Thursday, April 10, 2008

Sastera Mesti Bebas, Mandiri dan Indipenden

Interbiu wartawan eSastera.com MOHD. DAHRI ZAKARIA bersama Jimadie Shah Othman.


(Wawancara Tamu, Komuniti Berita dan Bicara Sastera, eSastera.com, 18 April 2005)


Bila saudara mula menulis?

Minat-minat menulis waktu sekolah menengah. Seperti biasa, saya juga mengalami pengalaman peribadi yang tidak mudah. Bila dah besar, baru karya boleh keluar di media.

Bila tu?

Masuk matrikulasi. Jumpa Anjan Anzana, berkawan baik dengan Fakrurazi Mahmud. Jadi avid dengan sastera. Jadi gila dengan sastera. Sama-sama kongsi minat. Kemudian belajar-belajar baca sajak. Kemudian sambung belajar di Kuala Lumpur, masuk MPR. Waktu tu tu mula jumpa dengan penulis-penulis baru, yang, terlalu peramah sebenarnya.

Saudara pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apa pentingnya program itu bagi saudara dan sejauh mana ia boleh membantu dalam penghasilan karya-karya besar?

Saya percaya, karya-karya besar tidak lahir dari bengkel dan seminar; sebaliknya dari pengalaman, pemikiran dan renungan intelektual, dan kreatif dengan sungguh-sungguh. Tentang MPR, sejujurnya saya rasa ia memberi pendedahan yang bagus dan berguna. Terutamanya bagi penulis yang baru-baru belajar nak pegang pen. Ia memberi satu kesan lingkungan, semacam satu titik kecil antara banyak titik yang membentuk satu imej besar sastera Malaysia . Di situ saya belajar melihat sastera sejernih mungkin. Keluar dari MPR, seni jadi fenomena. Kami berlumba-lumba menerbitkan karya di media. Itu seawalnyalah, maksud saya.

Saudara menyentuh tentang intelektual. Pada pandangan saudara sejauh mana nilai intelektual itu telah digunakan dalam banyak karya-karya sastera di negara kita sekarang ini?

Sejujurnya, saya tidak nampak kegilaan yang sangat serius ke arah itu. Contohnya, kita masih tidak bersedia untuk dikritik, dalam apa soal sekali pun. Bukan semata-mata sastera. Dan tiap kritik akan dimomok-momokkan dengan istilah “kritikan membina” atau “kritikan membunuh”. Walhal kritik ialah kritik. Tak jauh bezanya dengan “kutuk”. Iya, maksud saya harus merenung “kejahatan” subjek, atau objek sedalam mungkin. Dan lebih malah apabila pengkritik cenderung dilihat sebagai penjahat. Ada orang panggil “budak nakal sastera”. Ini malang sekali. Sebab, saya percaya, tanpa kritik, sastera kita tidak akan berkembang. Ini budaya intelektual yang paling asas.

Berbalik kepada nilai intelektual dalam karya sastera kita, rata-rata saya kita masih di tahap kulit. Sastera kita tidak akses dengan perkembangan semasa globalnya, apa lagi berinteraksi dan memberi pandang. Kita kenal, secara mentah, intelektual, seniman, sasterawan dunia – yang dapat Hadiah Nobel, Hadiah Pulitzer tetapi dunia itu, dunia idea itu, tidak mengenal pun kita. Orang lebih kenal Malaysia dengan susu getah dan kelapa sawitnya. Dengan Proton dan KLCC-nya. Tetapi orang tidak kenal Sasterawan Negara kita yang sembilan itu.

Banyak penyakit ini, pengkarya lebih berminat pada ‘cerita-cerita seluar dalam’ pengkarya daripada melihat soal idea dan pemikiran. Maksud saya cerita-cerita peribadi penulis, gossip penulis. Kita lebih suka melihat siapa bergaduh dengan siapa, penulis tu couple dengan siapa, penulis sastera Islam itu ada skandal seks di luar Negara, misalnya. Itu perangkap yang kita bina sendiri. Ini nonsense. Dunia sekarang tidak melihat orang yang tidak pandai. Itu semua dialog orang remeh. Langsung tak intelek.

