(Jalantelawi.com, Oktober 2006. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar)
Judul : Membangun Semula Makna Diri Malaysia
Pengarang : Anwar Ibrahim
Penerbit : Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur
Halaman : 21 muka surat
Terbitan Pertama Ogos 2006
BUKU ini antara yang paling memberahikan dalam sejarah bangsa. Sebuah tulisan yang dianggap berada di kemuncak intelektual seorang ahli politik yang tidak canggung dengan dunia keilmuan dan intelektualiti. (Ketika ini pengarangnya sibuk memenuhi jemputan sebagai pensyarah kehormat di beberapa universiti besar di Amerika Syarikat dan menyampaikan syarahan beliau di segenap pelosok).
Selepas buku besar The Asian Renaisance, tidak ada buah fikir paling bernas, kurang retorikanya daripada bekas Timbalan Perdana Menteri ini. Jika magnum opusnya The Asian Renaisance mengupas isu yang luas dan besar-besar, mencari makna, jati diri dan keupayaan untuk amalan Asia (dan menakjubkan Barat) buku kecil yang hanya 21 muka ini tidaklah bercanggah, mengulang atau membawa sesuatu yang baru sebaliknya menegaskan pandangan-pandangan lama dalam konteks dan perspektif lokal yang lebih segar dan bertenaga.
Membangun Semula Makna Diri Malaysia (MSMDM) adalah karya terbaru Anwar Ibrahim yang ingin dan berani melihat kemerdekaan dalam konteks yang lebih beliau akrabi. Adalah negara yang beliau cintai, Malaysia. MSMDM membawa akal intelek kita mengembara bermula semangat Permasyuran Kemerdekan 1957, melewati Opulanta Malaca (Melaka yang kaya sungguh) dalam catatan Portugis, kepincangan Dasar Ekonomi Baru (DEB), gelombang deras Islam Demokratik, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan seruan-seruan kepada generasi muda.
Buku kecil ini asalnya ucapan pengarangnya yang diberi penghargaan sebagai penyampai pertama dalam slot Pidato Kemerdekaan Sempena Seminar Tahunan IKD. Dalam majlis yang dihadiri mahasiswa (walau ketika itu panas dengan isu larangan khusus mahasiswa Universiti Malaya ke program anjuran IKD), budayawan, artis, ahli akademik dan kelompok sosial yang sedar dan terbuka.
Dalam Pemasyuran Kemerdekaan 1957 yang dianggap sebagai “Surat Beranak” negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat itu, perenggan terakhirnya menegaskan bahawa negara baru yang akan dibentuk ini wajib ditegakkan dengan dua prinsip iaitu (1) kebebasan dan (2) keadilan. Maka, seluruh isi pokok yang diketengahkan penulis menolak ke depan dan mengupas dua “semangat bernegara” ini.
Anwar mengajak kita menoleh ke belakang hingga awal abad ke-16 membaca welstanchaung Eropah pada sosok negara yang sebahagian daripada kita anggap musuh. Beliau memetik gurindam besar Portugis oleh Luiz Vaz de Camoes, Os Lusiadas yang menyifatkan rantau ini sebagai bumi kekayaan (opulanta) dan ternama dan pahlawannya, Melayu yang berahi (namarandos), Jawa yang berani (valentes). Tetapi, seperti dibacakan Anwar dalam pidatonya, bait terakhirnya berbunyi: Semuanya akan kecundang dengan Portugis.
Pada hemat beliau, perlanggaran yang menjatuhkan Melaka pada 1511 itu tidak dilihat semata-mata kerana kuasa teknologi, tetapi timbal balik Renaisans, kala menjelajah dan membongkar (the age of discovery) dan hilangnya kemerdekaan bangsa kita. Anwar menegaskan perlunya membaca diri (budaya) dari perspektif sejagat, bukan tempurung sempit politik lokal atau negara.
Adalah mustahil melihat sejernihnya perjuangan sebelum 1957 itu tanpa merenung daripada perspektif rakyat keseluruhannya yang menjadi tulang perjuangan kemerdekaan. Oleh itu, perlunya penulisan sejarah yang adil dan jujur terhadap pengetahuan. Tidak sekadar menamakan baris-baris parti politik tertentu dan fakta-fakta penubuhannya. Di sini bermulanya kritikan pedas negarawan yang pernah diangkat sebagai salah seorang tokoh yang paling berpengaruh di benua Asia.
Sudut-sudut yang selalu terlepas pandang itu kerap kali soal bebas, nilai, merdeka dan kemuliaan manusia (karamah insaniah).
Selepas Merdeka hingga kini, berlaku pertembungan baru, Anwar mencuplik ceritera Julius Ceaser sejurus selepas kematiannya yang tragis di tangan Brutus, katanya, “siapakah yang begitu hina hingga mahu hidup sebagai hamba?”
