Thursday, April 10, 2008

Teks

Oleh JIMADIE SHAH OTHMAN


(Utusan Malaysia, 6 Jun 2004)


PERTAMA, cinta. Kedua, teks.

Malam itu saya tak makan. Lepas main sepak raga tadi petang, saya tidur. Jam sebelas saya terganggu dengan suara perempuan memberi salam. Saya bangun jenguk ikut tingkap. Baiti sedang panggil suaminya. Saya pun bangun cepat-cepat dan buat-buat tanya, ``Air minum ada tak?''

Belum sempat mereka jawab, saya buka peti sejuk depan bilik mereka, terus minum. Guntur kata mereka nak keluar ke kafe Internet. Saya tanya, ``Boleh tolong print tak resume aku untuk KUIM?''

Dia masuk dalam bilik buka komputer. Fail itu dalam My Document. Guntur bagi sekeping disket. Saya simpan pakai format document text.

Waktu saya nak keluar dan mereka pun nak berangkat, Baiti kata kalau nak menonton, boleh duduk dalam bilik mereka. Saya jawab, ``Boleh juga.''

``Artikel kau masuk Mingguan Malaysia, dah baca?''

Saya angguk.

Dengan motosikal, mereka bertolak. Saya buka televisyen dan cari alat kawalan jauh. Saya nak main Winning Eleven dengan pelantar Play Station, tapi alat kawalan itu tak jumpa. Saya tengok televisyen saja. Rancangannya langsung tak ada pesona. Barangkali sebab rasa lapar.

Saya nampak nasi dalam periuk. Saya bangun dan buka peti sejuk. Ada ikan tilapia goreng tak habis kami makan petang tadi lepas main sepak raga dan sos nasi ayam yang tidak langsung dijamah.

Dengan rakus saya makan, sebab saya lapar. Nasi itu pula cukup-cukup sepinggan. Jadi, saya rasa tak kenyang. Tapi waktu hisap rokok, sandar di bantal dan layan cerita bangang di televisyen okey juga. Waktu mereka balik hampir jam satu pagi, saya buat-buat tidur.

Mereka masuk, saya buat-buat terkejut dan terus bangun. Mamai kononnya.

Guntur terus saja cari alat kawalan jauh. Televisyen mereka ada kelemahan, tak ada fungsi av. Kena buka dengan alat kawalan saja. Sambil tu, Baiti masak maggi di dapur. Lama kami cari, tapi tak jumpa. Jadi, kami berhenti makan dulu. Lepas makan, dia saja cuba-cuba jeluh bawah meja teh yang penuh dengan buku-buku teks universiti dan nota kuliah.

``Ada pun,'' katanya.

Kami terus buka Play Station dan main Winning Eleven sampai bang. Hari ini tak jadi nak ke Masjid Negara sembahyang subuh. Lepas solat, kami berkira-kira nak ke Restoran Yusuf makan nasi lemak. Samad, teman sebilik saya yang baru bangun pun nak ikut sama. Kami turun dengan dua buah motosikal. Satu plat RF dan satu lagi RE. Kedua-duanya dari Perlis. Dan ini tak ada apa-apa kaitan dengan semangat kenegerian sebetulnya.

Guntur agak membosankan kalau lepak lama-lama. Dia tak ada pengetahuan melainkan tentang (rejimen askar) semboyan dan hal-hal yang berkaitan dengan ketenteraan sahaja. Dia seperti langsung tidak berminat dengan produk idea. Pemikirannya agak masih dalam acuan tradisi-ortodoksi yang kukuh, dengan sudut pandang yang terlalu tipikal.

Cuma Samad kadang-kadang boleh melayan gila saya, walaupun dia ada masalah besar dengan proses analisis idea dan berfikir mendalam, berangkai dan keberanian mempersoalkan kepastian. Sebenarnya, apabila sesuatu kepastian itu dipersoalkan, kepastian akan menjadi bukan kepastian. Maksudnya tiada yang mutlak dalam setiap perkataan yang berkaitan dengan idea. Keraguan akan sentiasa menambahkan kepintaran.

Waktu saya dan Samad berbincang tentang kedai kopi, tentang maksud dan falsafahnya, yang dikaitkan dengan kebangkitan intelektual di Eropah, bermula di zaman pencerahan, Guntur akan cuba mengaitkannya dengan ketenteraan juga. Contoh soalannya, ``Apakah peranan ketenteraan pada zaman pencerahan dan sesudah Revolusi Perancis?''

Waktu itu saya dan Samad cuba berlucu, bahawa kami tidak pernah lihat, dan jumpa seorang manusia dari kecil sampai besar pernah bercita-cita nak masuk askar. ``Lebih baik kau menulis. Masuk askar tak seronok. Sebuah kerjaya yang rigid. Membosankan, bahkan.''

Sambil rancak sembang-sembang, minuman tiba. Sejurus kemudian, tiga pinggan nasi lemak mamak dan satu lagi dibungkus untuk isteri Guntur, Baiti yang sekarang barangkali masih nyenyak tidur.