Dalam Diskusi Karya Eceran anjuran Biro Penulis PENA di Rumah PENA lalu, salah seorang panelnya, SM Zakir, menyebut kebanyakan penulis muda sekarang hanya banyak bersikap ‘copy and paste’ dalam memberi hujah dalam setiap karya mereka. Beliau waktu itu merujuk kepada cerpen saudara, Teks. Apa komen saudara?

Semua orang tiru dan tampal. Saya tidak faham maksudnya, dan soalan saudara.

Maksud beliau, kebanyakan penulis muda sekarang mempunyai keinginan yang tinggi untuk bercakap tentang isu-isu besar lewat falsafah dan juga pemikiran, dan barangkali intelektualiti. Malangnya mereka ini sebenarnya hanya bercakap pada peringkat kulit atau permukaan saja, dan tidak dapat mengupas sesuatu isu secara mendalam dan luas.

Melihat sastera dan dunia dari sisi-sisi lain, yang tidak selalu, itu bagus. Yang tidak bagusnya, tidak faham. Jadi wujud budaya burung kakak tua. Kedua, tebal atau nipisnya garapannya di kertas itu soal yang lain. Yang penting sama ada idea itu diletakkan dengan sedar atau tidak. Untuk menunjukkan dia faham, tak perlu ‘meng-essei-kan’ sesebuah cerpen. Seterusnya, kita harus melihat tampalan idea (yang sedar) sebagai satu perkembangan, atau naratif intelektual sebuah cerita.

Saya percaya, ini tidak dimaksudkan oleh Zakir. Barangkali dia maksudkan dengan fenomena burung kakak tua tadi. Ini saya faham dan saya akui sungguh-sungguh pengaruh jurnalisme dalam sastera hingga menjadikan sastera kian keras. Harus diingat, asas cerpen itu cerita. Kemudian, sastera itu kata Ibn. Khaldun, keindahan/estetika asasnya. Kemudian baru idea. Itu saya percaya.

Tentang Teks, itu konflik kompleksiti falsafah dan teologi yang dilihat secara bebas dari sudut pandang seorang pelajar biasa. Ia memang tidak menyarankan penyelesaian atau apa-apa. Saya berharap cuba dunia dari sisi-sisi lain. Melihat bahawa hidup tidak ‘sesimple’ yang kita bayangkan. Hidup lebih dari sekadar hitam dan putih, kanan atau kiri.

Bagaimana pula dengan sastera Islam?

Bagi saya itu konsep yang tak masak atau barangkali tak sempat masak. Sejujurnya saya tidak faham. Sebab, serasa saya, sastera melampaui batas teologi. Ia lebih daripada itu. Barangkali lebih universal sifatnya, milik semua kelompok dan entiti tak kira apa agama pun. Sastera dan budaya adalah sudut pandang lain, ‘bahasa’ lain kepada kehidupan, selain agama, dan kekuasaan. Bukan menentang, cuma saya tidak faham. Benar-benar tak faham.

Maksud saudara?

Saya melihat sastera dari sudut lain, yang universal sifatnya, yang manusiawi. Sastera tidak harus dipandang dari kacamata agama. Jalur tradisinya berbeza. Sastera yang diacuankan oleh pandangan agama atau mana-mana faham moral hakikatnya propaganda. Sastera bagi saya hanya satu dari pelbagai puzzle lain yang melengkapkan kehidupan ini. Sebab, sastera itu subjektif sifatnya, berwarna-warni, bukan hitam-putih, halal-haram semata-mata, mengikut pandangan tipikal pengikut agama. Sastera sebenarnya milik semua bangsa, semua kelompok. Ia bebas sepenuhnya. Ia menolak tunduk pada apa pun, biarpun agama, termasuk tradisi-ortodoksi dan kekuasaan.

Adakah ini bermakna dalam dunia sastera kita sekarang ini wujud masalah pemetakan yang melampau terhadap karya-karya sastera, sehingga memberi kesan kepada penerimaannya kepada masyarakat umum?

Soal pemetakan karya, saya sangat positif. Maknanya saya sangat tidak selesa dengan sastera satu mazhab, satu aliran; seperti saya tidak selesa dengan Islam satu mazhab. Sebab, tanpa aliran dan jalur yang pelbagai, sesuatu itu tidak akan berkembang dan barangkali terus pupus. Di Malaysia, sekarang ini, pada saya kita masih ortodoks. Variasinya tidak jelas, tidak begitu meriah. Petak-petak dibina, selalunya atas dasar kronisme, bukan aliran. Tidak hairanlah karya kita asyik-asyik membicarakan benda yang sama, dari sudut pandang yang terlalu klise. Fenomena ini akhirnya merugikan pasaran karya seni. Masyarakat, sebagai “pembeli” menuntut choice, menuntut pilihan. Keadaan ini bukan saja anti seni. Tetapi anti ekonomi juga.

Saudara kata pemetakan sangat positif jika wujud dinegara kita. Lupakan soal aliran. Masalahnya hal itu memang telah lama wujud pun ditempat kita. Sebab itu dalam sastera kita, kita boleh jumpa “sastera popular”, “sastera picisan”, “sastera islam”, “sastera underground”, “sastera berat” dan beberapa lagi. Bagaimana dengan ini?

Pemetakan atas dasar aliran memang bagus, tapi kalau soal medium (karya underground), soal penerimaan (karya popular), Islam atau tidak, ringan atau berat, itu bukan masalah sastera. Ia soal tanggapan dan keberadaan sesuatu karya sastera dalam lingkungannya. Sebenarnya ia mengelirukan sebab pemetakan ini sesetengahnya tidak dibina atas dasar yang kuat. Tidak melalui wacana dan kritik yang mendalam dan rencam, seperti yang saya tekankan pada awalnya, keperluan kritik sebagai asas meningkatkan mutu karya seni. Jadi, dalam kesamaran inilah sastera kita dipaksakan. Ini sebetulnya soal cap, soal jenama dan label. Sebotol kicap, bubuhlah cap apa pun tetap sebotol kicap.

Tiga naskhah antologi sajak saudara sebelum ini banyak mengenengah isu seks. Dua naskhah terawal contohnya, “Mitos Sperma Amerika” dan “Onani Sendiri” yang diterbitkan secara ‘underground’ bersama beberapa orang penulis muda, agak ketara dan jelas tentang isu ini. Adakah wajar isu ini diketengahkan secara terbuka sebagai memberi moral kepada pembaca?

Salah, “Mitos Sperma Amerika” bukan isu seks, tetapi perang. Paparan seksualiti, itu hanya soal stail, soal kulit, bukan isi. Apatah lagi bagi sebuah sajak yang mempunyai kesan lapis makna. Begitu juga dengan “Onani Sendiri”, ia bercerita dan mengambil tema yang pelbagai. Soalnya tetap bukan seks. Kami melihat seksualiti dalam konteks yang lain, tidak sekadar kelucahan dan lambang kerendahan hati nurani. Ia lebih daripada itu dan sebetulnya tak ada kaitan dengan moral. Saya tidak menyarankan moral. Saya mahu bikin seni. Saya percaya kata “moral” hanya momokan nakal kelompok-kelompok tertentu yang berkepentingan, dengan tujuan memesongkan perhatian daripada pokok perbincangan. Seperti juga dengan kata-kata “Nilai-Nilai Timur”, kenapa tiba-tiba wujud istilah ini, sedangkan kita sedang berwacana tentang kekejaman perang? Adakah ini releven? Tentang masalah peristilahan ini, saya cadangkan sasterawan-sasterawan kita kembali belajar tentang semiotic.

Beralih ke kegiatan. Saudara agak aktif dengan Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT), dan sekarang dengan Gerak Sastera. Orang melihat kedua-duanya sebagai jalan alternative kepada persatuan sastera lain yang sedia ada. Barangkali pengimbang kepada persatuan yang sedia ada. Apa komen saudara?