Pertembungan itu adalah kebebasan lawan kekuasaan yang tak ingin terbatas. Kerana itu, kita fahami daripda pandangan beliau bahawa bermulalah pengkhianatan terhadap kebebasan dan nilai-nilai kemerdekaan yang disanjung itu. Kebebasan bersuara disekat. Begitu juga peranan media dibatasi, badan kehakiman seperti boneka. Kesan buruk daripada itu, mengikutnya lagi, kebebasan yang terkurung akan membantutkan tenaga dan potensi kreatif warga sebagai sumber akliah dan kebudayaan.
Beliau mengakhiri pidatonya dengan seruan kepada generasi muda, yang menggalas beban pembebasan ini supaya memahami zamannya. Dan zaman itu, mengikut Anwar lagi, semangatnya adalah demokrasi. Dan ini sentiasa cocok dengan jiwa peribadi setiap yang bernama Muslim. Orang Islam walau siapa pun dia, jika diberi pilihan, Anwar penuh yakin bahawa dia akan memilih demokrasi. Naluri mereka kepada kebaikan memungkinkan itu terjadi. Tetapi dengan segala kezaliman, penyelewengan dan keburukan menjadikan demokrasi itu sebuah keperluan asasi. Kerana itu gelombang Islam yang demokratik akan melanda dengan hebatnya.
Pengarang mengambil contoh Indonesia. Beliau memuji evolusi negara umat Islam terbesar kepada demokrasi dan keadilan. Tetapi masalahnya tetap sama dengan di negara kita: “Tumit Achillies” itu adalah rasuah. Adalah korupsi. Dan untuk menjadikan idea ini tidak di awang-awangan, tindakan perlu, bekas TPM ini menyarankan proses pilihan raya yang adil. Adil dengan maksud tiada penipuan dan tidak wujud ketakutan-ketakutan (culture of fear) untuk menyatakan pandangan dengan pelbagai cara.
Begitu juga dengan DEB. 'Skim' yang berselindung bawah topeng memperksakan Melayu ini akhirnya melegar-legarnya kekayaan negara di kalangan elit politik semata-mata. Tetapi yang paling kritis dalam pidato ini, saya fikir adalah desakan terhadap pemansuhan DEB secara tuntas. Kegagalan utamanya ditunjangi dengan dua alasan: (1) kemerosotan taraf pendidikan Melayu dan (2) tahap kesihatan luar bandar.
Tindakan ini bukan atas dasar assabiyah tetapi tetap, masih dengan prinsip dan semangat yang terkandung dalam Permasyuran 1957 itu: Kebebasan dan Keadilan. Yang miskin mesti ditolong walau apa pun bangsanya. Ditegaskan bahawa pandangan ini tidak sedikit pun mengkhianati Melayu sebagai penduduk asal negara ini. Dan dasar baru yang perlu dibentuk bukanlah dasar Melayu atau Cina atau India, sebaliknaya dasar untuk semu kaum. Oleh itu isu sensitiviti kaum tidak perlu timbul.
Menyentuh isu bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, di peringkat perlembagaan, isu ini telah lama selesai dengan muafakat bahawa bahasa Melayu adalah bahasa pengantar pendidikan dan bahasa rasmi negara. Jadi, tidak perlu dikorek semula daripada kubur sebab perkara ini ada hubung kait dengan kedaulatan dan maruah bangsa. Namun kita tidak menafikan perlunya penguasaan bahawa asing. Ini pernah diperikan dalam teks klasik Hikayat Hang Tuah dan Abdullah Munsyi. Dan yang sebenarnya berlaku, yang menggagalkan semua ini bukan Cina atau India, tetapi pihak berkuasa.
Dan di bahagian-bahagian terakhir buku ini, disimpulkan bahawa anjakan perubahan itu tidak didasari oleh didikan Barat sebaliknaya apa yang terangkum dalam pengamalan agama sendiri. Ia menyebut, “Demokrasi itu huriyyah,” salah satu daripada tujuan maqasid syariah. Itulah yang berlaku di Turki dan Indonesia dan harus berlaku di Malaysia.
Saya petik tulisan beliau sebagai kesimpulan, “Kapal-kapal perang, senjata, peta pelayaran hanya tanda-tanda zahir kepada revolusi pemikiran dan kebudayaan yang membentuk jiwa baru Eropah. Melaka menemui Eropah tetapi tidak memahaminya, justeru itu rantau tersebut dihukum untuk mengalami penjajahan demi penjajahan.”
Itulah maksud merenung kemerdekaan dari perspektif yang luas. Itulah inti kemerdekaan yang harus kita fahami untuk membangunkan semula makna diri. Penjajah telah pergi, tetapi penjajan boleh kembali jika kita tidak mahu menikmatinya dengan sepenuh-penuh.
Buku ini harus dimiliki. Apa lagi penilaian yang boleh diberikan jika tidak bintang lima?
No comments:
Post a Comment