tidak begitu hodoh. Cuma lakonan pelakon pembantu dilihat lebih menyerlah daripada pelakon utama. Lihat saja aksi bersahaja seorang tua berbasikal yang secara tidak sengaja terlanggar dengan kereta anak muda ini. Beliau hanya diberi dialog “tidak sakit” berulang-ulang tetapi watak ini diperankan terlalu baik. Seperti juga lakonan Mamat Khalid sebagai penyelia sebuah stesen minyak.

Walau bagaimana pun, tidak adil menilai sebuah filem secara juzuki, sebaliknya secara keseluruhan DBTM masih boleh dikira sebagai sebuah filem yang menghiburkan. Sederhana tanpa sebarang masalah. Cuma buah tangan Latiff Hitler Zami ini 'malang' kerana berada di celah-celah filem-filem besar lain dalam kategori ini.

Di akhir cerita, Fazley berjaya diberkas polis dengan bantuan Opie, Adif, Erika, Tajol, Anizah dan Suzanna. Kebaikan menang dan kejahatan ditewaskan. Sebuah happy ending. Percubaan yang berani. Boleh berdiri sendiri tanpa siri televisyen. Tiga bintang.

Selain itu, aksi berjumpa hantu dan kumpulan Seekers atau minum kopi di Setarbak (dan yang seumpamanya) tidak perlu disebutkan, tidak penting dan sekadar pemanjang cerita. Selamat menonton. Hidup adalah perjalan yang panjang dan zaman remaja adalah titik penting yang menentukan destinasi kita pada masa akan datang. Inilah pengajaran utama daripada DBTM.

1 comment:

hEr namE is diEla said...

pertama sekali ingin saya betulkan di sini, Dunia Baru sudah sampai musim yang ke3.. Ini adalah musim yang ke3 sebelum ianya diangkat ke layar perak..

boleh dikatakan filem ini tidak berapa cemerlang berbanding dengan tv siries..