Mingguan Wasilah, 30 Mac - 5 April 2008
HELVY TIANA ROSA bukan sekadar nama. Penulis perempuan tersohor ini melalui Forum Lingkar Pena (FLP) didokong lebih 5000 peminat sastera pelbagai golongan di manca negara. Tujuh ratus daripada jumlah itu adalah penulis.
Penulis novel Ayat-ayat Cinta yang mencetuskan fenomena di seluruh Nusantara, Habiburrahman El- Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik juga lahir daripada kelompok ini. Berbeza dengan kelompok sasterawan yang condong kepada idea-idea kebebasan dan anti-establishment, Helvy lebih dikenali sebagai penulis yang bernuansa Islam. Beliau dilihat meneruskan musim vakum panjang sastera berpaksikan Islam setelah pemergian Hamka, Nuruddin Arraniri, Abdul Rauf Singkel, Amir Hamzah dan Hamzah Fansuri di Indonesia.
Golongan lawan tanding idea beliau selesa dengan segugus nama-nama besar sastera dan elit pemikir seni budaya. Kelompok ini berpusat di Komunitas Utan Kayu (KUK), Jakarta. Sebut saja KUK, nama-nama seperti Goenawan Mohamad, Ayu Utama, Ulil Absar Abdalla dan Luthfi Assyaukanie tidak dapat tidak mesti disebut. Di sini juga tempat menyatunya pelbagai entiti seni, media, budaya dan agama seperti Jaringan Islam Liberal, Radia 68 H dan Galeri Lontar.
Sukar membayangkan bagaimana FLP yang dikira jalur kecil suatu ketika dulu, cuma meninjam sosok sederhana, tekun dan rendah diri pendirinya, Helvy Tiana Rosa, boleh menjadi fenomena sehingga melimpah sampai Malaysia, Hong Kong, Jepun dan Eropah. Padahal yang mendokong FLP hanya anak-anak mentah yang baru berjinak-jinak dengan bidang penulisan. FLP Cabang Hong Kong misalnya hanya didokong oleh beberapa kumpulan amah (pembantu rumah) yang mahu membela nasib mereka melalui penulisan. Tahun ini saja mereka melancarkan enam buah novel baru. Tanpa sedar, FLP telah membuatkan semua orang rasa bahawa sastera itu juga milik mereka, bukan elit sastera semata-mata.
Bagi Helvy, semua aliran, kelompok, semua ini memeriahkah kebudayaan Indonesia. Mengikut beliau lagi, "tidak ada apa-apa masalah. Kita semua sepakat untuk tidak sepakat. Saya dan Ayu Utami misalnya, kami berteman. Saya tidak setuju dengan beliau dan beliau tidak setuju dengan saya," katanya sambil berseloroh dalam sebuah seminar penulisan yang dianjurkan Persatuan Pelajar Indonesia Universiti Malaya (PPIUM).
Bagi pengkarya Malaysia, penulis fikir banyak yang boleh kita pelajari daripada Helvy dan FLP. Lebih-lebih lagi beliau sangat Islamik, daripada sudut karya mahu pun peribadi. Kehadiran Helvy ke Malaysia saya fikir boleh menyumbang sesuatu terhadap 'kesinambungan' polemik Sastera Islam 1970 antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad. Hegemoni Sastera Islam yang dikenal sekarang berpaksikan format Shahnon. Lebih-lebih lagi, Sastera Islam menjadi trend yang amat popular hinggakan Faisal Tehrani dan Hasril Hasril Sanin yang dulunya dikelompokkkan dalam penulis undergroud tidak lagi malu-malu, bahkan berbangga menulis karya berunsur Islam dalam karya-karya terbaru mereka. Beberapa penulis baru juga, kebanyakkkannya daripada jalur Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) mula menunjukkan kecenderungan luar biasa terhadap aliran ini. Terlalu banyak nama jika ingin disebutkan.
Melihat secara jernih, memungkinkan lahirnya sebuah persoalan baru: Kenapakah Sastera Islam di Indonesia boleh berkembang maju, membesarkan khalayak, sekali gus memperkayakan kebudayaan negara mereka Indonesia?
Di negara seribu pulau itu, pertembungan aliran merancakkan wacana seni dan intelektual masyarakat, bukan sebaliknya, membunuh, menelan dan saling membenci antara satu sama lain. Mereka bergerak dengan semangat keterbukaan, saling menghormati dan mandiri. Barangkali juga oleh kerana atmosfera politiknya lebih terbuka. Ditambah pula ekonomi yang menekan. Helvy sendiri semasa kecilnya, meminjam istilah beliau sendiri, "5S", "sangat sangat sangat sangat sangat" sederhana di tengah-tengah kota Jakarta.
Keluarga mereka tidak mampu membeli buku, walau pun buku terpakai. Oleh itu, ibunya saban hari meminjam buku-buku daripada jiran-jiran yang berada dengan janji memulangkannya kembali sebuah buku yang 'dirawat'. Dirawat maksudnya membalut dengan plastik supaya tahan lama, kerana plastik lebih murah daripada buku. Ketika Taman Ismail Marzuki dibuka, anak kecil itu mampir membacakan puisi. Tetapi tidak ada seorang penulis pun memandangkanya dek kerana kedaifan mereka. Seperti anak-anak pengemis lain, dia diberikan sedikit wang dan 'diminta' pergi.
Tradisi mandiri ini diheret dalam FLP. Kesemua 5000 pengikut adalah sukarelawan. Situasi ini jauh berbeza dengan anak-anak penulis kita yang manja dan sentiasa melukut di kaki kekuasaan. Oleh itu tidak hairan dalam seminar atau perhimpunan penulis, sentiasa ada resolusi kepada kerajaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) misalnya. Penggiat sastera kita sangat sinonim dengan mentaliti Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Strategi FLP amat mudah. Mereka melihat sastera sebagai alat dakwah. Oleh itu, tanpa buku, dakwah tulis menulis tidak berlaku. Justeru, aktiviti utama FLP adalah mengajar peminat menulis dan tentulah menulis tentang atau dari diri mereka, sebuah kebenaran. Kata Helvy, "Helvy adalah apa yang Helvy tulis. Kang Ajak adalah apa yang Kang Ajak tulis. Alwi Alatas adalah apa yang Alwi Alatas tulis."
Dalam sebuah diskusi ketika Ayu Utami secara sinis menempelak beliau, "bagi saya, menulis itu menulis saja. Tidak perlu ada tujuan. Kalau yang bertujuan itu Helvy Tiana Rosa."
Ayu memakai konsep kematian pengarang Roland Bartes bahawa sesudah baby (karya) itu dihasilkan, dia akan membesar sendiri. Terputus daripada pengarang asal. Tergantung kepada pembaca sepenuhnya.
Namun Helvy melihat sebaliknya. "Dengan kelahiran sebuah karya baru, maknanya bertambah satu lagi nyawa pengarang."
Bagi beliau, kita bertanggung jawab penuh dengan apa yang kita tulis. Karya kita, walau pun kita sudah tiada lagi di dunia ini akan terus dibaca oleh anak-anak kita sampai beberapa generasi. "Jika tulisan saya buruk dan menjengkelkan, sanggupkah kita biarkan generasi kita terus membacanya?" kata Helvy lagi.
Menurut beliau, mainstream tidak dilahirkan, tetapi dicipta. Tugas kita adalah mencipta mainstream baru. Contoh terbaik adalah bagaimana Ayat-Ayat Cinta boleh menjadi best seller seluruh Indonesia. Novel Islamik ini sampai diangkat ke layar filem.
Malangnya, di Jerman, seorang penulis mengelaskan beliau dan penulis-penulis FLP sebagai penulis fundamentalis padahal penulis fikir Helvy adalah lambang penulis moden, sederhana, terbuka, luar biasa dan sangat berpegang pada solidariti penulis. Beliau menadah tangan terbuka untuk persahabatan dengan penulis pelbagai aliran, hatta musuh intelektual seperti KUK. Secara berseloroh, temannya, juga profesor di negara Eropah itu berkata padanya, "mbak, jangan takut. Di sini, semakin kamu fundamentalis, semakin seksi kamu."
Ia mengingatkan kita kepada pengarah Kanada Zarqa Nawaf yang melihat pertembungan eropah-Islam pasca-911 secara sangat kreatif. Melalui syarikat penerbitannya Fun-Damentalist Film Zarq menerbitkan Little Mosque on the Prairie, sebuah sitkom tentang salah faham Eropah terhadap Islam dan komunitinya.
Walau pun daripada aspek karya, Helvy Tiana Rosa sangat serius. Tetapi perlahan-lahan beliau membuktikan kepada dunia bahawa dia semakin 'seksi'. Dan semakin ramai orang mulai jatuh cinta dengan 'keseksian' Sastera Islam.
Dalam versi cetak terdapat sedikit ralat, ayat terakhir tidak ditulis dengan penuh. Versi ini adalah versi asal.
No comments:
Post a Comment