Semalam saya baru lepas kuliah pencerahan di Studio Kurusatre dengan Wan. Saya bagi tahu pada Samad. Kami rujuk buku Dorida Outram, judul The Enlightment. Sekarang masuk bab ke-3, cerita tentang kedai kopi dan pengguna dan peranannya dalam konteks masyarakat pencerahan.

Saya percaya pada pendapat Immanuel Kant, kata saya pada mereka berdua, sambil makan nasi lemak yang gagal - pedas, pencerahan merupakan satu proses yang tak selesai. Dan ia sentiasa berterusan. Masyarakat pencerahan ialah masyarakat yang berasaskan idea. Wujud di dalamnya debat rancak dan matang tentang sesuatu perkara yang menjadi isu besar dalam tamadun, sekurang-kurangnya dalam lingkungan kecil seperti negara.

Entah mengapa mereka macam percaya buta-buta saja kata-kata ini. Maka saya semakin ghairah untuk bercerita. ``Pencerahan merujuk kepada kemunculan pemikir-pemikir besar dalam masyarakat.''

Samad tanya saya, dengan sokongan Guntur, ``Apa kaitannya dengan kedai kopi yang kau kata tadi?''

Saya juga percaya Jrgen Habermas. Selain tokoh-tokoh besar, pencerahan juga diisi oleh komponen-komponen dalam `ruang awam' yang berupaya memberikan pandangan umum terhadap sesuatu isu, suatu ruang yang dianggap paling independent, tanpa campur tangan sebarang entiti berkepentingan seperti kapitalis dan daulah. ``Ruang awam ialah macam ini,'' kata saya.

Waktu balik, kami singgah di Caltex beli akhbar. Hari-hari ada kempen suruh orang berhenti merokok. Tapi kami tak nak berhenti. Kami nak hisap rokok.

Waktu baca iklan itu, kami ketawa besar, kami percaya bahawa kami ialah orang yang tidak percaya pada teks lagi. Kami kenal penulis berita ini, dia wartawan junior di Utusan. Dia pun kuat merokok, avid dengan Gudang Garam. Dunia ini (dunia teks) ialah dunia terka-terka, dunia sipi-sipi, bukan yakin.

Tengah hari itu saya tidur hingga ke petang. Waktu jaga, saya sedar bahawa semua itu hanyalah mimpi semata-mata. Tetapi bagaimana untuk membuktikan bahawa sekarang ini bukan juga mimpi? Bahawa semalam betul-betul bukan realiti?

* * *

Kerana tak ada duit, saya abaikan makan malam saya hari ini. Dan untuk mengelakkan kelaparan, saya terpaksa tidur. Tapi mata saya sudah tidak terpejam. Sudah terlalu puas. Maka saya pun ke bilik Guntur dan buat-buat tanya, ``Air minum ada tak?'' dengan harapan dia ajak saya makan malam sama-sama.

``Ada,'' katanya.

Guntur suami isteri sedang bersiap nak ke kafe internet di Pantai Dalam.

Saya minta mereka print resume KUIM saya. Mereka kata ok. Motosikal RGX baru warna kuning hilang di jalanan.

Dalam bilik Guntur, saya cari alat kawalan jauh televisyen. Terasa nak main Winning Eleven. Sampai sudah tak juga diketemu remote itu.

Menonton saja. Namun, perhatian tidak juga terfokus. Saya memang lapar. Terasa nak lompat tinggi-tinggi bila nampak ada nasi dalam periuk elektrik Guntur.

Waktu pegang pinggan, saya jadi sedar, astaga, apakah saya lagi bermimpi?

Saya ketawa, ``Nampaknya aku sekarang berada di alam Matrix.''

(Waktu itu orang sudah berhenti memperkatakan tentang kekaguman mereka pada filem The Matrix. Harus diingat, saya adalah generasi trilogi The Matrix, walaupun The Matrix bukanlah filem sebenarnya).

Saya mula mempersoalkan hak saya, hak untuk memilih, hak untuk tahu kenapa memilih, apa yang dipilih.

Terimbas kata Oracle kepada Neo, dalam filem yang mendepani teknologi bullet time itu, ``Kamu datang ke sini bukan untuk memilih. Pilihan telah dibuat. Kamu datang ke sini hanyalah untuk mengetahui kenapa memilih?''

Saya pun seperti Neo, teks ini di Luh Mahfuz, siap ditandatangani.

Saya jadi ragu bahawa kehidupan bergerak linear; ia berputar sebetulnya - ke depan dan kemudian kembali ke belakang dan ke depan dan ke belakang. Hidup bukan garis panjang yang lurus; atau garis pendek yang lurus.

Sesudah makan malam yang lewat, saya hisap rokok, baring malas-malas depan televisyen. Waktu Guntur pulang, saya buat-buat lena. Terdengar dia kepoh-kepoh cari alat kawalan jauh televisyen. Saya buat-buat terganggu dengan semua itu, gesek-gesek mata beberapa kali dan pandang muka dia lama-lama. Mamai kononnya.

Saya fikir nak tanya dia, ``Cari apa?''

Sesudah dia menjawab, saya buat-buat pandai, dengan mudah mencupliknya dari bawah meja yang penuh dengan buku universiti dan nota kuliah.

Bagaimana saya tahu? Tentulah, semalam saya sudah mimpi.

``Apa termenung?'' tanya Guntur; sambungnya lagi (kepada Baiti, memperli), ``Mamailah tu.''

Baiti gelak.

``Kau cari apa?''

``Remote control. Ada nampak? Boleh main Play Station.''

Saya selamba gagau bawah meja teh. Gagau dan gagau. Astaga, memang tak ada! Nyata teks tidak pernah berulang, ia menyusun kehidupan secara linear, mem-puzzle-puzzle-kan sesuka hati.

Saya tak boleh percaya semua ini. Saya terus keluar dari bilik mereka dan masuk dalam bilik sendiri. Saya kena periksa kembali nota kelas falsafah, tentang interaksi akal-minda-alam (World 3) yang saya belajar di Studio Kurusatre.

Waktu saya buka zip beg nak ambil nota, Guntur datang panggil makan maggi. Dari alam surreal itu, saya terbangun. Benar saya bermimpi, hanya kerana terjaga di atas tilam?

Ya, ada suara perempuan memberi salam. Pastinya Baiti yang baru habis peperiksaannya di Universiti Malaya. Dia dan suaminya Guntur akan ke kafe internet di Pantai Dalam sebentar lagi.

Kedengaran pintu dibuka. Mereka bersembang. Betul. Saya belek jam dinding. Memang ini waktunya, sebelas malam. Tepat.

Saya akan keluar bilik sebentar lagi dan tanya mereka, ``Ada air tak?''

Saya masuk dan makan nasi dan main permainan video dan lepak di Restoran Yusuf hingga jam sembilan.

Semua ini akan terjadi. Ini ialah teksnya. Ia akan sentiasa berulang, dalam mimpi, dalam realiti.

Berulang.

Berulang.

Berulang.

Tidak, apa kejadahnya! Apa kata kalau kita pakat-pakat menafikan teks? Katakan saja saya adalah saya pada hari ini sahaja. Kita tidak terikat dengan masa dan ruang. Saya hidup kerana (tafsiran) fikiran saya hidup. Semua yang terpercik daripada indera, adalah tafsiran tipikal saya yang klise terhadap kehidupan, yang terganggu oleh sejarah dan memori. Biar sejarah dan ingatan diluputkan, hanya ilmu dan informasi terus-terusan ada.

Apa kata kalau hari ini saya tidak menjadi saya, sebaliknya pelakon Bollywood Shah Rukh Khan. Kenapa pula tidak? Saya nanti terbit, kata pada Guntur, bukan ``air ada tak?'' tapi, ``aku tau kau Jimadie. Pergi, jangan sentuh isteri aku! Nyahlah!''

Saya keluar dari bilik dan bertemu muka dengan jantan bajingan yang telah menyamar sebagai saya. Tatkala sedang menyusun kata-kata dalam hati, dia lebih dulu berkata, ``apa filem terbaru engkau?'' dan, ``Kenapa kau tinggalkan isteri kau ikut suka saja? Bodoh betullah engkau ni!''

Diam, mangu bodoh. Dia menambah, ``Tunggu sini kejap, aku nak ke kafe internet, cari artikel aku yang keluar dalam Mingguan Malaysia semalam. Kau dah baca?''

Soalan semudah itu pun saya tidak mampu lagi menjawabnya. Fikiran membeku. Teks macam elektrik. Ya, tuhan, mimpi (macam) apa ini?

Saya fikir nak masuk tidur dulu dengan isteri saya, esok bila jaga, saya faham saya hari esok tidak ada kena-mengena dengan saya hari ini. `Saya esok' adalah sarjana Karl Poper, yang yakin bahawa antara minda dan tubuh memang tak punya konflik, bahkan tetap saling berinteraksi antara satu sama lain.

`Saya lusa' adalah Samuel Backhett yang menulis Waiting of Godot yang sangat terkenal itu, demi menyelesaikan masalah hubungan minda dengan ruang, dengan lingkungan.

Selepas itu saya mati. Atom-atom di badan saya berpecah-pecah. Tenaga saya berpindah dari medium ke medium. Jadi haba, meresap ke tanah, ditukik ulat dan cacing, dimakan ayam, mati dan menjadi baja kepada tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran, dipetik manusia dan dimakan; akhirnya saya ada dalam setiap ruang depan. Memang tenaga, dalam teori sains tamadun mana pun, mustahil sesekali dapat dimusnahkan. Saya adalah tenaga yang membentuk alam. Saya ada ketika Adam ada. Saya ada ketika saya tiada - adalah hamba tuhan yang diperhambakan hamba tuhan.

Dalam bilik, saya dapati alat kawalan jauh televisyen saya hilang. Saya gagau bawah meja.


Klik untuk baca dalam Utusan Malaysia Online.

No comments: