Oleh Mohd Jimadie Shah Othman
Mingguan Wasilah, 23 - 29 Mac 2007
Dalam banyak segi, New Zealand tidak mempunyai banyak persamaan dengan kita. Penduduknya hanya empat juta orang, empat kali ganda lebih kurang daripada kita. Tradisi politiknya juga berbeza dan lebih terbuka. Tetapi, apa yang boleh kita pelajari daripada negara kiwi ini adalah bagaimana orang pekak di sana sebagai golongan minoriti menggunakan sepenuhnya keterbukaan politik dan demokrasi mereka untuk menyampaikan hasrat golongan Pekak tempatan.
Masyarakat New Zealand terdiri daripada bangsa utama Eropah dan Maori. Bahasa Inggeris merupakan bahasa rasmi pertama, manakala Maori menjadi bahasa kedua. Namun, pada tahun 2006, negara pimpinan Perdana Menteri Helen Clark ini mempunyai sebuah lagi bahasa rasmi yang tidak dituturkan, tetapi diisyaratkan. Bahasa itu adalah New Zealand Sign Language (NZSL) daripada keluarga British, Australian dan New Zealand Sign Language (BANZSL). Bahasa ini juga turut menyerap isyarat-isyarat tempatan daripada kebudayaan penduduk asal Maori.
Terdapat lebih 24 ribu pengguna bahasa isyarat ini di seluruh negara. Dengan pengiktirafan melalui akta di peringkat parlimen, ia menjadi simbol kemenangan komuniti Pekak di negara itu. Dari sudut perlembagaan dan perundangan, NZSL dilihat sama taraf dan sama absah dengan bahasa-bahasa lisan di negara itu. Pengguna bahasa ini berhak mempraktiskannya dalam urusan legal prosiding. Parlimen New Zealand juga mempunyai jurubahasa isyarat. Banyak penyelerasan lain dilakukan untuk kepentingan komuniti ini seperti penetapan standard isyarat dan jurubahasa isyarat.
Di negara kita, komuniti Pekak seperti juga golongan OKU dan kumpulan minorti lain masih ketinggalan berbanding negara-negara maju daripada pelbagai segi. Justeru, pengiktirafan politik diperlukan sekurang-kurangnya sebagai kemenangan moral golongan ini. Pengiktirafan ini akan membolehkan masyarakat membuka mata terhadap kewujudan, keperluan dan hak-hak golongan ini.
Dengan kekalahan Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) lalu dan cakap-cakap bahawa ahli politik veteran BN ini tidak kekal di posisi lamanya dalam kabinet, kita berharap pertukaran menteri tidak menyebabkan berlakunya proses undur ke belakang atau bermula kembali daripada kosong. Masih banyak soal kebajikan dan hak OKU sebagai kumpulan minoriti tidak disentuh.
Dalam masa yang sama, Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya yang dibentangkan di parlimen belum menjadi akta. Mengambil contoh New Zealand, bagaimana lobi politik Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak di sana membolehkan mereka berjaya, perkara inilah yang perlu diberi perhatian oleh kita.
Berbanding negara kita, asmosfera politik New Zealand lebih kompleks. Ia mencapai kemerdekaan pada 1907 daripada British. Sejak pemerintahan sendiri 91 tahun itu, telah berpuluh kali berlakunya pertukaran kerajaan. 30 tahun kebelakangan ini pula parlimen dikuasasi, secara bergilir oleh dua parti dominan iaitu Parti Nasional dan Parti Buruh New Zealand. Perdana Menteri sekarang ini daripada Parti Buruh yang bergabung dengan parti-parti kecil berfahaman kiri lain. Buruh mengidentitikan entiti mereka sebagai Sosial Demokrat.
Strategi New Zealand adalah strategi yang 'mudah'. Mereka menggunakan tiga tunggak utama melobi Menteri Isu-isu OKU (dalam konteks Malaysia, mungkin Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat) melalui Manifesto Parti Buruh, New Zealand Disability Strategy dan DPA Manifesto. Menteri ini pula mempengaruhi Pejabat Isu-isu OKU (Office for Diasbility Issues) seterusnya menyebabkan tertubuhnya rundingan ke arah merangka daf Akta New Zealand Sign Language pada 2004.
Lobi terhadap Parti Buruh bermula daripada desakan komuniti Pekak ditambah dengan impak resolusi daripada Perhimpunan OKU New Zealand. Mereka melihat hak orang Pekak terhadap bahasa mereka sendiri termaktup dalam hak-hak bahasa, hak asasi manusia dan hak-hak OKU.
Harus diingat, ketika pilihan raya umum New Zeeland 1999, Parti Buruh bukanlah kerajaan sebaliknya pembangkang. Kabinet ketika itu dikuasai kem Parti Nasionalis yang berfahaman konservatif. Persoalannya, kenapa komuniti Pekak New Zealand berkaborasi dengan Buruh, bukan Nasionalis?
Saya percaya kemenangan Buruh pada pilihan raya 1999 juga merupakan hasil sokongan komuniti Pekak di sana. Tindakan Buruh menyokong pengiktirafan NZSL sebagai bahasa rasmi ketiga New Zealand memberikan impak besar terhadap usaha kerajaan baru selepas pilihan raya itu. Hasilnya, buruh merampas semula teraju kepimpinan negara daripada musuh tradisinya Parti Nasional setelah sembilan tahun memerintah New Zealand.
Pada 2004, Buruh sekali lagi memperoleh mandat daripada rakyat dengan kemenangan majoriti tipis ke atas Parti Nasional yang membolehkan mereka mentadbir negara itu buat kali yang kelima dalam sejarahnya. Hingga kini, hampir sembilan tahun Halen Clark menerajui negara ini.
Sejarah negara kiwi juga menunjukkan 'penindasan' terhadap goloongan ini. kaedah oralisme diperkenalkan di sana seratus tahun sebelum wujudnya sekolah pertama kanak-kanak Pekak di Malaysia, suatu jangka masa yang sangat lama. Namun, hasilnya hanyalah kegagalan pendidikan warga ini, buta-huruf, mewujudkan ruang sosial (social marginalisation) yang ketara dan menafikan kewujudan bahasa isyarat.
Jadi, Buruh melihat masalah ini dengan serius. Dalam manifesto 1999 itu, parti ini menjanjikan kementerian baru berkaitan OKU, melancarkan blueprint untuk diikuti kerajaan dan mengasaskan Pejabat Isu-isu Oku pada 2003. pada 2004, Rang Undang-undang OKU dibentangkan dan oleh yang demikianlah pada pilihan raya setahun selepas itu menyaksikan kemenangan Buruh untuk dua penggal berturut-turut.
Rang undang-undang ini akan disemak setiap tiga tahun sekali. Namun beberapa kelemahan dikenalpasti dalam akta yang diluluskan dua tahun lalu ini, ia hanya terpakai dalam kes-kes legal prosiding sahaja, tidak mendapat sebarang peruntukan kerajaan dan tidak terpakai dalam sektor pendidikan, pekerjaan dan perubatan.
Akta ini sudah tentu tidak boleh disamakan dengan Rang Undang-undang OKU yang dibentangkan di Parlimen Malaysia awal tahun ini. Rang undang-undang ini masih belum menjadi cakap-cakap dalam masyarakat dan tidak mempunyai kuasa penalti jika berlaku perlanggaran dan ketidakpatuhan.
Apa yang kita boleh teladani daripada pengalaman New Zealand adalah bagaimana mereka mengeksploitasikan atmosfera politik yang subur dengan demokrasi untuk memperjuangkan nasib komuniti Pekak sebagai kelompok minoriti dalam masyarakat. Dalam sebuah demokrasi di mana berlaku pemerintahan majoriti, hak-hak golongan minoriti tidak harus dinafikan.
No comments:
Post a Comment