Monday, March 10, 2008

FALSAFAH KEBEBASAN DALAM KLKU

OLEH MOHD JIMADIE SHAH OTHMAN

Mingguan Wasilah, Mac 2008


Judul: KLku Kembang Layarku

Arahan: Fauziah Nawi

Skrip: Iryanda Mulia

Pelakon: Raihan Jamil, Ashrim Azim, Sharizal Arshad, Ard Omar, Engku Hariz Faizal, Asmawati Samani, Nuurjihan Musa, Wan Yusaini Yahya dan Maslina Abdul Malik.

Produksi: Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani)

“Kebebasan bererti tanggungjawab; itulah sebabnya mengapa kebanyakan manusia takut terhadapnya.” - George Bernard Shaw (1856-1950)

WAJAH Kuala Lumpur atau mana-mana bandar raya besar di pentas seni sentiasa dibebankan dengan konotasi negatif, daripada pentas drama teater sehinggalah karang-karangan lagu. Ini tidak terkecuali dalam buah tangan terbaru Fauziah Nawi KLku Kembang Layarku yang dipersembahkan melalui grup teaternya Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani).

Teater ini merupakan pembuka tirai Stefani untuk tahun 2008 selepas beberapa persembahan terkenal mereka sebelum ini. Persembahan ini merupakan salah satu daripada 25 acara sambutan sempena bulan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Setiap kali menonton teater yang diacukan dengan tema-tema dan sambutan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan kepentingan agenda dan ideologi pemerintah, kita pantas membuat tanggapan tipikal tentang bentuk, tema dan idea karya yang bakal mempersembahkan. Secara klisenya penonton akan disogokkan dengan teater-teater kejang, palsu dan dibuat-buat tentang kerukunan masyarat, patriotisme bangsa dan propaganda kerajaan. Tetapi selepas satu jam menonton teater ini, jangkaan kita melesat. Stefani menunjukkan kredibeliti mereka dengan mempertahankan aspek kreativiti dan keindahan dalam karya seni di samping berpegang teguh kepada idealisme pengarang. Salut awal boleh diberikan buat Klku Kembang Layarku (KLku).

Lazimnya persembahan Stefani disifatkan sebagai “teater air mata”, bernada suram, penuh kesedihan (seperti dalam Perjalanan Bu Aminah)dan kehampaan, melankolia dan memaksa penonton bermain dengan emosi. Jangkaan ini juga melesat. Fauziah Nawi melalui KLku membuktikan kewujudannya dalam dunia teater tanah air sebagai pemain veteran masih segar dan versatail. Di beberapa tempat, dalam KLku terdapat beberapa bahagian yang dikira sangat bertenaga, segar dan ideologis.

Teater ini mengisahkan tentang perjalanan Lanang (lakonan Raihan Jamil) meninggalkan kampung halaman untuk mencari kebebasan. Jiwanya memberontak terhadap tradisi dan aturan (dilambangkan melalui kongkongan keluarga dan pengaruh persekitaran). Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur. Di sana beliau menjadi orang lain dan pelan-pelan melupakan pesanan ibunya: “Jangan pandang matahari, letakkan mata dan hati ke kaki.” Lanang berkhidmat dengan Tuan Besar (Asmawati Samawi), bersahabat dengan kaki penipu Muhammad Akib Sulaiman Sador (Engku Hairiz Faizal). Pemberontakan yang bermula daripada dalam dirinya hasil desakan untuk bebas daripada segala hukum dan aturan telah memakan dirinya. Lanang akhirnya terumbang-ambing tanpa pedoman dalam dirinya sehinggalah sampainya berita mengenai kematian kedua orang tuanya. Akhirnya protagonis ini bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Sebuah happy ending yang klise dan menggambarkan ‘kemalasan’ pengarang.

Dalam teater yang dipersembahkan selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Februari di Panggung Bandaraya ini, idea besar yang boleh direnung audien adalah tentang falsafah kebebasan dan keterkaitannya dengan tanggungjawab. Tentang bagaimana kita dapat melihat keabsahan dan realiti kebebasan. Setelah sekian lama media arus perdana memainkan genderang “tiada kebebasan mutlak” atau “kebebasan mesti ada hadnya”, secara murni dan jujur, teater ini boleh membuka jendela akal kita kembali berfikir tentang falsafah kebebasan secara jernih dan jujur. Kembali kepada laluan yang betul iaitu bagaimana kita harus melihat kebebasan itu dengan beban tanggungjawab yang dipikul bersama. Bukankah absahnya hukum moral itu dengan mengandaikan adanya kebebasan dalam masyarakat?

Lanang, watak utama dalam cerita ini adalah anak muda yang penuh rebellious, pemarah dan penuh tanda tanya dalam kepala. Salah satu sebab dia berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan kampung halaman dan Masitah, bakal isteri yang jelita hanya atas sebuah alasan: “Seperti lazimnya anak muda sepertiku, aku bimbang tidak berlaku setia.” Katanya kepada Wak Suparman (Ard Omar) sejurus sebelum keluard daripada kampung halaman yang dibencinya.

Lima belas minit pertama menonton cerita ini berbau faham kiri yang kuat. Pemberontakan kelas, kaya-susah, pekerja-majikan adalah tema lumrah dalam karya-karya golongan ini. Tambahan lagi dengan aksi-aksi lakon tidak realistik, muram, suram, gerakan seperti dibuat-buat, melebih-lebih menjadikan lakon ini tak ubah seperti seni agitprop. (Secara mudah, seni yang digunakan untuk manipulasi idea-idea sosialis). Babak-babak konflik antara Lanang dan Tuan Besar itu sungguh memikat dan mengikat penonton untuk terus terpaku di kerusi. Tetapi tenaga ini tidak dirasai selepas berlalunya 15 minit pertama. Kemudian tempo cerita seolah-olah begitu perlahan, melankolik dan bertele-tele. Tata lampu dan muzik iringan, walaupun dimainakan langsung dan dicipta penulisnya sendiri, tetap menjadikan KLku sebuah persembahan yang membosankan. Ditambah pula dengan rekaan set yang buruk, klise dan tidak mampu menolak idea sebesar ini kepada khalayak.

Empat puluh lima minit selebihnya cuma diisi dengan gelak ketawa dengan si penipu Muhammad Arkib Sulaiman Sador, mabuk-mabuk dan bunyi lelaki gila yang asyik menjerit sehingga membingitkan dan memeningkan kepala penonton. Babak-babak seterusnya hanyalah pesta anak muda di kelab dangdut.

Kelemahan ketara teater ini bukanlah pada aspek pengarahannya. Tetapi skrip yang kurang terarah dan supblot yang mencapah tanpa dapat dipusatkan kembali kepada pokok cerita. Di akhirnya, Lanang insaf dan kembali ke pangkal jalan setelah mendapat khabar kematian kedua orang tuanya. Sebuah turning point yang tidak meyakinkan seolah-olah digerakkan oleh tangan-tangan ghaib.

Kekosangan dan berantakan jiwa Lanang mencapai klimaknya apabila teman baiknya Muhammad Arkib meninggalkannya kerana tidak sanggup mempergunakan lagi teman baiknya itu untuk kerja-kerja jenayah, dosa dan maksiat. Atas rasa tanggungjawab mereka berpisah.

Dalam Klku, idea kebebasan dengan tanggungjawab itu tidak sampai. Terasa persembahan ini seperti kurang persediaan. Justeru ini tidak hairanlah kenapa terdapat begitu besar jurang antara babak-babak awal dan di akhir cerita.

Walau bagaimana pun, usaha menggangkat naskhah ini daripada kertas dan pentas harus diberi pujian sewajarnya. Keihkhlasan pengkarya tidak boleh dipertikaikan. Mereka ini adalah anak seni yang yakin dan bersungguh-sungguh dengan dunia mereka walau pun kita sedia maklum, di Malaysia, teater berbahasa Melayu sukar sekali mendapat penaja. Langkah DBKL menaja program sebegini adalah tugas mereka yang betul daripada sibuk menapis karya-karya pengkarya muda di pentas dengan alasan moral misalnya. Tetapi bukankah moral itu wujud dengan mengadaikan adanya kebebasan?

Tanpa ciri-ciri di atas, sudah tentu, di tangan penulis, teater ini tidak akan mencapai tiga bintang setengah. Teater ini nampak polos dalam pelbagai aspek. Yang menyelamatkanya adalah kejujuran.

Cerita ini bukan berkaitan Kuala Lumpur per se. Andaikan perkataan Kuala Lumpur ditukar dengan Kangar, Alor Setar atau Kuala Kangsar, boleh juga, kerana kebebasan itu tidak terbatas oleh ruang dan masa. Orang takut dengan kebebasan kerana orang tidak berani menghadapi sebuah tanggungjawab. Seperti kata George Bernard Shaw, penulis naskhah berbangsa Irish yang terkenal itu.

2 comments:

Mohd Mohtar Adnan said...

Saudara Jimadie,

Terima kasih yang tidak terhingga kerana ulasan saudara yang bernas. Di harap saudara akan terus memberi ulasa- kepada teater-teater stefani.

mokhtar Adnan
Penerbit Stefani.

1 said...

Setelah tiga tahun, terima kasih kembali. Maaf, saya baru baca komen ini. Teruskan berkarya.