Saya bersama kedua-duanya dengan sangat selesa. Saya menolak monopoli kelompok tertentu dalam sastera dan saya percaya sastera itu khazanah bersama. Tentunya tidak ada masalah kami mengambil bahagian secara aktif dalam bidang yang kami yakini dan cintai ini. Kelahiran kumpulan-kumpulan baru bukan untuk menyaingi mana-mana pihak, tapi sekadar memeriahkan dan menerokai jalur-jalur baru sastera Malaysia. Dengan KsJT kami cuba mempromosikan kebebasan kreatif dan wacana rancak seni budaya. Dengan Gerak Sastera kami mempromosikan penulis-penulis baru. Barangkali boleh dikatakan pengimbang kepada persatuan yang sedia ada. Lebih tepat lagi, kita sebenarnya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Kita ke karya sastera di Malaysia sekarang. Apa pandangan saudara? Maksud saya, tentang penulis, karyanya, serta penerimaan khalayak terhadapnya.

Pertama, penulis kita kena berjiwa besar. Mesti bersaing di peringkat global. Kalau orang bercakap pasal karya pascamoden misalnya, kita tidak boleh lagi jadi penerima idea, sebaliknya jadi penyumbang dalam wacana besar dunia. Saya kira kita masih tertinggal. Hentikanlah diasyikkan dengan “cerita-cerita seluar dalam” pengkarya. Kedua, terimalah globalisai sebagai kenyataan kita. Pesimis dan prejudis terhadapnya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Globalisasi tetap akan jadi fenomena walau apa pun sikap kita. Seniman kita harus mengambil sebanyak mungkin peluang daripada arus ini. Inilah masanya untuk kita berkongsi idea dengan seniman dari negara-negara lain yang mempunyai sejarah seni dan intelektual yang usianya ratusan tahun. Sudah tiba masanya kita membuka jendela-jendela yang menghubungkan kita dengan tamadun dan kebudayaan luar dengan sejujur mungkin, dan rupanya, oh, dunia ini memang benar-benar bulat. Di sana ada khalayak yang lebih besar. Itu lebih baik dari cuba ‘mengurat’ khalayak kita yang ‘secupak’ itu, yang tak makan-makan saman.

Bagaimana hubungan yang saudara nampak wujud antara kelompok penulis muda dan lama? Ada kesinambungan tak?

Ada, dan tidak ada. Tetapi saya tidak rasa mereka bersama. Masih saling prejudis kiranya. Kadang-kadang semacam ada perang dingin misalnya. Ini biasa saya kira, dalam setiap ruang dan zaman, akan sentiasa ada pergelutan semacam ini. Contohnya kes Zainal Rashid Ahmad lawan Atondra di Rumah PENA. Dalam hal ini saya rasa banyak masalah berpunca daripada golongan lama yang gagal pada awal usia muda mereka atau masih diasyikkan dengan romantisme lama. Selain itu, ada juga penulis muda yang tua sebelum masanya, tidak ghairah, bertenaga, gelojoh dan berani. Ini satu lagi penyakit. Dalam banyak hal saya sangat pro pada anak muda.

Sedikit masa lalu saudara agak aktif dengan sastera siber. Tapi sejak akhir-akhir ini penglibatan saudara mula berkurangan. Apa pandangan saudara tentang sastera siber ini?

Lebih banyak medium, lebih banyak ruang. Tidak ada salahnya, malah saya kira sastera siber mesti dimajukan agar setaraf dengan sastera yang bercetak. Masalah utamanya, berlaku lambakan karya yang tidak berkualiti. Walau bagaimana pun, saya percaya sastera siber ada potensi dan masa depan yang cukup besar. Tetapi buat masa ini, orang lebih selesa cara konvensional, cara kertas.

Dunia sastera kita juga selalunya dikaitkan dengan dunia politik. Razali Endun contohnya, kembali menulis setelah rehat bertahun-tahun hanya kerana kesan daripada peristiwa dalam politik negara. Dua perkara yang saya hendak saudara huraikan di sini. Pertama, keperluan dan pengaruh atau fungsi karya sastera dalam dunia politik. Dan kedua politik dalam dunia sastera.

Banyak karya sastera yang terilham dari alam politik. Sebelum merdeka, sastera menjadi alat memperjuangkan kemerdekaan. Selepas 1998, Shahnon melahirkan Shit. Sabelumnya lagi ada Telok Gong membela petani miskin, Keranda 152 memperjuangkan isu bahasa dan Usman Awang menulis sajak-sajak tentang mogok Utusan yang kemudiannya dibukukan dalam antologi Duri dan Api. Dalam banyak kes, sastera cuba mengkoreksi kegawatan dunia politik, menjadi alat protes dan pembelaan kepada orang-orang yang tidak dominan. Sekurang-kurangnya menyarankan pandangan penulis tentang kegawatan itu. Banyak karya sastera ditulis kesan dari keberadaan penulis dalam lingkungannya. Barangkali sebab pola fikir masyarakat kita yang terlalu obsess dengan politik. Tak ada perkara yang lebih menarik dari politik. Orang bercakap tentang politik di mana-mana, jadi tidak hairanlah kalau subjek utama pengkaryaan masih soal politik. Tetapi untuk menjadikan sastera sebagai alat politik, terutamanya politik sempit kepartian saya tidak setuju. Sastera mesti bebas dan mandiri. Ia mewakili sudut pandang lain masyarakat yang barangkali jauh lebih telus dan luwes dari pandangan politik.

Kedua, tentang hubungan politik dan sastera, awal sekali mesti ada usaha melepaskan diri dari kekangan-kekangan kekuasaan dan ‘agama’ yang tidak munasabah. Sastera harus dibiarkan mandiri sendiri. Pertama sekali ruang ekspresi kreatif kita mesti ditolak sejauh mungkin. Sebab yang selalu menekan kita ialah anasir dari politik dan ortodoksi-agama-tradisi yang saya sebutkan tadi. Kebebasan kreatif harus dianggap sebagai satu tuntutan hak asasi manusia yang dilindungi PBB.

Tentang politik dalam dunia sastera, jangan sampai lupa pada ‘work’. Itu soal utama. Tidak ada yang negatifnya, kecuali penyakit “politik dalam dunia politik” berjangkit masuk dalam “politik dalam dunia seni”.

Ok, sebagai kesimpulan daripada saudara, untuk dunia sastera kita. Atau juga barangkali untuk penulis muda seperti saudara.

Saya harapkan sastera kita yang lebih daripada ini – sastera yang memberi alternative kepada politik dan agama. Sastera yang bebas sepenuhnya, mandiri dan indipenden. Untuk itu sasterawan kita, terutamanya yang muda selain harus sungguh-sungguh merpertingkatkan mutu karya dan bersaing di peringkat globalnya, harus juga memperkasakan ruang bersama sastera kita daripada manipulasi dua faktor awal yang saya sebutkan awal tadi iaitu politik dan agama. Saya percaya selain berkarya dan berkarya, tembok sastera kita mesti dijaga juga. Jika tidak, kita tidak boleh berkarya dengan selesa, ekspresi kreatif akan terbantut, pulangan ekonomi selalu tidak menjanjikan. Sebagai penulis baru, saya harapkan tenaga orang muda, keghairahan orang muda, gelojohnya, sikap terburu-burunya, kegilaannya dapat mencorakkan wajah baru sastera Malaysia. Kehadiran budak-budak baru sastera mohon tidak dibuli dan dikotak-kotakkan dalam ruang tertentu hingga tidak mampu melihat dunia luas yang sebenar.


• WAWANCARA TAMU > 2005 > Sastera Mesti Bebas, Mandiri dan Indipenden - Jimadie Shah Othman disumbangkan pada Sabtu, 9 April 2005 4:17:27 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 18 April 2005 1:06:43 PM oleh dahrie

No comments: